Monday 2 May 2011

LANGKAWI OH LANGKAWI....

Rasulullah SAW bersabda: "Surah Yasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "Al-Mu'ammah"
(yang menyelubungi),yang menyelubungi tuannya (pembacanya) dengan kebaikan dunia dan akhirat  dan yang menanggung segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat dan dinamakan juga sebagai perisai dan penunai hajat,yang melindungi pembacanya dari setiap keburukan dan kejahatan dan yang menunaikan bagi pembacanya segala hajat dan kemahuan."
(HR Said bin Mansur dan Al-Baihaqi dari Hasan bin Atiyyah)

             Sepanjang pengembaraan bersama dengan JPP ke Langkawi baru-baru ini banyak mengimbas kembali kenangan cikgu bersama suami dan anak-anak ke sana. Tahniah kepada JPP yang telah dapat mengikuti kursus di sana dengan jayanya. Nampak mereka bersemangat, sentiasa bermotivasi dan bertenaga sepanjang program berlangsung. Gembira dan bersyukur bila pihak penganjur memaklumkan tentang disiplin yang tinggi pelajar-pelajar cikgu. Terserlah kepimpinan, ketrampilan dan pengukuhan jati diri mereka. Sengaja cikgu minta dan berbincang dengan pihak penganjur untuk mengadakan program ini di Langkawi sebenarnya. Selain dapat membawa dan berkongsi pelbagai pengalaman dengan para pelajar , Langkawi adalah merupakan destinasi 'terapi' buat cikgu. Alhamdulillah bersyukur kerana dikurniakan kemudahan, kelapangan dan keselamatan oleh ILLAHI sepanjang di sana. Langkawi sebenarnya banyak mengimbau nostalgia yang 'membahagiakan' cikgu.

            Sebenarnya dalam kehidupan berkeluarga cikgu, Langkawi adalah antara destinasi yang sangat suka cikgu lawati. Tak tahu kenapa tetapi tempat ini antara tempat yang sangat cikgu gemari, terasa relaks dan santai bila meneroka  setiap pelusuknya. Rasanya kebanyakan pulau-pulau di persekitan Pulau Langkawi telah cikgu lawati dengan team kaunselor cikgu semasa menjawat jawatan dalam Majlis Guru Kaunseling dahulu. Pada kebiasaannya pada akhir tahun cikgu dan anak-anak akan mengambil peluang ke sini. Di sinilah tempat selalunya cikgu memberi penghargaan untuk menghadiahkan mereka dengan hadiah yang mereka gemari setelah memberi perkhidmatannya kepada cikgu suami isteri. Barangannya berjenama tetapi dapat diperolehi dengan harga yang murah. Memandangkan cikgu dan suami tidak pernah mempunyai pembantu rumah dan kerja-kerja rumah semua dibuat oleh anak-anak sebagai ibu cikgu rasa terpanggil untuk memberi penghargaan kepada mereka. Anak-anak tidak pernah mengeluh atau meminta-minta kerana itu didikan kami suami isteri kepada mereka. Pesanan kami selagi ada hayat mak ayah ni banyak-banyaklah memberikan perkhidmatan dengan penuh keikhlasan kerana kesannya sangat besar dalam kehidupan mereka kelak. Selepas sahaja  setiap perkhidmatan membantu kami selalu cikgu ucapkan , "Terima kasih banyak kerana membantu mak /ayah. Moga ALLAH SWT mengurniakan keberkatan dan rahmatNYA pada adik/ kakak/abang". Itulah ucapan cikgu sambil mencium mereka pipi/umbun-umbun mereka. Cikgu membudayakan ucapan terima kasih sebagai penghargaan dan petanda kesyukuran kepada ILLAHI. 

            Setakat ini rasanya dah lama mereka bersilih ganti membuat kerja rumah, menggosok pakaian kami, menyediakan makanan dan minuman kami dan menguruskan kami dengan terbaik.Alhamdulillah bersyukur dalam usia begini telah dikurniakan untuk merasai ni'mat khidmat anak-anak kepada kami suami isteri. Besar harapan dan doa kami ianya akan berlarutan hingga ke akhir hayat kami. Bila cuti semester universiti sahaja mereka akan saling mengusik sambil ketawa, "Bibik baru sudah balik, ambil alih ya.." Di Langkawilah selalunya cikgu suami isteri meraikan mereka dengan barang-barangan yang mereka perlukan sepanjang tahun berikutnya. Malamnya kami akan menikmati makan malam bersama dan bercerita perkembangan dan pengalaman masing-masing sambil saling usik-mengusik diantara satu sama lain. Anak-anak lelaki selalunya ditugaskan membawa barang-barang yang berat sesuai  dengan kekuatan dan keperkasaan mereka. Sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Langkawi selalunya kami akan memperdengarkan nasyid, kuliah, bacaan Al Quran dan salah seorang anak akan ditugaskan untuk berbual dan bercerita dengan suami cikgu agar suami cikgu tidak rasa letih dan keseorangan. Begitulah kami memastikan ukhuwah terjalin dan kasih sayang antara kami dapat dipraktikkan.  Di samping itu panorama sawah padi dan suasana 'kekampungan'  di utara Malaysia juga mengembalikan nostalgia mengimbau suasana era tahun 70an hingga 80an. Seronok sungguh cikgu rasai.

              Benarlah ucapan suami cikgu semasa menasihatkan anak-anak,"Yang membahagiakan sesebuah rumahtangga dan keluarga bukanlah rumah yang besar, kenderaan yang besar, duit yang banyak tetapi yang membahagiakan kita adalah kasih sayang, layanan dan penghargaan antara kita dengan menjaga hubungan kita dengan ALLAH SWTdan  RasulNYA dan hubungan sesama manusia. Dengan memberi analogi. seekor kucing/anjing sering menggoyang-goyangkan ekornya kerana layanan dan kasih sayang tuannya.

             "Ya ALLAH, kami syukur atas kurniaan MU hingga kami dapat rasakan ukhuwah dan kasih sayang yang mendalam antara kami. Moga ianya berkekalan sehingga akhir hayat kami dan di akhirat kelak sepanjang perjalanan kami menemui MU Ya ALLAH. Alhamdulillah kerana memberi kami  peluang merasai 'syurga' di dunia ini." amin

             

 

No comments:

Post a Comment