Friday 20 May 2011

AGGRESSIVE VS ASSERTIVE VS PASSIVE

"Ya ALLAH,ya Tuhan kami,Yang Meleraikan dukacita, Yang Melapangkan kekusutan,Yang Menyahut seruan orang yang susah,Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang di dunia dan akhirat, Engkau mengasihi aku, maka rahmatilah aku dengan sesuatu rahmat yang mencukupi untukku berbanding rahmat yang ada pada selain-Mu"
                                                                                           (Riwayat al-Bazzar,al-Hakim dan al-Asbahani)

          Sebentar lagi selepas Isyak, cikgu dan suami  akan ke Perlis menguruskan anak cikgu yang menyambung belajar di salah sebuah universiti di sana. Doakan kami selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik dari sana dan dipermudahkan segala urusan di sana. Teringat tadi cikgu mengajar guru-guru pelatih mengenai tajuk "Kawalan Kelas Secara Asertif". Sifat asertif perlu ada dalam setiap diri seorang individu untuk berjaya dalam semua urusan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Orang agresif sentiasa hendak menang, suka mengambil hak orang lain, suka menguasai orang lain, keras dan kasar. Orang pasif pula sentiasa cepat mengaku kalah, rela haknya diambil ole orang lain, suka ikut orang lain secara membuta tuli, tak kisah, tak apa dan rela dipermainkan. Asertif yang terbaik kerana kita akan mempertahankan hak kita, menghormati hak orang lain, tidak menyakitkan diri sendiri dan orang lain serta tahu apa yang dikehendaki. Jadi anda memilih yang mana ya? Untuk diri cikgu sudah tentulah asertif. jadi 'assertive training' memang sangat penting dan baik untuk diamalkan dengan sentiasa memberi panduan dan pandangan untuk membuka minda, hati dan jiwa cikgu dan anak-anak. Mungkin cerita di bawah ini dapat membantu isu ini

         "Adik jawab soalan exam dengan betul dan tepat. Dah belajar ni tawakal ajela ya.. Kalau terlupa selawat banyak-banyak dan baca surah  Asy-Syarh.. InsyaALLAH nanti ALLAH SWT beri kemudahan untuk adik ingat kembali jika kita terlupa", ingatan suami cikgu kepada anak-anak di awal pagi sebelum mereka melangkah keluar rumah untuk menduduki peperiksaan. Kami memeluk dan mencium mereka sambil mengusap kepala dan belakang mereka, cikgu meneruskan lagi, "Buat imiginasi cemerlang ya... Bayangkan adik kembar boleh menjawab dengan terbaik, tepat dan bermutu jawapan adik ya.."  Begitulah senario pada hari-hari peperiksaan. Cuma kembar 'Amirah setelah menduduki peperiksaan selalu akan bertanya," Mak rasa kita dapat berapa A? Kita rasa kita susah nak lawan budak-budak dalam kelas, mereka pandai-pandai mak dan banyak tempat tiusyen yang mereka pergi." Tak apa adik, selalunya mereka yang tak pergi tiusyen boleh 'survive' masa di universiti nanti. Cubalah buat yang terbaik ya.Boleh tu, makayah selalu doakan adik..", cikgu menjawab soalannya dengan lebih lanjut. Cikgu menghuraikan lagi, "Apa yang penting bersainglah secara sihat, jangan iri hati, gunakan segala kekuatan adik, keluarkan yang terbaik dari dalam diri adik ya.. Yang lebih penting  daripada yang terpenting ialah pertingkatkan kualiti ibadah dan amalan kita sejak dari kecil agar ianya mendarah- mendaging dan sebati dengan diri adik ya. Perlu asertif dalam ibadah dan akhlak adik ya".

            Anak cikgu yang paling pendiam 'Atiqah selalunya bila diminta untuk menasihatkan adik-adik, ringkas nasihatnya, " Belajar aje dik, tak susah pun, belajar aje.. Jangan sibuk-sibuk dengan handset dan internet.." Anak yang paling kuat mentelaah, tahan duduk berjam-jam mengadap buku dengan hafalan dan hafazan Al Quran kerana USIM menyediakan pelajar perubatan yang mampu menghafaz AlQuran. Bila dapat tawaran belajar ke luar negara pun dia enggan pergi kerana kursus tersebut pun sudah ada dalam negara katanya. Setiap orang anak ada kekuatan dan kekurangannya.Cikgu teringat masa mula-mula menghantarnya ke asrama sekolah menengah aliran agama, setiap hari dia menelefon cikgu dan menceritakan cuma hanya dia sahaja yang masih tinggal di sekolah tersebut sedangkan 5 orang rakannya daripada sekolah rendah yang sama telah berpindah ke sekolah lain kerana tidak tahan berjauhan dengan keluarga.

             Cikgu sangat asertif dengannya dalam beberapa isu kerana cikgu sedar akan potensnyai. Dia agak pasif dan cepat menyerah kalah atas persaingan yang kuat di dalam kelasnya. Nasihat cikgu kepadanya dan serupa dengan abang dan kakaknya,"Iqa, mak serahkan iqa kepada ALLAH SWT, mak tak mampu nak didik iqa daripada sudut agama kerana kekurangan ilmu dan kesuntukan masa tetapi sekurang-kurangnya iqa akan faham daripada segi hukum dan peraturan agama untuk amalan diri iqa. Hujan ke, ribut ke, petir ke, tsunami ke, gempa bumi ke, iqa akan tetap bersekolah di situ. Tak ada bincang-bincang lagi." Tegas kata-kata cikgu sehinggakan selepas itu tidak kedengaran lagi permintaannya untuk keluar daripada sekolah tersebut. Setelah berada di Tamhidi  USIM , dia menyatakan dengan nada suara yang perlahan kepada cikgu," Mak, kawan iqa yang lari tak mahu bersekolah di sekolah agama dulu semuanya cukup makan sahaja result SPM mereka walaupun dulu  di sekolah rendah result kami hampir sama. Terima kasih mak bertegas dengan iqa dulu." 

            Cikgu mengulas dengan lebih lanjut," Masa mak bersekolah convent dulu mak rasa kagum dengan orang-orang Islam yang dapat menghayati perintah agama. Zaman tu tak ramai yang pakai tudung dan kami baru dalam tingkatan 2 sahaja.  Bayangkan bagaimana kasihNYA ALLAH SWT kepada mak dan kawan-kawan mak. Berjuang dan berjumpa dengan pengetua mak seorang 'sister' yang enggan membenarkan kami menutup aurat secara sempurna, kami solat bersama di sekolah sebelum pulang ke rumah sebab rumah jauh dari bandar dan takut terlepas solat zohor. Masa tu tak ada orang pun yang menekankan kami supaya bersolat. Mak dan kawan-kawan mak sangat  asertif  menjaga pergaulan walaupun pada masa itu ada peluang 'buat nakal', berdebat dengan rakan-rakan beragama kristian tentang 'kebenaran agama', sentiasa berbincang dan berwacana pasal agama, berlumba secara sihat dengan rakan-rakan bukan melayu untuk belajar masuk universiti. Universiti cita-cita dan impian kami bukannya cinta. Walaupun masa tu ramai kawan-kawan mak yang asyik masyuk bercinta. Sekurang-kurangnya jika mak ayah dah tutup mata untuk bertemu ALLAH SWT, mak tahu iqa dan anak-anak mak yang lain terdidik dengan 'akal budi', jati diri sebagai melayu Islam, mengenali 'akar' kita, khatam quran berkali-kali, dapat beribadah dengan sempurna, berupaya membaca jawi dengan baik, dapat menghayati kehidupan muslimahnya serta dapat meneruskan kesinambungan kehidupan hamba ALLAH SWT yang beriman dan bertaqwa.Itulah impian mak ayah. Bukan mudah untuk membangunkan ummah ni..Kita ni cuma sebahagian sahaja daripada komponennya." Panjang lebar huraian cikgu kepada anak-anak.

              Sebenarnya bila cikgu mengambil keputusan untuk menjadi wanita dan ibu bekerjaya masa bersama  anak-anak dan keluarga adalah terhad dan banyak tindakan cikgu perlu asertif. Selalu cikgu suami isteri maklumkan kepada anak-anak, "Memang mak ayah tidak mempunyai banyak masa dengan anak-anak. Kami cuba menyempurnakan tugas yang diamanah sebaik mungkin dengan harapan anak-anak kami.juga akan mendapat impacknya dalam kehidupan mereka ,'What goes around, comes around'." Teringat cikgu kepada pesanan seorang sahabat yang sangat suka berfalsafah," Kita jangan ambil rezeki anak-anak kita ... Caranya bagaimana?... Apabila jika tidak melaksanakan sungguh-sungguh tugasan kita, mengkhianati amanah yang diberikan. Tidak ada keberkatan dalam kehidupan kita". Teringat cikgu akan sepotong hadith, " Sifat amanah  membawa kepada pintu rezeki yang tidak disangka-sangka, manakala sifat khianat membawa kepada malapetaka." Kami dan anak-anak perlu mengambil analogi seekor ikan yang hidup di lautan yang kandungan garamnya sangat tinggi tetapi apabila manusia memasaknya dengan kaedah menggoreng, buat masakan asam pedas dan sebagainya perlu membubuh garam untuk memastikan masakan tersebut lazat dan berperisa. Asertif sungguh si ikan ini dalam keidupannya.

             Sebagai rumusannya atau moral of the story, kita perlulah asertif dalam mengamalkan Islam dalam kehidupan daripada perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hinggalah kebapada isu rumahtangga, masyarakat dan negara. Walaupun orang lain menolak untuk mengamalkan Islam atau 'jauh' daripada kehidupan beragama, janganlah kita agresif mengikut mereka atau pasif tidak berdakwah untuk membantu membetulkan 'allignment' mereka. Moga ALLAH SWT sentiasa memudahkan  kami dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi dan bantulah kami setiap detik dan ketika ya ALLAH. amin.

                 "Kami menikmati waktu pagi/ petang ini dengan kesedaran bahawa kerajaan (bumi dan segala isinya) ini seluruhnya ialah milik ALLAH. Ya ALLAH, ya Tuhanku aku memohon kepada-MU segala kebaikan yang ada pada hari ini iaitu: kejayaannya, kemenangannya, seri cahayanya, keberkatannya dan hidayahnya. Aku berlindung kepada MU daripada segala bala bencana yang ada pada hari ini, dan bala bencana yang ada pada hari sebelumnya, juga bala bencana pada hari selepasnya." amin
                                                                                      (Sunan Abu Daud, Mu'jam al-Tabranial Kabir)

No comments:

Post a Comment