Thursday 26 May 2011

MOGA ALLAH SWT MENEMPATKAN ROH MEREKA DALAM KALANGAN HAMBA-HAMBANYA YANG SOLEH & BERIMAN. AMIN



Dalam kenangan..
Mereka antara yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh pada tarikh 21 Mei 2011 berhampiran Rumah Anak Yatim At Taqwa Batu 14, Felda Semungkis, Ulu Langat, Selangor.

"Ya ALLAH ya Tuhanku, bagi-Mulah segala puji-pujian. Ya ALLAH, tiada siapa yang dapat memegang apa yang Engkau lepaskan. Tiada siapa yang dapat melepaskan bagi  apa yang Engkau pegang. Ya ALLAH, ya Tuhanku, sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu ni'mat pada hari kesengsaraan dan keamanan pada hari ketakutan." Amin 
     
      Semasa berehat di Hotel Brasmana  Kuala Perlis pada malam tersebut, cikgu rasa sangat tersentuh dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku hingga mengorbankan banyak nyawa daripada berita di televisyen. Dalam usia begini, sensitiviti , rasa tersentuh, sedih dan hiba apabila melihat kejadian begini atau musibah yang menimpa ummah menyebabkan tersentuh naluri keibuan dan sanubari cikgu. Hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui 'rahsia' tersirat disebalik sesuatu peristiwa atau kejadian. Tetapi menyelidiki kegiatan kolam menternak ikan di kawasan tinggi tanah runtuh itu, penebangan hutan, kerosakan flora dan fauna , kejadian tanah runtuh sebelum ini yang telah berlaku menyebabkan cikgu terfikir 'gelojoh' dan 'tidak bertimbang rasa'nya manusia mengejar kehidupan  duniawi hingga menyebabkan terancamnya nyawa insan-insan yang berada di persekitaran  kawasan tersebut. Seolah-olah terasa anak-anak ini teraniaya dengan 'tangan-tangan' manusia yang rendah rasa keinsanannya...

Moga ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa mereka yang telah terkorban dan mengurniakan syurga kepada mereka serta menempatkan mereka di kalangan hamba-hamba yang soleh, amin

"Ya ALLAH , ya Tuhan kami, matikanlah kami dalam keadaan Islam. Hidupkanlah kami dalam keadaan Islam. Himpunkanlah kami dengan orang yang soleh dalam keadaan yang tidak hina dan tidak difitnah". amin. al-Fatihah..

Friday 20 May 2011

AGGRESSIVE VS ASSERTIVE VS PASSIVE

"Ya ALLAH,ya Tuhan kami,Yang Meleraikan dukacita, Yang Melapangkan kekusutan,Yang Menyahut seruan orang yang susah,Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang di dunia dan akhirat, Engkau mengasihi aku, maka rahmatilah aku dengan sesuatu rahmat yang mencukupi untukku berbanding rahmat yang ada pada selain-Mu"
                                                                                           (Riwayat al-Bazzar,al-Hakim dan al-Asbahani)

          Sebentar lagi selepas Isyak, cikgu dan suami  akan ke Perlis menguruskan anak cikgu yang menyambung belajar di salah sebuah universiti di sana. Doakan kami selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik dari sana dan dipermudahkan segala urusan di sana. Teringat tadi cikgu mengajar guru-guru pelatih mengenai tajuk "Kawalan Kelas Secara Asertif". Sifat asertif perlu ada dalam setiap diri seorang individu untuk berjaya dalam semua urusan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Orang agresif sentiasa hendak menang, suka mengambil hak orang lain, suka menguasai orang lain, keras dan kasar. Orang pasif pula sentiasa cepat mengaku kalah, rela haknya diambil ole orang lain, suka ikut orang lain secara membuta tuli, tak kisah, tak apa dan rela dipermainkan. Asertif yang terbaik kerana kita akan mempertahankan hak kita, menghormati hak orang lain, tidak menyakitkan diri sendiri dan orang lain serta tahu apa yang dikehendaki. Jadi anda memilih yang mana ya? Untuk diri cikgu sudah tentulah asertif. jadi 'assertive training' memang sangat penting dan baik untuk diamalkan dengan sentiasa memberi panduan dan pandangan untuk membuka minda, hati dan jiwa cikgu dan anak-anak. Mungkin cerita di bawah ini dapat membantu isu ini

         "Adik jawab soalan exam dengan betul dan tepat. Dah belajar ni tawakal ajela ya.. Kalau terlupa selawat banyak-banyak dan baca surah  Asy-Syarh.. InsyaALLAH nanti ALLAH SWT beri kemudahan untuk adik ingat kembali jika kita terlupa", ingatan suami cikgu kepada anak-anak di awal pagi sebelum mereka melangkah keluar rumah untuk menduduki peperiksaan. Kami memeluk dan mencium mereka sambil mengusap kepala dan belakang mereka, cikgu meneruskan lagi, "Buat imiginasi cemerlang ya... Bayangkan adik kembar boleh menjawab dengan terbaik, tepat dan bermutu jawapan adik ya.."  Begitulah senario pada hari-hari peperiksaan. Cuma kembar 'Amirah setelah menduduki peperiksaan selalu akan bertanya," Mak rasa kita dapat berapa A? Kita rasa kita susah nak lawan budak-budak dalam kelas, mereka pandai-pandai mak dan banyak tempat tiusyen yang mereka pergi." Tak apa adik, selalunya mereka yang tak pergi tiusyen boleh 'survive' masa di universiti nanti. Cubalah buat yang terbaik ya.Boleh tu, makayah selalu doakan adik..", cikgu menjawab soalannya dengan lebih lanjut. Cikgu menghuraikan lagi, "Apa yang penting bersainglah secara sihat, jangan iri hati, gunakan segala kekuatan adik, keluarkan yang terbaik dari dalam diri adik ya.. Yang lebih penting  daripada yang terpenting ialah pertingkatkan kualiti ibadah dan amalan kita sejak dari kecil agar ianya mendarah- mendaging dan sebati dengan diri adik ya. Perlu asertif dalam ibadah dan akhlak adik ya".

            Anak cikgu yang paling pendiam 'Atiqah selalunya bila diminta untuk menasihatkan adik-adik, ringkas nasihatnya, " Belajar aje dik, tak susah pun, belajar aje.. Jangan sibuk-sibuk dengan handset dan internet.." Anak yang paling kuat mentelaah, tahan duduk berjam-jam mengadap buku dengan hafalan dan hafazan Al Quran kerana USIM menyediakan pelajar perubatan yang mampu menghafaz AlQuran. Bila dapat tawaran belajar ke luar negara pun dia enggan pergi kerana kursus tersebut pun sudah ada dalam negara katanya. Setiap orang anak ada kekuatan dan kekurangannya.Cikgu teringat masa mula-mula menghantarnya ke asrama sekolah menengah aliran agama, setiap hari dia menelefon cikgu dan menceritakan cuma hanya dia sahaja yang masih tinggal di sekolah tersebut sedangkan 5 orang rakannya daripada sekolah rendah yang sama telah berpindah ke sekolah lain kerana tidak tahan berjauhan dengan keluarga.

             Cikgu sangat asertif dengannya dalam beberapa isu kerana cikgu sedar akan potensnyai. Dia agak pasif dan cepat menyerah kalah atas persaingan yang kuat di dalam kelasnya. Nasihat cikgu kepadanya dan serupa dengan abang dan kakaknya,"Iqa, mak serahkan iqa kepada ALLAH SWT, mak tak mampu nak didik iqa daripada sudut agama kerana kekurangan ilmu dan kesuntukan masa tetapi sekurang-kurangnya iqa akan faham daripada segi hukum dan peraturan agama untuk amalan diri iqa. Hujan ke, ribut ke, petir ke, tsunami ke, gempa bumi ke, iqa akan tetap bersekolah di situ. Tak ada bincang-bincang lagi." Tegas kata-kata cikgu sehinggakan selepas itu tidak kedengaran lagi permintaannya untuk keluar daripada sekolah tersebut. Setelah berada di Tamhidi  USIM , dia menyatakan dengan nada suara yang perlahan kepada cikgu," Mak, kawan iqa yang lari tak mahu bersekolah di sekolah agama dulu semuanya cukup makan sahaja result SPM mereka walaupun dulu  di sekolah rendah result kami hampir sama. Terima kasih mak bertegas dengan iqa dulu." 

            Cikgu mengulas dengan lebih lanjut," Masa mak bersekolah convent dulu mak rasa kagum dengan orang-orang Islam yang dapat menghayati perintah agama. Zaman tu tak ramai yang pakai tudung dan kami baru dalam tingkatan 2 sahaja.  Bayangkan bagaimana kasihNYA ALLAH SWT kepada mak dan kawan-kawan mak. Berjuang dan berjumpa dengan pengetua mak seorang 'sister' yang enggan membenarkan kami menutup aurat secara sempurna, kami solat bersama di sekolah sebelum pulang ke rumah sebab rumah jauh dari bandar dan takut terlepas solat zohor. Masa tu tak ada orang pun yang menekankan kami supaya bersolat. Mak dan kawan-kawan mak sangat  asertif  menjaga pergaulan walaupun pada masa itu ada peluang 'buat nakal', berdebat dengan rakan-rakan beragama kristian tentang 'kebenaran agama', sentiasa berbincang dan berwacana pasal agama, berlumba secara sihat dengan rakan-rakan bukan melayu untuk belajar masuk universiti. Universiti cita-cita dan impian kami bukannya cinta. Walaupun masa tu ramai kawan-kawan mak yang asyik masyuk bercinta. Sekurang-kurangnya jika mak ayah dah tutup mata untuk bertemu ALLAH SWT, mak tahu iqa dan anak-anak mak yang lain terdidik dengan 'akal budi', jati diri sebagai melayu Islam, mengenali 'akar' kita, khatam quran berkali-kali, dapat beribadah dengan sempurna, berupaya membaca jawi dengan baik, dapat menghayati kehidupan muslimahnya serta dapat meneruskan kesinambungan kehidupan hamba ALLAH SWT yang beriman dan bertaqwa.Itulah impian mak ayah. Bukan mudah untuk membangunkan ummah ni..Kita ni cuma sebahagian sahaja daripada komponennya." Panjang lebar huraian cikgu kepada anak-anak.

              Sebenarnya bila cikgu mengambil keputusan untuk menjadi wanita dan ibu bekerjaya masa bersama  anak-anak dan keluarga adalah terhad dan banyak tindakan cikgu perlu asertif. Selalu cikgu suami isteri maklumkan kepada anak-anak, "Memang mak ayah tidak mempunyai banyak masa dengan anak-anak. Kami cuba menyempurnakan tugas yang diamanah sebaik mungkin dengan harapan anak-anak kami.juga akan mendapat impacknya dalam kehidupan mereka ,'What goes around, comes around'." Teringat cikgu kepada pesanan seorang sahabat yang sangat suka berfalsafah," Kita jangan ambil rezeki anak-anak kita ... Caranya bagaimana?... Apabila jika tidak melaksanakan sungguh-sungguh tugasan kita, mengkhianati amanah yang diberikan. Tidak ada keberkatan dalam kehidupan kita". Teringat cikgu akan sepotong hadith, " Sifat amanah  membawa kepada pintu rezeki yang tidak disangka-sangka, manakala sifat khianat membawa kepada malapetaka." Kami dan anak-anak perlu mengambil analogi seekor ikan yang hidup di lautan yang kandungan garamnya sangat tinggi tetapi apabila manusia memasaknya dengan kaedah menggoreng, buat masakan asam pedas dan sebagainya perlu membubuh garam untuk memastikan masakan tersebut lazat dan berperisa. Asertif sungguh si ikan ini dalam keidupannya.

             Sebagai rumusannya atau moral of the story, kita perlulah asertif dalam mengamalkan Islam dalam kehidupan daripada perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hinggalah kebapada isu rumahtangga, masyarakat dan negara. Walaupun orang lain menolak untuk mengamalkan Islam atau 'jauh' daripada kehidupan beragama, janganlah kita agresif mengikut mereka atau pasif tidak berdakwah untuk membantu membetulkan 'allignment' mereka. Moga ALLAH SWT sentiasa memudahkan  kami dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi dan bantulah kami setiap detik dan ketika ya ALLAH. amin.

                 "Kami menikmati waktu pagi/ petang ini dengan kesedaran bahawa kerajaan (bumi dan segala isinya) ini seluruhnya ialah milik ALLAH. Ya ALLAH, ya Tuhanku aku memohon kepada-MU segala kebaikan yang ada pada hari ini iaitu: kejayaannya, kemenangannya, seri cahayanya, keberkatannya dan hidayahnya. Aku berlindung kepada MU daripada segala bala bencana yang ada pada hari ini, dan bala bencana yang ada pada hari sebelumnya, juga bala bencana pada hari selepasnya." amin
                                                                                      (Sunan Abu Daud, Mu'jam al-Tabranial Kabir)

Wednesday 18 May 2011

Bagaimana Interpersonal Kita Dengan Insan Di Sekeliling Kita?

"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para Nabi & syuhada, tapi para Nabi dan syuhada iri pada mereka. Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana ALLAH SWT, saling bersahabat kerana ALLAH SWT dan saling bekunjung kerana ALLAH SWT." (HR.Tirmidzi)

Moga kita tergolong dalam kalangan mereka,amin






      "Sudah berapa tahun kita berkahwin ya abang ? ", tanya cikgu pada suami. "Hampir 27 tahun rasa abang", jawab suami cikgu. "Nor rasa macam baru semalam kita kahwin abang.", cikgu memberi tindakbalas atas jawapannya. Tersenyum suami cikgu mendengar penjelasan  cikgu. "Sungguh abang, MASYAALLAH cepat betul masa berlalu, memang rasa baru lagi." Memerhatikan deretan 6 orang anak-anak cikgu selalu cikgu panjatkan rasa kesyukuran kepada ILLAHI atas kurniaan-NYA, syukur ALHAMDULILLAH. Teringatkan saat getir bila ingin membuat keputusan untuk menerima atau menolaknya  apabila suami cikgu menyatakan hasrat. Tapi sehingga kini kami masih mengabiskan masa berbual dan bercerita berjam-jam lamanya pada hal sebelum berkahwin tak berapa kenal pun. Berbeza dengan keadaan remaja pada hari ini yang menghabiskan masa berjam-jam 'bergayut' di telefon sehingga banyak mengabaikan masa dengan ALLAH SWT, ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

            Teringat cikgu pada minggu lepas cikgu mengajar pelajar-pelajar KPLI tentang "Kemahiran Interpersonal" dalam Ilmu Pendidikan- Psikologi. Penting sungguh kemahiran ini untuk dihayati dalam kehidupan sebagai seorang insan, tetapi sayang cikgu lihat kemahiran ini sudah semakin pupus dan kurang dihayati. seorang Ketua Jabatan pernah berkongsi kerisauannya memerhatikan telatah golongan muda yang meminggirkan dan tidak langsung menghayati kemahiran interpersonal dalam kehidupan sebagai pelajar, kerjaya dan kehidupan. Golongan muda hari ini sukar nak terima nasihat orang-orang tua macam kami. Jika dahulu, semasa kami 'muda' suka sangat duduk berbual, menegur sapa, minta pandangan dan minta jika ada apa-apa nasihat untuk kami golongan 'muda' ni daripada golongan 'tua'. Itu antara sebab cikgu sangat rapat dengan guru-guru lama, menghargai pandangan dan pengalaman mereka dan mengambilnya sebagai ikhtibar. Bekas pengetua-pengetua dan rakan-rakan guru yang cikgu pernah bekerja dengan mereka masih rapat sehingga kini dan ramai yang memberi 'petua kehidupan' untuk merangsang kehidupan ibadah, kerjaya , kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Sikap 'ego' golongan muda memang jelas terpancar dengan pelbagai insiden yang cikgu alami terutamanya semasa bertugas di JHEP. Kadang-kadang terfikir, bagaimana agaknya keadaan realiti mereka sebagai seorang anak gadis, apabila telah menjadi isteri dan ibu kelak. Sangat sukar untuk menerima nasihat, teguran, pandangan orang lain walaupun pensyarah sendiri. Dari sudut IQ bagus, tetapi di sudut EQ dan SQ memang rendah dan sukar membawa diri. Intrapersonal banyak yang belum diuruskan secara bijaksana maka sudah tentu interpersonalnya lagi bermasalah. 

      Dalam kehidupan berkeluarga pula daripada awal perkahwinan hingga beranak-pinak pula suami dan anak-anak cikgu akan beri nasihat dan teguran kepada cikgu jika dirasakan perlu. Begitu juga disebaliknya. Cikgu suami isteri mendidik anak-anak untuk membiasakan diri menerima teguran, menerimanya dengan berlapang dada dan melihat daripada kacamata yang positif. Anak-anak juga dilatih untuk menjadi orang yang kuat mentalnya, berjiwa besar, tidak mudah tersinggung, berlapang dada dengan teguran yang diberikan, meminta maaf jika membuat kesilapan dan mengguriskan hati ahli keluarga dan orang lain. Sebab itu dalam rumahtangga cikgu tidak ada yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa serta mengundang suasana yang tidak selesa sesama ahli keluarga. Oleh itu dalam stress pun tidak mudah rasa tertekan atau histeria. Jika anak-anak bercerita tentang masalah dan tekanan yang mereka hadapi , nasihat kami suami isteri," Kakak, angah, iqa, hakim, kembar jauh lagi perjalanan hidup kita. Banyak lagi pengalaman suka duka, ranjau kehidupan, kerenah manusia, cabaran dan tekanan kehidupan yang akan dilalui. Jadi anggaplah pengalaman yang dilalui ini sebagai pendidikan dan pengalaman yang tiada dalam buku. So just face it with your BIG heart." Cikgu teringat bila cikgu dan  para pelajar di bawah kelolaan cikgu kena marah dan diberi  teguran atas majalah yang akan kami keluarkan, cikgu senyum sahaja dan bila majalah dah siap cikgu tunjukkan hasil karya kami kepada yang mengkritik. "Kuat mental you hajah ya walaupun dikritik hebat," ucapan pertama pengkritik cikgu. Cikgu senyum sahaja, dalam hati cikgu berbisik,"ALHAMDULILLAH, syukur aku kepada MU kerana memberi kemudahan dan sentiasa dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang sentiasa sedia membantu ku dengan kepakaran mereka. Berkatilah mereka ya ALLAH".



      Didikan interpersonal ini mengingatkan cikgu  pada suatu petang, apabila sahaja sampai ke dalam rumah, anak lelaki cikgu duduk disebelah cikgu dan berkata,"Mak, tolong Hakim selesaikan masalah Hakim dan kembar 'Amirah. Dia marah Hakim hari ini sebab Hakim tak tolong dia kemas rumah. Adik marah betul dengan Hakim. Memang Hakim salah tapi Hakim penat betul semalam hingga tertidur sakan hari ini." Cikgu memanggil sikembar 'Amirah dan cuba bercakap dari hati ke hati dengannya. Si kembar 'Amirah ini memang sangat rajin, kemas, teliti dan prihatin terhadap kebersihan. Kalau dia bertugas di dapur minggu tersebut, dapur memang bersih dan macam-macam makanan dia akan sediakan untuk kami. Belum apa-apa lagi dia sudah menangis, kedengaran suaranya tersekat-sekat, "Abang Hakim tak tunai  lagi janjinya nak tolong kita kemas rumah, dia rehat sahaja. Kita penat mak. Dia dah janji nak tolong tapi tak tolong pun. Kita geram dengan abang Hakim mak." "Abang minta maaf, lain kali abang tak buat lagi. Abang tak suka adik marah-marah abang macam ni.. Nanti ayah marah kalau dia tahu kita bergaduh." Di akhir krisis selalunya yang berkrisis akan bersalaman, adik cium tangan abang dan abang akan mencium dahi adik serta memeluk antara satu sama lain. Sebagai ibu memang terasa syahdu masa itu. Ini penting untuk menghilangkan sifat-sifat mazmumah dan membina semula hubungan interpersonal mereka. Suami cikgu sudah membentuk anak-anak tidak mencerita hal-hal negatif orang lain kerana ianya ibarat 'meletakkan racun dalam badan kita'. Disamping itu anak-anak tidak dibenarkan bercerita tentang 'kehebatan' diri, merendahkan orang lain serta menghayati sifat-sifat mahmudah. 


      Cikgu teringat nasihat seorang ibu mithali negeri Johor yang cikgu temui semasa majlis walimah anak buah cikgu."Untuk memastikan anak-anak kita berjaya dalam urusan duniawi dan ukhrawi, pastikan kita sebagai ibu perlu menghayati sifat-sifat mahmudah di mana hati perlu bersih. Jangan ada sifat dengki, irihati dan khianat dalam diri kita. Anak-anak juga perlu dilatih dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmunah." Rumusan cikgu binalah intrapersonal diri yang kukuh, selesaikan faktor 'dalaman' kita. Kemudian barulah kita dapat membina interpersonal sesama ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat apabila hati dan jiwa kita sudah bersih. Kehidupan pun lebih tenang, aman dan damai. "Ingat kita akan tuai apa yang kita tanam suatu hari nanti" nasihat suami cikgu kepada anak-anak.

         Itu agaknya faktor yang merasai 'tahun perkahwinan' selama 27 tahun seperti baru semalam berkahwin, masih banyak perlu diterokai mengenai  pasangan dan kehidupan cikgu. Membina hubungan interpersonal bersama pasangan kita, anak-anak dan ahli keluarga akan memaparkan 'warna' sebenar kita bila berinterpersonal dengan rakan-rakan dan ahli masyarakat. Ianya bukan kerja yang mudah untuk mentarbiah diri dengan sifat-sifat mahmudah sebelum membina interpersonal dengan orang lain. Teringat cikgu akan pantun dibawah dan ucapan HAMKA:


Apakah tanda batang tebu,

Batang tebu halus uratnya,
Apakah tanda orang berilmu,
Orang berilmu halus budinya..



"Umur badan terbatas. Umur batu nesan kadang-kadang lebih panjang dari umur badan, tetapi umur jasa dan kenangan lebih panjang dari umur batu nesan,
Sebab itu Jalaluddin Rumy pernah ketika orang minta izin kepadanya hendak mengubah pada kuburannya apabila dia mati. Beliau menjawab,"Tak usahlah mengubah pada kuburanku, kalau hendak menziarahi aku temuilah aku dalam hati orang yang mengenali ajaranku"- HAMKA

Jadilah anak mithali, isteri/suami mithali, ibu/bapa mithali dan  insan mithali tetapi janganlah menjadi insan 'menyesali'..........

"Segala puji bagi ALLAH yang telah membaikkan kejadianku, lalu baguskannya dan memuliakannya rupa mukaku lalu mengindahkannya dan menjadikan daku dari golongan orang-orang yang menyerah diri kepada ALLAH" Amin Ya ALLAH


Saturday 7 May 2011

Anak Lelaki Vs Anak Perempuan

ALLAH memaklumkan dlm Quran;"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim:7)- Terima kasih anakda Nazil Azadi Azlan atas ingatan dan perkongsian.

            "Ingat ya, kita akan terbentuk dengan apa yang kita lihat, makan dan ucapkan. Jadi tengoklah sahaja perkara-perkara yang baik dan boleh mendidik kita untuk menjadi hamba ALLAH yang soleh dan solehah", begitulah ucapan suami cikgu kepada anak-anak cikgu semasa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur tempuh hari. Terdengar nasyid dendangan Kumpulan Nowseeheart yang bertujuan untuk mentarbiah mereka. Senikata dan iramanya yang sangat menyentuh kalbu. "Ni ayah belum check lagi apa yang ditonton dalam internet. Elakkan dosa mata kerana ianya akan merosakkan jiwa, hati dan perasaan kita. Menyebabkan roh kita menderita jika apa yang dilihat tidak berfaedah, mengaibkan dan merosakkan". Kadangkala cikgu suami isteri buat 'spot check' di facebook atau blog mereka dan memberi teguran untuk memperbaiki dan mengawal selia mereka. Kami memang sepakat sejak awal perkahwinan untuk mendidik anak-anak dalam apa jua keadaan supaya mereka dingati dan diperbetulkan ke landasan yang benar. Maklumlah dalam kesibukan kehidupan adakalanya kami takut kami terleka dengan urusan dunia yang tidak pernah selesai.

            Ada rakan-rakan cikgu yang berkongsi cerita kehidupan mereka dan bertanya,"Susah betul mendidik anak-anak lelaki, mereka keras hati, ego, sukar hendak ditegur, jika tak kena caranya boleh ajak kita 'berlawan' pula. Kawan jadi keutamaan dan penasihat mereka. Girlfriend keliling pinggang, macamana kak nak menghadapi mereka?". Yang ada anak perempuan pula dengan soalan mereka," Anak perempuan ni nampak  saja lembut tapi keras hati, kata dia kata dia sahaja yang betul, emosi pula tu. Kalau ada boyfriend susah kita sebab lebih dengar cakap boyfriend daripada kita mak ayah mereka. Itu yang sanggup lari hingga ke Lombok. Cepat feeling sangat. Bergayut lama dengan boyfriend. Susah hati saya dibuatnya. Apa nak buat ni..."Itu lah antara rintihan hati  ibu dan bapa yang anak-anak sedang meningkat remaja. Anak-anak tak tension, mak ayah yang banyak tension. Tugas kita sebagai mak ayah tak pernah selesai, sampai mereka berkahwin dan bekeluarga pun hendaklah beri nasihat jika diperlukan.

           Anak-anak selalu kata cikgu sangat tegas manakala suami cikgu pula sangat lembut dan berhemah.Tak tahulah ya. Tapi personaliti kami diluar lain pula kata anak-anak, cikgu nampak lembut dan suami cikgu pula nampak serius. Semasa memberi ceramah pula mereka kata cikgu nampak serius dan suami cikgu nampak kelakar dan santai.Tapi bila ALLAH SWT pasangkan kita denga personaliiti yang kontra sebegini, kita perlu muafakat elok-elok. Kalau suami cikgu marah dan beri teguran kepada anak-anak, cikgu akan jadi 'penyokong tegar' kepada suami. Begitulah sebaliknya, jadi anak-anak tidak boleh main-main dengan kami sebab mereka tidak ada peguam bela. Cikgu teringat bila anak-anak lelaki cikgu berkongsi cerita mereka dengan ibu-ibu saudara mereka,"Dengan mak jangan main-main terutama bab solat, belajar, aurat, pergaulan dan kerja. Memang sangat tegas. Tapi mak tidak 'membebel', dia sangat asertif dalam beri teguran dan perkara-perkara dia  tidak selesa dengan kami. Memang dia beri ruang perbincangan tapi perkara yang diputuskan kami sama-sama kena akur. Lepas subuh siaplah mak ayah beri kuliah tentang perkara-perkara yang perlu dibaiki." Tetapi kalau cikgu kaji hanya individu yang terlibat sahaja yang perlukan teguran, cikgu akan memanggilnya ke dalam bilik bersama suami dan kami akan bercakap dari hati ke hati untuk 'mengetahui' dan meneroka permasalahannya yang sebenar.

           Teringat cikgu kepada ulama' yang cikgu sangat hormati dan hayati tazkirahnya semasa cikgu remaja dan sebelum menjadi isteri dan ibu, "Dalam mendidik anak-anak, kita perlukan adunkan perasaan sayang, hormat dan takut". Tapi satu perkara yang tidak mampu lagi cikgu lakukan bila melihat anak-anaknya dari usia 5 tahun sehingga 18 tahun telah berada di sejadah menanti subuh sejak pukul 5 pagi lagi. Manakala isterinya bila masuk waktu solat terus solat dengan menggantikan pakaian yang bersih, cantik, wangi-wangian, menutup aurat dengan sempurna (mini telekong dalam telekong agar tidak jarang) serta solat dengan penuh kyusuk dan tawadhuk. Selalu cikgu pesan dengan anak-anak perempuan,"Solat dengan sempurna, aurat dalam solat dan di luar solat jaga sungguh-sungguh. Takut ibadah tidak diterima dan balik berjumpa ALLAH SWT dengan peti dan bekalan yang kita bawa kosong. Jadi perindahkan ibadah". 

           Untuk mendidik anak-anak perempuan dengan bab taharah, bila sahaja mereka baligh cikgu pastikan cikgu mandikan mereka sendiri dan tunjukkan cara-cara bersuci daripada hadas besar untuk kali pertamanya. Begitu juga anak lelaki bila mereka memaklumkan sudah mengalami 'mimpi yang indah' cikgu akan mandikan mereka dan tunjukkan cara yang betul bersuci daripada hadas. Takut bab taharah dan bersuci ini tidak dilakukan dengan sempurna. Begitulah' pendidikan' yang diamalkan, besar tanggungjawab kami dengan generasi muda. Ini belum lagi bab-bab yang lain. Moga ALLAH SWT memberi kemudahan kepada cikgu. amin

            Kembali kepada pertanyaan rakan-rakan cikgu yang mempunyai krisis dengan anak-anak mereka, memang nak kena uruskan dengan hikmah dan bijaksana kerana anak-anak sekarang perlu dihuraikan dengan teori sebab-musabab. Cikgu selalu memberitahu anak-anak cikgu betapa kagumnya cikgu melihat kenalan di facebook yang cikgu kira telah dapat dididik dengan 'terbaik' oleh ibubapa mereka. Moga ALLAH SWT merahmati ibu bapa mereka atas kebaikan yang telah diberi dalam pendidikan dan kehidupan, amin. Anak-anak perlu kita menangi hati mereka, kalau kita  sebagai ibu bapa tidak memenangi hatinya maka mereka akan ditakluki oleh sahabat, kekasih dan unsur-unsur lain di luar rumah. Tak perlu menangi 'hati' mereka dengan kekayaan, kebendaan dan perkara-perkara keduniaan. Tetapi cukuplah sekadar kita menggunakan 'prime time' dengan mereka, melayan 'cerita-cerita' mereka, memberi respon dan pandangan tentang isu-isu yang mereka kongsikan, memberi penghargaan dan ucapan baik-baik kepada mereka, memberi perhatian terhadap kebajikan mereka, bertanya kabar dan 'cerita' kehidupan mereka dan kawan-kawan, merasionalkan tindakan dan ketegasan kita sebagai ibu bapa. 

           Oleh kerana itu, bila sahaja suami cikgu balik dari kerja, pertanyaan cikgu, "Apa cerita hari ini abang?". Begitu juga dengan anak-anak di mana kalau mereka tidak balik dari universiti untuk minggu tersebut, cikgu akan call dan hantar sms," Kak/ Angah/ Iqa/ Hakim apa cerita hari ini?" Kalau mereka berkeinginan untuk balik pada hujung minggu sangat-sangat dialu-alukan. Ada ketikanya cikgu akan mengambil sendiri mereka di kampus. Tapi anak-anak ni yang pasti akan telefon dan sms bila 'budget' dah habis. Perlu beri kuliah pengurusan kewangan yang berkesan pula kepada mereka. ALHAMDLILLAH setakat ini mereka boleh menguruskan kewangan dengan baik. Secara peribadi menguruskan anak-anak perempuan lebih mudah cikgu rasa kerana mereka 'mendengar kata' cuma dengan anak-anak lelaki ini banyak nak rasionalkan tindakan terhadap mereka dan melihat dengan siapa mereka berkawan. Anak yang sulung selalunya cikgu 'pegang' dahulu agar boleh menjadi contoh dan memberi pengajaran kepada adik-adiknya yang di bawah serta mengingatkannya untuk bertindak demi kemaslahatan adik-adik dan keluarga. Bukan mudah untuk mendidik anak-anak di zaman yang serba mencabar sekarang bagi memastikan keimanan keturunan sentiasa terjaga dan terpelihara.

              "Wahai TUHANku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat MU yang ENGKAU kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang ENGKAU redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMU dan sesungguhnya aku daripada orang Islam(yang tunduk patuh kepada MU)"
                           
                                                                                                                                (Surah al-Ahqaf: 15)

"Happy Ending" In Life

Bila membaca bahan-bahan dihantar oleh rakan-rakan fb selalunya cikgu akan mengambil bahan-bahan yang 'terkesan ' dihati yang bertujuan untuk mendidik diri dan hati sebab dalam usia yang begini yang bakal menjadi warga emas terasa perjalanan menuju  ILAHI sudah semakin dekat dan hampir. Tidak mahu terleka dan terlena pada duniawi walaupun terasa 'kelazatan' duniawi ini. Cikgu teringat nasihat seorang ustaz,  'Dunia adalah jambatan ke ahirat. Bukan 50-50 iaitu 50 dunia - 50 akhirat.' Segala apa yang cikgu paparkan dalam blog ini adalah untuk kenangan hidup cikgu dan mungkin boleh menjadi pengajaran kepada yang lain.

Dalam wacana ini cikgu berkongsi dengan anakda Silti Illani Hj Shahbudin.  Siti Illani ini prihatin orangnya, ada jiwa agama dan tawadhuk orangnya. Cikgu 'membacanya' melalui penulisannya walaupun tidak pernah berjumpa dengannya..

"Daripada Abu Hurairah dia telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Berdoalah kepada ALLAH dan kamu yakin dia akan dimustajabkan dan ketahuilah ALLAH tidak akan menunaikan doa daripada hati yang lalai."                           - Riwayat Al Tirmizi

Tanda-tanda hidup diakhiri dengan 'happy ending'- husn al khatimah

1. Diakhiri dengan lafaz shahadah - Daripada Muaz r.a., bersabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesiapa yang pada akhir kalimatnya mengucapkan la ilaha illallah maka dia dimasukkan ke dalam syurga." (Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)  
 2. Dahinya berkeringat - Ini berdasarkan hadis daripada Buraidah Ibn al-Khasib berkata: "Allahuakbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda (maksudnya): Mati seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya." (Riwayat Ahmad, Al-Nasai, Al-Tarmizi, Ibn Majah dll)  
 3. Mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat - Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Tidaklah seorang muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pasti Allah swt menghindarkannya daripada seksa kubur." (Riwayat Ahmad)  
 4. Mati dalam keadaan melakukan ibadah - seperti mati ketika dalam solat, puasa, umrah, haji atau berjihad.
 5. Pujian daripada orang Islam terhadap si mati   Bagaimana kita mengakhiri hayat kita adalah penting, tetapi jauh lebih penting lagi adakah kita sudah bersiap sedia menghadapinya? Tepuk dada tanya iman :)   sumber: Solusi 29 (Mencipta Syurga Rumah Tangga)

Thursday at 8:40pm ·  ·  ·  · 

  • Fura Batrisya likes this.

    • Siti Illani Hj Shahbudin 
      APe pendapat bonda ea ttg hamba2 Allah yg 'bakal di jemput' sbb sakit cthnya, di minggu terakhirnya dia tibe2 sihat dan ceria seolah2 x sakit lg sedangkan sblm tu kondisi dia agak kritikal spt dekat sgt da waktunya...adakah 'suatu petanda' dari-Nya juga buat si hamba? Sekadar mencetus muhasabah...kebetulan sedang melalui keadaan itu dgn makcik yg sdg sakit skrg... (sbb saya tgk kebanyakkan anak2 bonda yg comment sume panggil bonda :))

      Thursday at 9:17pm ·  ·  2 people

    • Noraidah Yaakub 
      Anakda Siti Illani, tak apa anakda boleh panggil bonda ya :) Mungkin mrk panggil bonda sbb rasa dekat di hati...Sebenarnya mmg ramai juga yang bonda jumpa dalam keadaan yang sedemikian. Contohnya Allahyarham datuk dan ibu bonda. Mereka ni antara insan yang berpegang teguh kpd agama dalam kehidupan seharian bonda saksikan. Rasanya petanda yang baik tu untuk berbaik sangka sbb ada doa mereka yang mustajab yang mohon kpd ALLAH SWT agar dapat merasai ni'mat kasihsayang anak-anak sebelum pergi buat selama-lamanya bertemu penciptanya.

      Thursday at 9:47pm · 

    • Noraidah Yaakub 
      Allahyarham datuk bonda ini bekas guru besar/ pengerusi masjid dan sgt amanah dalam pengurusan kewangan bonda lihat. Beliau juga sgt memuliakan tetamu. Nasihatnya kpd kami semasa hayatnya , "Jangan salah guna kuasa dan wang. Gunakan wang kita sendiri jika mampu. Jangan salahguna wang masjid" Allahyarham mempunyai anak lelaki (bapa saudara bonda) yang meninggal muda kerana sakit dalam usia muda. Bonda ingat sebelum jenazah dikafankan perkataan terakhir utk Allahyaham anaknya,"Pergilah dulu mengadap ILLAHI, ayah akan mengikut kemudian,". Kali pertama bonda tengok dia mengalirkan air mata. SubhanALLAH tenang betul dia pada masa itu mungkin sbb dia teringat mimpi Allayarham bapa saudara bonda ni pernah bercerita sebelum dia koma selepas pembedahan iatu bermimpi berjumpa dengan Baginda RASULULLAH SAW yang sangat cantik dan bercahaya. Moga ALLAH menempatkan mereka bersama-sama org yang soleh.amin

      Thursday at 10:11pm · 

    • Siti Illani Hj Shahbudin 
      Ameen..subhanaLlah...saya juga bersangka baik moga2 ALlah bagi nikmat utk berkasih sayang kesekian kalinya buat makcik saya sblm janji dia tiba...syukur sbb terase ALlah dengar juga doa dari insan kerdil mcm saya ni bonda...kebetulan barangkali...ape pun alhamduliLlah..saya tetap doakan pengakhiran yg trbaik utk makcik saya tu...samada nikmat sembuh dari sakit itu dan istiqamah dlm taat pada ALlah atau kembali dalam keadaan jiwanya di ampuni dan di redhai ALlah...moga yg terbaik buatnya, ameen~ syukron bonda ats perkongsian nie :)

      Thursday at 10:41pm ·  ·  1 person

    • Noraidah Yaakub Ameen. terima kasih anakda.
      Thursday at 11:33pm · 

Wednesday 4 May 2011

HOW'S LIFE AS A MOTHER IN LAW?

Daripada Ma'qal bin Yaasar R.A, bahawasanya telah bersabda Rasulullah SAW,"Hati Al Quran ialah Surah Yasin, tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang sedang mengharapkan ALLAH dan kampung akhirat melainkan diampunkan oleh ALLAH dosanya, dan bacalah surah Yasin kepada mereka yang hampir akan mati dan selepas mati"                                              (HR  Ahmad, Abu Daud dan AnNasaai)

           Suatu pagi suami cikgu melontarkan soalan, "Antara menulis dan membaca, mana yang lebih baik?". Jawapan cikgu,"Membaca agaknya abang". Tapi jawapan seperti yang diutarakan oleh suami cikgu,"Menulis. kerana penulis terpaksa berfikir, berimaginasi, kreatif dan  kritis untuk mempamerkan bahan penulisan yang baik dan bermutu. Manakala membaca masih lagi berkreatif dan berimaginasi kepada bahan dan idea yang telah sedia ada. Berbanding dengan menulis yang memerlukan lebih  luas 'lapangan' kreativiti dan imaginasinya serta melangkaui ruang yang sedia ada. Menonton pula tidak mencabar minda kerana bahannya telah sedia ada untuk ditonton tanpa perlu memaksa minda untuk 'bekerja' kuat. Penulisnya mungkin seorang tetapi pembacanya mungkin  melangkaui 100,000 orang. Di sinilah kehebatan seorang penulis.

           Saja cikgu mengimbau kembali perbualan cikgu suami isteri di suatu pagi untuk memotivasi dan mengingatkan diri cikgu sendiri. Menulis sudah jadi macam suatu terapi pula untuk diri cikgu. Rasa sihat dan puas bila dapat berkongsi banyak 'cerita' kehidupan dengan orang lain. Kali ini cikgu nak berkongsi pula cerita pertanyaan cepu mas atau popular selepas menjadi ibu mertua. Ramai kawan-kawan pensyarah yang mengusik dan menyakat cikgu. Selalunya 'pengantin' yang teruk kena usik, tapi kali ini mak pengantin pula kena usik. "Noraidah, you're so lucky to be a mother in law at this age. Just imagine, all my daughters are still busy with their work and have to postpone their marriage. Wah... by next year you will be a grandma". Selalunya cikgu senyum saja sambil 'geleng-geleng' kepala. "She's still studying and as usual the KPLI students are not allow to get pragnant. Hoping by next year as soon as she finished her course. InsyaALLAH".

           Cuma nak berkongsi bukan untuk berbangga sebenarnya dari masih belajar di UIAM lagi selalu anak cikgu bercerita tentang kawan-kawannya yang banyak 'tercicir' selepas berkahwin. Tidak dapat dinafikan ada yang tinggi prestasinya setelah berumahtangga tetapi bilangannya hanya segelintir sahaja. Bayangkan untuk kursus anak cikgu iaitu English Literature daripada 25 orang cuma tinggal 13 orang sahaja. Kecut rasanya kalau-kalau dia hendak kahwin semasa belajar. Selalu dia berkongsi cerita 'Pak Arab' dan Negro sangat meminati gadis-gadis Melayu dan 'berani mati' mengajak kahwin sambil membayangkan bilangan anak yang akan diperolehi dan mereka akan hidup bahagia dan harmoni di Semenanjung Tanah Arab atau Afrika.

          Tapi cikgu bersyukur kerana mendapat anak yang mendengar kata kerana katanya jika dia cuba 'melawan' cikgu suami isteri ada sahaja dia bertemu dengan ayat-ayat yang meminta anak-anak memuliakan dan  mengutamakan ibubapa. Anak cikgu selalu berkongsi cerita kehidupannya sebagai mahasiswi yang mengharungi zaman remajanya di UIAM'. Pesanan cikgu melalui sms, "Kak, ingat solat,  ngaji, zikir, selawat, jaga akhlak/maruah harga diri yang tiada galang gantinya, jaga nama baik makayah, fokus pada belajar. Takdirnya ada yang 'berminat' selepas mak dapat tengok degree akak baru kita bincang dengan lebih terperinci dan mendalam. Apa-apa pun sebagai wanita kita perlu ada kerjaya untuk kemaslahatan ummah,diri dan keluarga. Tapi setakat ini mak tak nak fikir lagi pasal menerima menantu ya." Tegas ayat cikgu sehinggakan anak-anak selalu mengatakan mereka 'susah' nak 'baca' cikgu. 

           Tetapi sebenarnya ada juga beberapa orang kenalan yang dikenalpasti bagus untuk dijadikan 'anak menantu' berdasarkan kajian terperinci cikgu terhadap pegangan agama, latar belakang  dan keluarga mereka. Tetapi bila sahaja anak cikgu habis belajar, menantu cikgu secara 'hikmah' datang ke rumah menyatakan 'hasrat' secara jujur. Walaubagaimana pun cikgu minta 'dia' untuk balik dan buat solat istikhorah dan hajat dahulu sebab kami pun ada kekurangan diri dan perlukan sedikit masa untuk 'mencari' jawapan. Tapi memang rasa serba salah bila teringatkan hadis Rasulullah SAW yang antara lainnya mengingatkan para ibubapa,"Jika telah datang peminangan daripada orang yang beragama, baik akhlaknya tetapi ditolak, tunggulah 'fitnah' selepas itu. Kami pula yang rasa serba salah dan cikgu suami isteri dan anak gadis  cikgu melakukan keperluan solat istikhorah, hajat dan berdoa untuk memohon 'petunjuk' disamping membuat analisis daripada pelbagai faktor dan sudut. 

        Cikgu tidak mahu menjadi orang yang mengutamakan ' assabiyah' kerana melalui pengalaman diri, keluarga dan klien pelbagai dugaan dan ujian akan diturunkan oleh ALLAH SWT. Terimalah seseorang berdasarkan pegangan agamanya, akhlak, keturunan dan lain-lain yang menjadi asas utama walaupun dari sudut mana sahaja di Malaysia ini. Sekuruang-kurangnya sekufu , 'kurang' spesifikasi 'silang budaya' dan boleh menerima anak cikgu seadanya kerana 'dia' pun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki serta dipimpin untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah. Terimalah seadanya dan perbaikilah kekurangan dari masa ke semasa dan bergerak menuju 'kesempurnaan kendiri' dengan mengutamakan iman dan taqwa.

           Jadi untuk menjawab soalan rakan pensyarah,"How's life as a mother in law?". Jawapan cikgu," As usual and thank God because I obtained another son.. I treat him as though he is my own son .Alhamdulillah.". "Yes Noraidah, you're very lucky", ujarnya. "I think this is the power of doa", cikgu menghuraikan dengan lebih lanjut. Rahsianya setiap kali solat, cikgu doakan agar anak-anak menjadi anak-anak yang soleh/solehah dan dikurniakan dengan menantu-menantu yang soleh/solehah agar kami semua sentiasa dalam Rahmat dan Kasih Sayang ILLAHI. Menumpang kasih sayang mereka di hari tua kami  dan mendoakan kesejahteraan kami di alam barzah dan akhirat kelak. amin

Monday 2 May 2011

LANGKAWI OH LANGKAWI....

Rasulullah SAW bersabda: "Surah Yasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "Al-Mu'ammah"
(yang menyelubungi),yang menyelubungi tuannya (pembacanya) dengan kebaikan dunia dan akhirat  dan yang menanggung segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat dan dinamakan juga sebagai perisai dan penunai hajat,yang melindungi pembacanya dari setiap keburukan dan kejahatan dan yang menunaikan bagi pembacanya segala hajat dan kemahuan."
(HR Said bin Mansur dan Al-Baihaqi dari Hasan bin Atiyyah)

             Sepanjang pengembaraan bersama dengan JPP ke Langkawi baru-baru ini banyak mengimbas kembali kenangan cikgu bersama suami dan anak-anak ke sana. Tahniah kepada JPP yang telah dapat mengikuti kursus di sana dengan jayanya. Nampak mereka bersemangat, sentiasa bermotivasi dan bertenaga sepanjang program berlangsung. Gembira dan bersyukur bila pihak penganjur memaklumkan tentang disiplin yang tinggi pelajar-pelajar cikgu. Terserlah kepimpinan, ketrampilan dan pengukuhan jati diri mereka. Sengaja cikgu minta dan berbincang dengan pihak penganjur untuk mengadakan program ini di Langkawi sebenarnya. Selain dapat membawa dan berkongsi pelbagai pengalaman dengan para pelajar , Langkawi adalah merupakan destinasi 'terapi' buat cikgu. Alhamdulillah bersyukur kerana dikurniakan kemudahan, kelapangan dan keselamatan oleh ILLAHI sepanjang di sana. Langkawi sebenarnya banyak mengimbau nostalgia yang 'membahagiakan' cikgu.

            Sebenarnya dalam kehidupan berkeluarga cikgu, Langkawi adalah antara destinasi yang sangat suka cikgu lawati. Tak tahu kenapa tetapi tempat ini antara tempat yang sangat cikgu gemari, terasa relaks dan santai bila meneroka  setiap pelusuknya. Rasanya kebanyakan pulau-pulau di persekitan Pulau Langkawi telah cikgu lawati dengan team kaunselor cikgu semasa menjawat jawatan dalam Majlis Guru Kaunseling dahulu. Pada kebiasaannya pada akhir tahun cikgu dan anak-anak akan mengambil peluang ke sini. Di sinilah tempat selalunya cikgu memberi penghargaan untuk menghadiahkan mereka dengan hadiah yang mereka gemari setelah memberi perkhidmatannya kepada cikgu suami isteri. Barangannya berjenama tetapi dapat diperolehi dengan harga yang murah. Memandangkan cikgu dan suami tidak pernah mempunyai pembantu rumah dan kerja-kerja rumah semua dibuat oleh anak-anak sebagai ibu cikgu rasa terpanggil untuk memberi penghargaan kepada mereka. Anak-anak tidak pernah mengeluh atau meminta-minta kerana itu didikan kami suami isteri kepada mereka. Pesanan kami selagi ada hayat mak ayah ni banyak-banyaklah memberikan perkhidmatan dengan penuh keikhlasan kerana kesannya sangat besar dalam kehidupan mereka kelak. Selepas sahaja  setiap perkhidmatan membantu kami selalu cikgu ucapkan , "Terima kasih banyak kerana membantu mak /ayah. Moga ALLAH SWT mengurniakan keberkatan dan rahmatNYA pada adik/ kakak/abang". Itulah ucapan cikgu sambil mencium mereka pipi/umbun-umbun mereka. Cikgu membudayakan ucapan terima kasih sebagai penghargaan dan petanda kesyukuran kepada ILLAHI. 

            Setakat ini rasanya dah lama mereka bersilih ganti membuat kerja rumah, menggosok pakaian kami, menyediakan makanan dan minuman kami dan menguruskan kami dengan terbaik.Alhamdulillah bersyukur dalam usia begini telah dikurniakan untuk merasai ni'mat khidmat anak-anak kepada kami suami isteri. Besar harapan dan doa kami ianya akan berlarutan hingga ke akhir hayat kami. Bila cuti semester universiti sahaja mereka akan saling mengusik sambil ketawa, "Bibik baru sudah balik, ambil alih ya.." Di Langkawilah selalunya cikgu suami isteri meraikan mereka dengan barang-barangan yang mereka perlukan sepanjang tahun berikutnya. Malamnya kami akan menikmati makan malam bersama dan bercerita perkembangan dan pengalaman masing-masing sambil saling usik-mengusik diantara satu sama lain. Anak-anak lelaki selalunya ditugaskan membawa barang-barang yang berat sesuai  dengan kekuatan dan keperkasaan mereka. Sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Langkawi selalunya kami akan memperdengarkan nasyid, kuliah, bacaan Al Quran dan salah seorang anak akan ditugaskan untuk berbual dan bercerita dengan suami cikgu agar suami cikgu tidak rasa letih dan keseorangan. Begitulah kami memastikan ukhuwah terjalin dan kasih sayang antara kami dapat dipraktikkan.  Di samping itu panorama sawah padi dan suasana 'kekampungan'  di utara Malaysia juga mengembalikan nostalgia mengimbau suasana era tahun 70an hingga 80an. Seronok sungguh cikgu rasai.

              Benarlah ucapan suami cikgu semasa menasihatkan anak-anak,"Yang membahagiakan sesebuah rumahtangga dan keluarga bukanlah rumah yang besar, kenderaan yang besar, duit yang banyak tetapi yang membahagiakan kita adalah kasih sayang, layanan dan penghargaan antara kita dengan menjaga hubungan kita dengan ALLAH SWTdan  RasulNYA dan hubungan sesama manusia. Dengan memberi analogi. seekor kucing/anjing sering menggoyang-goyangkan ekornya kerana layanan dan kasih sayang tuannya.

             "Ya ALLAH, kami syukur atas kurniaan MU hingga kami dapat rasakan ukhuwah dan kasih sayang yang mendalam antara kami. Moga ianya berkekalan sehingga akhir hayat kami dan di akhirat kelak sepanjang perjalanan kami menemui MU Ya ALLAH. Alhamdulillah kerana memberi kami  peluang merasai 'syurga' di dunia ini." amin