Thursday 28 July 2011

Ramadhan Yang DiRindui

"Hai orang-orang yang beriman, diwajbkan bagi kamu  berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan bagi orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa" Al Baqarah: 183


"Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah berbicara tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa" [Bukhari-Muslim]

Dalam hadith yang lain pula, ada dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda  apabila sebaik sahaja tiba bulan  Ramadhan iaitu,  “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang  bulan Ramadhan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredhaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadhan, Rasulullah SAW memohon rahmat daripada ALLAH SWT. Pada pertengahan Ramadhan pula, Baginda SAW memohon keampunan. Pada akhir Ramadhan, Rasulullah SAW meminta dijauhkan daripada seksaan neraka. 


        ALHAMDULILLAH, bersyukur cikgu kerana beberapa hari lagi kita akan meraikan tetamu yang ditunggu sepanjang  tahun ini iaitu "Ramadhan Al Mubarak". Moga kita semua dikuatkan, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, disihatkan tubuh badan serta dikurniakan taufik dan hidayahNya sepanjang menghayati dan mentarbiah diri. Selalu cikgu pesan dengan anak-anak dan para pelajar cikgu,"Ingat, kesan daripada ibadah kita adalah akhlak kita. Kalau akhlak kita tak baik, itu bermakna ibadah kita tidak membawa 'makna' dan 'terkesan' di dalam diri. Kena muhasabah diri dan buat refleksi diri. Ada yang tak kena tu.."

       Sebenarnya setiap kali menjelang Ramadhan, selain daripada kegirangan, kesyahduan dan kesucian roh Ramadhan ini bertahta dalam sanubari cikgu, imbauan zaman kanak-kanak semasa Ramadhan menjadikannya ianya sentiasa segar dan sentiasa membahagiakan diri cikgu. Mereka yang sentiasa dalam kenangan hidup cikgu ialah Allahyarham  ibu cikgu, Allahyarham datuk & nenek cikgu. Selalu cikgu bercerita dengan suami cikgu, bila dah jadi nenek nanti nak jadi yang terbaik melayan cucu-cucu cikgu. Untuk menjadikan ada kenangan manis mereka dengan cikgu seperti yang cikgu alami dengan 'mereka' yang telah pergi meninggalkan cikgu.

         Allahyarham datuk cikgu seorang guru besar, bayangkan dalam tahun 60an dan 70an tu agak 'mewah' juga kami cucu-cucu ni diraikan oleh datuk dan nenek cikgu yang sangat pemurah. Sambil tu dia beri nasihat dan motivasi untuk beribadat dan berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Bayangkan oleh kerana kami tinggal agak berhampiran dengan laut maka untuk makan tengahari dan malam memang kami dihidangkan dengan ikan yang segar yang dibeli dari nelayan-nelayan di kampung kami. Tapi selepas subuh allahyarham datuk tidak benarkan cikgu tidur atau bermain, kena belajar Matematik dan Bahasa Melayu dengannya. Cikgu antara cucu yang sangat taat dengannya. Tekun berjam-jam belajar dengannya. Selalunya selepas makan malam  dan masa hampir tidur dia akan mengumpul cucunya dan bercerita tentang cerita teladan kepada kami semua. Meloponglah cikgu pada masa tu. Menjelang berbuka puasa memang meriah. Malam lagilah meriah sebab berterawih beramai-ramai di surau keluarga kami. Semua kena bangun bersahur dan makan makanan yang panas dan berat. Jadi, amalan ini memang diikuti oleh kami sekeluarga sehingga kini.








          Allahyarham ibu cikgu memang memberatkan amalan agama. Selalu dia akan 'bising' kalau kami sedari kecil melengahkan solat atau leka dengan kerja kami bila masuk waktu solat. Allahyarham ibu cikgu sangat kuat dan istiqamah solat berjemaah di surau keluarga yang terletak berhampiran dengan rumah Allahyarham datuk cikgu. Abah cikgu bercerita pada kami semasa dia menunaikan haji dan umrah bersama Allahyarham ibu, tangkas sahaja langkah ibu cikgu ke Masjidil haram dan Masjid Nabawi untuk menunaikan solat berjemaah. Bila masuk solat dia dah tak kenal sesiapa dah masa tu hatta abah cikgu sekali pun. Kecintaannya sangat mendalam kepada agama. Awal Ramadhan dia ingatkan kami anak-anaknya untuk berniat puasa di bulan Ramadhan untuk sebulan dan akan mengulang-ngulangkannya setiap kali semasa sahur serta mengingatkan kami tentang ibadah. Amalan ini juga akan cikgu lakukan setiap kali Ramadhan.


         Apa yang paling menyeronokkan di dalam bulan Ramadhan ialah dapat berbuka dan bersahur serta beribadah bersama-sama . Ianya akan menjadi kenangan yang terindah dalam kehidupan seseorang anak, ibu/ayah. Paling membahagiakan bila dapat berkumpul bersama-sama seisi keluarga sambil berkongsi pelbagai perkara dan saling ingat-mengingat akan 'bekalan' untuk dibawa ke akhirat kelak.

Mengingatkan diri- Buat mana yang termampu dan cuba mempertingkatkan ibadah dari masa ke semasa sepanjang Ramadhan.
-Checklist semasa Ramadhan

  • solat awal waktu dan tambah solat sunat
  • solat terawih
  • tadarus Al quran- cuba khatam
  • perbanyakkan mohon keampunan
  • berdoa dan bermunajat
  • perbanyakkan zikir dan selawat
  • qiamulail- solat taubat, tahajud, hajat, tasbih & witir
  • iktikaf bagi lelaki terutama 10 Ramadhan terakhir
  • sedekah
  • menjamu makan orang yang berpuasa
  • Jangan  melakukan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa
  • tarbiah diri.
  • muhasabah diri
         

         Cikgu nak kongsi cerita  tentang kehebatan Ramadhan yang cikgu baca dari mastika :
          Terdengarlah desiran dedaun pepohon kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya. Seni dan rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekeliannya lalu berdiri di atas puncak mercu syurga. Lantas bertanyalah para bidadari, "Apakah malam ini namaya? Adakah orang yang hendak meminang kami kepada ALLAH? Berkatalah para malaikat, "Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan!" Ketahuilah, bahawasanya syurga berhias dari setahun ke setahun kerana meraikan kedatangan bulan Ramadhan. Tatkala itulah maka bertiuplah angin di bawah Arasy, bergeraklah dedaun kayu dengan lemah longlainya di dalam syurga pada awal bulan Ramadhan. Lalu ALLAH berfirman, mengarahkan Ramadhan membuka semua pintu syurga untuk orang-orang yang berpuasa daripada golongan umat Muhammad SAW dan memerintahkan para malaikatNya supaya menutup pintu-pintu neraka. Kemudian ALLAH SWT memerintahkan Jibrail membelenggu syaitan dan melontarkan ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad SAW.

              "Ya ALLAH ya Tuhan kami, jadikanlah hati  dan jiwa kami rindu dan seronok untuk bertemu Ramadhan yang akan menjelang tiba. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan." ameen

    Friday 22 July 2011

    Nasihat Saidina Ali = Luqmanul Hakim = Hamka = Adler

    Firman ALLAH SWT bermaksud," Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi ALLAH tempat kembali yang baik."
    -Surah Ali-Imran14

    " Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya  kepada orang lain"- Hadith daripada Bukhari dan Muslim

    Daripada Aisyah ra, isteri Nabi SAW, daripada nabi SAW sabdanya,"Sesungguhnya ramah-tamah dalam segala urusan menjadikan urusan itu cantik (berjaya). Tanpa ramah-tamah nescaya setiap urusan menjadi buruk"- Muslim

    Salam Ramadhan Al Mubara' yang menjelang tiba dan bakal menjadi tetamu kita .  "Allahumma ballighna Ramadhan - Ya ALLAH, allow us to reach Ramadhan, ameen." Hari ini cikgu nak berkongsi cerita kehidupan tentang kesepaduan ilmu dalam pendidikan diri dan anak-anak.

    Nasihat Saidina Ali korramallahu wajhahu: " Mendidik anak melalui 3 fasa"-
    Fasa I- Raja- (0-6 tahun)- layan dengan penuh kasih sayang
    Fasa II- Hamba (7-14 tahun)- dilatih berkhidmat kepada ibu bapa dan keluarga
    Fasa III- Sahabat (14 - 21 tahun)- berkongsi pelbagai cerita kehidupan antara ibu bapa dan anak-anak



    Antara nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya:

    1.Orang-orang     yang sentiasa       menyediakan     dirinya untuk 

    menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada

    ALLAH. Orang   yang insaf   dan sedar setelah    menerima nasihat 

    orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH jua.


    2. Hai anakku, seandainya ibu bapamu marah kepada mu kerana

    kesilapan yang dilakukan mu, maka marahnya ibu bapa bagaikan 

    baja bagi tanam-tanaman.


    3. Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana

    manisnya barang dan jangan langsung memuntahkan sahaja pahitnya  

    sesuatu barang itu       kerana   manisnya belum   tentu menimbulkan 

    kesegaran dan pahit  itu belum       tentu menimbulkan kesengsaraan



    Pesan Prof Hamka
    "Jika anak-anak tidak dilatih semasa kecil, maka ibu bapa akan letih semasa  mereka dewasa"




    Adler:
    Penyebab kepada masalah pengurusan diri dan sosial anak-anak pada hari ini adalah kerana mereka tidak dilatih dan dididik tentang 'tanggungjawab'..

    Kesepaduan ilmu yang dilihat daripada pelbagai sudutnya semuanya menuju ke satu matlamat iaitu menjadi 'khalifah di atas muka bumi ALLAH SWT' dengan kita masing-masing memainkan peranan, amanah dan tanggungjawab yang ditentukan. ALHAMDULILLAH, syukur kepada ALLAH SWT yang telah memberi taufi' dan hidayahNya kepada kami sekeluarga untuk menjalani kehidupan berteraskan  Islam, Iman dan Taqwa.

             "Iqa, bila masak ni, kita kena kreatif", cikgu mendengar perbualan suami cikgu dengan anak gadis cikgu yang sedang bercuti tentang masakannya untuk makan tengahari kami sekeluarga.  Suami cikgu ada kalanya  memuji pula masakan anak cikgu ni untuk menaikkan 'self esteem'nya," Ayah rasa dah ada peningkatan, dah macam masakan mak ni." Cikgu pula akan menerangkan dan menunjuk cara asas masakan menumis, menggoreng, merebus, membakar seperti  untuk asam pedas melaka, sambal ikan bilis/sotong/udang/ayam, masakan asam rebus, sup , ikan bakar, kari kepala ikan/ ayam, rendang  dan masakan lemak cili padi dan lain-lain. Kadang-kadang nampak macam kena buli juga mereka ini. Salah seorang daripada si kembar akan menjadi 'pembantu chef' untuk hari tersebut dan bertugas secara bergilir-gilir. Begitulah suasana dalam rumah tangga kami sekeluarga. Ada ketikanya masing-masing terpaksa menerima teguran, kritikan, pujian dan penghargaan dengan 'berlapang dada'. Kami melatih anak-anak membiasakan diri menjadi matang, cekal, kuat dan ampuh terhadap sebarang pandangan yang berbeza. Sebenarnya cikgu memang lebih tegas berbanding suami cikgu kerana sebelum melangkah ke tempat kerja pesanan cikgu selalunya," Sebelum masak pastikan kebersihan diri dan kuku kita, basuh tangan bersih-bersih, selawat masa basuh beras dengan mengikut pusingan tawaf, niatkan masak makanan untuk sihat dan beribadah, masak dengan jiwa agar terasa orang yang memakan masakan kita. Buka peti sejuk tengok apa yang ada dan masaklah apa yang perlu. Lepas masak, kemaskan dapur bersih-bersih. Bila ayah balik kerja, panaskan semula masakan biar ayah makan masakan panas ya. Layan ayah elok-elok"








    Daripada Anas Bin Malik ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud; "Permudahkanlah, jangan menyusahkan, tenangkanlah dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu." Riwayat al-Bukhairi dan Muslim.

          Untuk anak-anak lelaki pula, pesan dan didikan cikgu,"Tolong ayah angkat barang-barang berat yang ayah beli tu, kesian ayah.. Macam-macam kerja yang ayah dah buat dari Angah dan Hakim kecil. Raikan ayah tu bila ayah dah berusia ni. Kemas bilik air, kemas bilik sendiri, pokok-pokok dan semak samun diluar tu kemas dan bersihkan. Ayah memang tak tahu duduk diam, bila tengok ayah dah mula mengemas cepat-cepat tolong ayah. Ayah memang kurang mengarahkan dan minta tolong, itu resmi ayah tapi anak-anak kena  peka dan  jaga kebajikan ayah", begitulah nasihat cikgu kepada anak-anak untuk berbakti kepada kami selagi ada hayat kami ni.

    Manakala suami cikgu pula akan menasihatkan anak-anak, "Tengok-tengok keperluan dan kebajikan mak tu. Mak penat bekerja membantu ayah ni. Kalau ada apa-apa yang mak perlukan jangan leka dan lambat memberi bantuan dan pertolongan. Selalu-selalu kena doakan kesihatan, kebahagiaan dan keselamatan mak ayah agar ada hayat kami untuk terus saling rai-merai anak-anak ya." Telus dan berterus terang bila kami berbicara dari hati kehati dengan anak-anak. Mungkn ada pengajaran kepada anak-anak muda pembaca blog ini untuk diamalkan dalam  membentuk keluarga bahagia pada masa yang akan datang. 

    "Segala puji bagi ALLAH, Tuhan pemerintah alam. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan serta Rasul utusan, begitu juga sahabat dan keluarga kesemuanya.

    Ya Tuhan , ampunilah kami, dosa-dosa kami, kedua ibu bapa kami. Rahmatilah mereka itu sebagaimana mereka memelihara kami sedari kecil lagi, begitu juga kesemua Muslimin dan Muslimat, Mukminin, Mukminat yang hidup dan yang telah meninggal dunia dengan rahmat-Mu, Wahai ALLAH, Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

    Ya ALLAH, ya Tuham kami, janganlah Engkau tinggalkan di tempat ini dosa melainkan engkau ampunkan, dan tidak ada dukacita melainkan Engkau lapangkan, tidak ada hutang melainkan Engkau jelaskan, tidak ada sakit melainkan Engkau sembuhkan, tidak ada kefakiran dan kemiskinan melainkan Engkau beri kekayaan, tidak ada orang jahil melainkan Engkau ajari dia, tidak ada musuh melainkan Engkau beri kemenangan, tidak ada keaiban melainkan Engkau tutup, tidak ada orang meninggal dunia melainkan Engkau merahmati dia, tidak ada keperluan di dunia dan di akhirat hanya semata-mata yang Engkau Redai, tidak ada kebajikan untuk kami melainkan Engkau tunaikan.

    Mudahkanlah kami, lapangkanlah dada kami. Akhirilah amalan kami dengan amalan yang baik ya Tuhan kami. Tuhan yang memelihara alam...Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda SAW, keluarga dan sahabat-sahabat sekelian...Ameen Ya ALLAH.


    Saturday 16 July 2011

    "Self Esteem" Vs " Perception"


    "Mereka yang sentiasa beristighfar, nescaya ALLAH melapangkannya daripada kekusutan, melepaskan daripada kesempitan dan memberinya rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka"
    -Riwayar Abu Daud

                   Kita telah tiba di pertengahan bulan Sya'aban dan menghampiri menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan. Angin Ramadhan telah dapat cikgu rasai menghampiri menusuk di sanubari dan terasa keriangan dan persiapan untuk menghadapinya dengan penuh keimanan. Kedatangan Ramadhan mengimbau banyak pengalaman di zaman alam  kanak-kanak, remaja, perkahwinan dan sehingga kini. Lekatan pengalaman dengan mereka yang tersayang seperti Allahyarham ibu, pakwa, makwa, bapa mertua dan saudara mara yang telah pergi meninggalkan cikgu menyebabkan kesegaran jiwa raga bahagia dengan 'kehidupan terdahulu' bersama mereka menyemarakkan 'dalaman' cikgu untuk terus menongkah kehidupan yang sementara ini dengan penuh makna. Walaupun di sudut kecil hati cikgu masih terasa kesedihan kehilangan mereka ini. Moga ALLAH SWT terus mengurniakan kita dengan kesihatan yang baik , taufik dan hidayahNya serta rahmat dan kasih sayangNya untuk kita menghayati Ramadhan yang bakal menjelang tiba. Menempatkan seluruh roh kaum muslimin dan muslimat di taman-taman syurga, ameen

                      Teringat cikgu kepada perbualan cikgu dengan beberapa orang rakan pensyarah yang sangat  menjaga penampilan diri. "Kak Noraidah, jom kita pergi daftar di Slim World..", teguran seorang sahabat di JHEP semasa cikgu menanda kedatangan pada suatu pagi .Secara spontan cikgu melihat diri cikgu pagi itu dari atas ke bawah dan tersenyum.."Rasa kak lah, setakat ini ISO kak adalah suami kak.. Kalau dia tak menegur, itu petanda maintainlah badan kak ni. Tapi ulasannya yang terakhir -badan masih maintain macam 'anak dara', ALHAMDULILLAH, ok lah ni..Kenyataan dan persepsi dari orang lain tak masuk pun dalam kepala kak ni dan tak memberi kesan pun." Cikgu memberi respon kepada rakan tersebut sambil mengusiknya. Sebenarnya dalam kepala cikgu masa tu sempat juga berfikir . Kalau RM 5000 ke Slim World, baiklah cikgu meraikan suami dan anak-anak cikgu dgn 'vacation' atau 'makan sekeluarga' atau hadiah peribadi untuk mereka. Memang itu kegemaran cikgu suami isteri selama ini. Untuk menantu cikgu semasa majlis walimah hari itu pun banyak hadiah istimewa seperti Al Quran, Kitab-kitab Hadith Sahih yang kami hadiahkan untuknya sebagai bahan istimewa dan bacaan untuk 'santapan' rohani mereka suami isteri sebagai persediaan memimpin sebuah rumahtangga yang menjadi elemen sangat penting dalam Islam .

    .

    Mentelaah kitab bersama-sama keluarga untuk meningkatkan ilmu, amalan , ketaqwaan dan keimanan

    Sempat berposing mengusik suami 'namanya serasi' dengan nama Kg Hj Sulaiman. :)

                Sebenarnya semasa awal perkahwinan lagi dan dalam perbincangan kami , ada juga suami cikgu menyatakan agar 'menjaga' badan memandangkan beliau pun bukan seorang yang bersaiz besar, maka kalau boleh cikgu perlu maintain saiz badan untuk menunjukkan 'sepadannya' kami dari aspek fizikal. Itu belum lagi   ditambah dengan perbincangan untuk kukuhkan rohani, intelek dan emosi kami bersama.  Apa yang lebih penting dari aspek penjagaan fizikal adalah untuk sentiasa menjaga kebersihan, kesihatan, penampilan dan kecergasan diri untuk menjalankan banyak tugas, amanah dan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan wanita bekerjaya. Apa-apa pun sebenarnya cikgu ni agak kuat makan terutamanya nasi sebagai makanan asasi tetapi dikurniakan Illahi dengan berat badan yang terkawal , mungkin agaknya faktor genetik ni.(belum  buat kajian terperinci lagi)

               Ada juga cikgu mendapat beberapa kes dan  isu daripada klien dan rakan-rakan tentang pasangan mereka yang terlalu kurus atau  terlebih  'sihat' ni. Selalunya cikgu akan rasionalkan klien dan rakan-rakan dengan menyatakan 'tak apa asalkan sihat' tapi di masa yang sama mensihatkan mereka cubalah berinteraksi untuk menasihat dan membantu pasangan bagaimana untuk mendapat berat badan yang ideal dan terkawal kerana sesuatu yang 'terlebih'/ekstrem ini akan mengundang penyakit. Banyak kaedah yang tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak sebenarnya. Apa pun cuma cikgu nak menyentuh ialah bagaimana  'self esteem' memainkan peranan yang penting untuk kita melihat 'ke dalam ' diri kita sendiri. Walaupun mungkin kita rasa 'self esteem' kita rendah kerana saiz badan kita tetapi sebenarnya jika kita boleh menerima diri kita seadanya tanpa syarat akan menyebabkan kita menjadi orang sentiasa 'berlapang dada' dan bahagia. Jika ada terasa kekurangan diri kita dari segi fizikal yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa, kita rancanglah strategi dan langkah yang berkesan untuk mengatasinya. 

                Adakah persepsi orang lain penting? Ada ketikanya perlu untuk kita mendapat pandangan dari luar diri kita untuk memperbaiki kekurangan diri. Melihat diri sendiri daripada 'kacamata' orang lain. Walau bagaimanapun janganlah pula 'pandangan luar' ini menyebabkan kita rasa tertekan dan 'susah hati' hingga menyebabkan rendahnya ' self esteem' kita kerana ianya bukanlah elemen yang penting. Jika kita lebih 'mengenali' diri kita sendiri pandangan pihak luar bukanlah faktor yang sangat dominan. Ianya cuma boleh menjadi aspek sampingan sahaja. Tetapi cikgu ni memang tak berapa ambil pusing pun 'kata-kata' orang atau persepsi orang lain kerana bagi cikgu manusia 'berhak' membuat persepsi mereka terhadap orang lain berdasarkan pengamatan , pengalaman hidup, gaya berfikir, keimanan dalam dirinya dan persepsinya tentang pandangan hidup yang sementara ini. Cuma ianya 'hak keistimewaan' masing-masing sahaja yang berada di luar kawalan kita. Apa-apa pun pada setiap pagi apabila memakai tudung di kepala sebelum melangkah keluar rumah, cikgu selalu ingatkan diri dan memasang niat membuatkan kerana ALLAH SWT dan sedaya upaya elakkan 'tabaruj'. Takut dengan peristiwa israk mikraj di mana Rasulullah SAW melihat bagaimana ramainya wanita yang memakan diri sendiri kerana mempamerkan kecantikan diri kepada lelaki yang ajnabi. Satu cabaran untuk wanita bekerjaya. 

               Sebagai rumusannya, janganlah  kita risau sangat tentang saiz badan diri kita ni. Banyak lagi perkara-perkara penting dan berat berkenaan ummah yang kita perlu fikirkan dan mencari resolusinya. Asalkan berat badan kita masih berada pada peringkat ideal dengan ketinggian kita, kita sihat, kita cergas, kita masih mampu menjalankan tugasan dengan cekap, jauh daripada penyakit-penyakit bahaya ( ibu dan bapa saudara cikgu meninggal asbab sakit cancer. Doktor yang mendianogsis ujian penyakit cikgu dulu pernah membuat jangkaan  bila cikgu diuji dengan suatu  penyakit berat oleh ALLAH SWT. ALHAMDULILLAH akhirnya cikgu berjaya melepasinya dengan rahsia rawatan dan amalan sendiri) itu petanda kita masih diberi peluang untuk bernafas dan menikmati hidup oleh ALLAH SWT untuk sementara waktu lagi. Rebutlah peluang ini dengan sebaik-baiknya.

              Semalam sewaktu maghrib, sempena nisfu syaaban, kami berkumpul sekeluarga membaca yasin dan suami cikgu mengakhiri dengan doa ini:

              "Ya Allah Ya Tuhan yang membangkitkan dan tidaklah ada seorang pun yang membangkitkan Dia. Ya Tuhan yang memiliki kebesaran dan Maha Mulia. Tuhan  yang Maha Pemurah dan Pemberi Nikmat. Tidak ada Tuhan yang lain,melainkan Engkau yang menolong orang-orang yang memohon pertolongan dan Maha Pelindung orang-orang yang memohon perlindungan dan Tuhan yang memberi keamanan dan sekalian yang menakutkan.
                Ya ALLAH, andainya telah Engkau takdirkan di sisiMu pada Azali, bahawa kami celaka , sedikit rezeki, terusir dan diharamkan akan kami, maka mohonlah kami agar dipupuskan (apa yang tersurat dalam Azali itu), dengan kemurahanMu Ya ALLAH , mohonlah Engkau tukar pada Azali itu dari kecelakaan mahupun sedikit rezeki, juga yang lainnya itu mohonlah itu ditukar ganti dengan 'bahagia' lagi dengan mendapat rezeki yang akan dipergunakan kepada kebaikan. Sesungguhnya Engkau telah mengatakan sebagaimana yang tercantum dalam kata-kataMu yang hak, di dalam KitabMu  yang diturunkan atas lidah nabiMu yang diutus (Al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad) iaitu firmanMu dihapuskan  ALLAH barang yang dikehendakiNya dan ditetapkan dengan keagunganMu pada malam Nisfu Sya'ban yang mulia ini padanya memisahkan tiap-tiap persoalan dan urusan yang tepat dan yang dipastikan,bahawa mohonlah kami Ya ALLAH,agar Engkau singkirkanlah dari kami sebarang bala bencana,yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui, Engkaulah yang Maha Mengetahui dengannya, sesungguhnya  Engkau Maha Mulia dan Maha Pemurah . Moga-moga ya ALLAH mengurniakan  kebahagiaan dan kesejahteraan atas junjungan kami Muhammad, keluaraga dan para sahabat sekalian, dan segala puji adalah tertentu bagi ALLAH ,Tuhan pentadbir sekalian alam." ameen

    Sunday 3 July 2011

    REFLEKSI DIRI- Sepanjang Jalan Kenangan

    "Ya ALLAH, janganlah Engkau siksa kami kerana lupa atau bersalah. Ya ALLAH, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau telah bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya ALLAH, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kepada kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami dalam mengalahkan orang-orang kafir."(QS. 2: 286).



    Bersama sahabat lama Adziah Nasir drpd Maktab Perguruan Pendidikan Kesihatan dan Pemakanan Pasir Panjang Kuala Trengganu..Hampir 30 tahun lami tidak bersua..Bertemu kembali di IPG Sultan Mizan di Besut, Trengganu. Adziah masih   muda, manis dan peramah seperti dahulu ..Moga terus diberkati,ameen
     Bersama barisan penasihat dan JPP IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka



    Destinasi  benchmark  kami yang pertama ke IPG Kota Bharu Kelantan, seterusnya ke IPG Sultan Mizan di Besut dan IPG Dato' Razali Ismail, Kula Trengganu, Trengganu



             Setiap detik ada peristiwa, setiap peristiwa ada kenangan..Begitulah proses yang dilalui sepanjang kenangan kehidupan kita ini..Ada pertemuan, ada perpisahan, ada kenangan manis dan  ada kenangan luka dan lara. ALHAMDULILLAH bersyukur atas kurniaan dan nikmatNya yang tidak terhingga kerana banyak urusan dipermudahkan dan perjalanan yang dilalui dengan kurniaan perlindungan dan keselamatan dariNya. Lawatan Aspirasi Muhibbah banyak membuka minda dan memantapkan rohani, spiritual dan fizikal guru-guru pelatih cikgu

               Selalu cikgu mengingatkan barisan kepimpinan JPP untuk mengamalkan prinsip seekor lebah yang sentiasa berpergian untuk mendapatkan manfaat daripada bunga-bunga yang sedang kembang mekar. Madu yang dihasilkan daripada proses tersebut membawa manfaat kepada manusia. Jangan mengikut resmi lalat yang hinggap di atas bahan-bahan yang kotor hingga membawa keburukan dan penyakit kepada manusia.Oleh yang demikian daripada 'bench mark' yang dibuat kita perlu mengambil sebanyak ilmu, pengalaman dan manfaat untuk dikembalikankan 'perkongsian' tersebut bersama  warga IPG dan seterusnya apabila berkhidmat di sekolah kelak. Seperti kata orang bijak pandai, "Orang bijak belajar dari pengalaman sendiri tetapi orang yang bijaksana belajar daripada pengalaman orang lain".

              Proses wacana yang kami lalui ada ketikanya cikgu pula yang memberi konsultasi kepada barisan JPP IPG yang lain kerana mereka ingin mengetahui bagaimana beberapa perancangan dan aktiviti dapat dijayakan. Ada ketikanya kami pula mendapat nasihat dan panduan daripada para pensyarah dan pentabir IPG yang dilawati. Memang terasa ukhuwah atas layanan dan keprihatinan mereka terhadap kami. Antara nasihat yang sangat tersentuh sanubari cikgu ialah daripada Tn Hj Yahya bin Osman iaitu Ketua Jabatan IPG Kampus Dato' Razali Ismail yang perlu dijadikan amalan seseorang pemimpin iaitu


    a)Punctuality- diamalkan dan dimulakan dengan diri sendiri
    b)Team building- muafakat
    c)Qudwah hasanah- contoh teladan
    d)Terbuka- Contoh Allahyarham Dato' Razali Ismail yang sentiasa membuka pintu biliknya kepada sesiapa sahaja di kalangan pensyarah dan guru pelatih
    e)Problem solver bukan problem creator
    f)Boleh bekerja walaupun tiada budget- be creative

             Mengimbau perjalanan di IPG Dato' Razali Ismail banyak mengingatkan cikgu kepada Allahyarham pensyarah cikgu Allahyarham Dato' Razali Ismail yang pernah dilantik sebagai pengarah di IPG tersebut. Berada di sana pada waktu zohor menyaksikan cikgu melihat kesemua pensyarahnya bergerak terus ke surau IPG apabila azan zohor dikumandangkan untuk melakukan solat zohor secara berjamaah dan tazkirah zohor selama 7 minit yang dianjurkan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Sungguh tersentuh hati cikgu apabila dimaklumkan dengan maklumat tersebut.

              Kembara ini juga menjadi saksi pertemuan cikgu dengan junior cikgu di maktab dahulu iaitu Pn Adziah Nasir. Lama juga kami bercerita kenangan kami dan rakan-rakan sepengajian dan junior. Banyak kenangan manis dan pahit yang kami alami dan proses yang kami dan rakan-rakan kami lalui sepanjang proses 30tahun hidup bekerluarga dan menjadi guru.Terimalah dengan redha apa yang telah ditakdirkan untuk kita semua sebagai golongan Ahli Sunnah Waljamaah. Ada yang kehilangan suami, anak-anak dan tidak kurang juga yang mendapat dan menambah  'pasangan' baru.Itulah dugaan dan cabaran yang diuji oleh ALLAH SWT. Sahabat-sahabat yang kehilangan anak-anak itu ada anugerah yang ALLAH SWT akan kurniakan kepada mereka di akhirat kelak sebagai balasan terhadap kesabaran dan keredhaan mereka dalam menempuh ujianNya, ameen.

               Di Kota Bharu cikgu bertemu dengan sahabat pensyarah yang berkongsi pengalamannya melawan penyakit cancer tulang dengan penuh kesabaran dan tinggi motivasi dirinya melawan penyakitnya. Pada mulanya beliau terperanjat mengetahui cikgu menyertai rombongan guru pelatih kerana kebiasaannya cikgu tidak memaklumkan pergerakan cikgu kerana tidak mahu menyusahkan sahabat-sahabat. Beliau turut berkongsi 'cerita' kehidupannya dengan rawatan-rawatan moden dan tradisional yang dilaluinya dan akhirnya beliau berjaya menjalani proses kehidupan seperti sediakalanya. Cerita suka duka yang dikongsi bersama selalunya cikgu ambilnya sebagai ikhtibar dan panduan dalam kehidupan cikgu pula 

               Kami tiba di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka dan pukul 2.30 pagi dan memastika pelajar kembali dahulu ke asrama masing-masing dengan selamat. Bertolak dari kampus pukul 3.00 pagi dengan diambil oleh suami cikgu. Panjang cikgu berkongsi 'pengalaman' yang dilalui dengan suami dan bersedia pula pada pukul 5.30 pagi untuk memandu ke Vistana Hotel Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat pada pukul 8.00pagi untuk 2 hari. Terima kasih kepada En Ramly Abu dan En Azman Rahmat yang banyak membantu cikgu. Begitulah kesibukan kami para pensyarah menguruskan kehidupan diri, keluarga dan kerjaya untuk manfaatkan kehidupan berilmu, berkemahiran dan berketrampilan bersama para guru pelatih.


    "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat datang berturut-turut. Dan ALLAH SWT menjadikannya (mengirim bantuan itu), melainkan sebagai berita gembira dan agar hati mu menjadi tenteram kerananya. Kemenangan itu hanyalah dari sisi ALLAH SWT. Sesungguhnya ALLAH SWT Maha Perkasa  lagi Maha Bijaksana" Surah al-Anfal (8):9-10