Saturday 7 May 2011

Anak Lelaki Vs Anak Perempuan

ALLAH memaklumkan dlm Quran;"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim:7)- Terima kasih anakda Nazil Azadi Azlan atas ingatan dan perkongsian.

            "Ingat ya, kita akan terbentuk dengan apa yang kita lihat, makan dan ucapkan. Jadi tengoklah sahaja perkara-perkara yang baik dan boleh mendidik kita untuk menjadi hamba ALLAH yang soleh dan solehah", begitulah ucapan suami cikgu kepada anak-anak cikgu semasa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur tempuh hari. Terdengar nasyid dendangan Kumpulan Nowseeheart yang bertujuan untuk mentarbiah mereka. Senikata dan iramanya yang sangat menyentuh kalbu. "Ni ayah belum check lagi apa yang ditonton dalam internet. Elakkan dosa mata kerana ianya akan merosakkan jiwa, hati dan perasaan kita. Menyebabkan roh kita menderita jika apa yang dilihat tidak berfaedah, mengaibkan dan merosakkan". Kadangkala cikgu suami isteri buat 'spot check' di facebook atau blog mereka dan memberi teguran untuk memperbaiki dan mengawal selia mereka. Kami memang sepakat sejak awal perkahwinan untuk mendidik anak-anak dalam apa jua keadaan supaya mereka dingati dan diperbetulkan ke landasan yang benar. Maklumlah dalam kesibukan kehidupan adakalanya kami takut kami terleka dengan urusan dunia yang tidak pernah selesai.

            Ada rakan-rakan cikgu yang berkongsi cerita kehidupan mereka dan bertanya,"Susah betul mendidik anak-anak lelaki, mereka keras hati, ego, sukar hendak ditegur, jika tak kena caranya boleh ajak kita 'berlawan' pula. Kawan jadi keutamaan dan penasihat mereka. Girlfriend keliling pinggang, macamana kak nak menghadapi mereka?". Yang ada anak perempuan pula dengan soalan mereka," Anak perempuan ni nampak  saja lembut tapi keras hati, kata dia kata dia sahaja yang betul, emosi pula tu. Kalau ada boyfriend susah kita sebab lebih dengar cakap boyfriend daripada kita mak ayah mereka. Itu yang sanggup lari hingga ke Lombok. Cepat feeling sangat. Bergayut lama dengan boyfriend. Susah hati saya dibuatnya. Apa nak buat ni..."Itu lah antara rintihan hati  ibu dan bapa yang anak-anak sedang meningkat remaja. Anak-anak tak tension, mak ayah yang banyak tension. Tugas kita sebagai mak ayah tak pernah selesai, sampai mereka berkahwin dan bekeluarga pun hendaklah beri nasihat jika diperlukan.

           Anak-anak selalu kata cikgu sangat tegas manakala suami cikgu pula sangat lembut dan berhemah.Tak tahulah ya. Tapi personaliti kami diluar lain pula kata anak-anak, cikgu nampak lembut dan suami cikgu pula nampak serius. Semasa memberi ceramah pula mereka kata cikgu nampak serius dan suami cikgu nampak kelakar dan santai.Tapi bila ALLAH SWT pasangkan kita denga personaliiti yang kontra sebegini, kita perlu muafakat elok-elok. Kalau suami cikgu marah dan beri teguran kepada anak-anak, cikgu akan jadi 'penyokong tegar' kepada suami. Begitulah sebaliknya, jadi anak-anak tidak boleh main-main dengan kami sebab mereka tidak ada peguam bela. Cikgu teringat bila anak-anak lelaki cikgu berkongsi cerita mereka dengan ibu-ibu saudara mereka,"Dengan mak jangan main-main terutama bab solat, belajar, aurat, pergaulan dan kerja. Memang sangat tegas. Tapi mak tidak 'membebel', dia sangat asertif dalam beri teguran dan perkara-perkara dia  tidak selesa dengan kami. Memang dia beri ruang perbincangan tapi perkara yang diputuskan kami sama-sama kena akur. Lepas subuh siaplah mak ayah beri kuliah tentang perkara-perkara yang perlu dibaiki." Tetapi kalau cikgu kaji hanya individu yang terlibat sahaja yang perlukan teguran, cikgu akan memanggilnya ke dalam bilik bersama suami dan kami akan bercakap dari hati ke hati untuk 'mengetahui' dan meneroka permasalahannya yang sebenar.

           Teringat cikgu kepada ulama' yang cikgu sangat hormati dan hayati tazkirahnya semasa cikgu remaja dan sebelum menjadi isteri dan ibu, "Dalam mendidik anak-anak, kita perlukan adunkan perasaan sayang, hormat dan takut". Tapi satu perkara yang tidak mampu lagi cikgu lakukan bila melihat anak-anaknya dari usia 5 tahun sehingga 18 tahun telah berada di sejadah menanti subuh sejak pukul 5 pagi lagi. Manakala isterinya bila masuk waktu solat terus solat dengan menggantikan pakaian yang bersih, cantik, wangi-wangian, menutup aurat dengan sempurna (mini telekong dalam telekong agar tidak jarang) serta solat dengan penuh kyusuk dan tawadhuk. Selalu cikgu pesan dengan anak-anak perempuan,"Solat dengan sempurna, aurat dalam solat dan di luar solat jaga sungguh-sungguh. Takut ibadah tidak diterima dan balik berjumpa ALLAH SWT dengan peti dan bekalan yang kita bawa kosong. Jadi perindahkan ibadah". 

           Untuk mendidik anak-anak perempuan dengan bab taharah, bila sahaja mereka baligh cikgu pastikan cikgu mandikan mereka sendiri dan tunjukkan cara-cara bersuci daripada hadas besar untuk kali pertamanya. Begitu juga anak lelaki bila mereka memaklumkan sudah mengalami 'mimpi yang indah' cikgu akan mandikan mereka dan tunjukkan cara yang betul bersuci daripada hadas. Takut bab taharah dan bersuci ini tidak dilakukan dengan sempurna. Begitulah' pendidikan' yang diamalkan, besar tanggungjawab kami dengan generasi muda. Ini belum lagi bab-bab yang lain. Moga ALLAH SWT memberi kemudahan kepada cikgu. amin

            Kembali kepada pertanyaan rakan-rakan cikgu yang mempunyai krisis dengan anak-anak mereka, memang nak kena uruskan dengan hikmah dan bijaksana kerana anak-anak sekarang perlu dihuraikan dengan teori sebab-musabab. Cikgu selalu memberitahu anak-anak cikgu betapa kagumnya cikgu melihat kenalan di facebook yang cikgu kira telah dapat dididik dengan 'terbaik' oleh ibubapa mereka. Moga ALLAH SWT merahmati ibu bapa mereka atas kebaikan yang telah diberi dalam pendidikan dan kehidupan, amin. Anak-anak perlu kita menangi hati mereka, kalau kita  sebagai ibu bapa tidak memenangi hatinya maka mereka akan ditakluki oleh sahabat, kekasih dan unsur-unsur lain di luar rumah. Tak perlu menangi 'hati' mereka dengan kekayaan, kebendaan dan perkara-perkara keduniaan. Tetapi cukuplah sekadar kita menggunakan 'prime time' dengan mereka, melayan 'cerita-cerita' mereka, memberi respon dan pandangan tentang isu-isu yang mereka kongsikan, memberi penghargaan dan ucapan baik-baik kepada mereka, memberi perhatian terhadap kebajikan mereka, bertanya kabar dan 'cerita' kehidupan mereka dan kawan-kawan, merasionalkan tindakan dan ketegasan kita sebagai ibu bapa. 

           Oleh kerana itu, bila sahaja suami cikgu balik dari kerja, pertanyaan cikgu, "Apa cerita hari ini abang?". Begitu juga dengan anak-anak di mana kalau mereka tidak balik dari universiti untuk minggu tersebut, cikgu akan call dan hantar sms," Kak/ Angah/ Iqa/ Hakim apa cerita hari ini?" Kalau mereka berkeinginan untuk balik pada hujung minggu sangat-sangat dialu-alukan. Ada ketikanya cikgu akan mengambil sendiri mereka di kampus. Tapi anak-anak ni yang pasti akan telefon dan sms bila 'budget' dah habis. Perlu beri kuliah pengurusan kewangan yang berkesan pula kepada mereka. ALHAMDLILLAH setakat ini mereka boleh menguruskan kewangan dengan baik. Secara peribadi menguruskan anak-anak perempuan lebih mudah cikgu rasa kerana mereka 'mendengar kata' cuma dengan anak-anak lelaki ini banyak nak rasionalkan tindakan terhadap mereka dan melihat dengan siapa mereka berkawan. Anak yang sulung selalunya cikgu 'pegang' dahulu agar boleh menjadi contoh dan memberi pengajaran kepada adik-adiknya yang di bawah serta mengingatkannya untuk bertindak demi kemaslahatan adik-adik dan keluarga. Bukan mudah untuk mendidik anak-anak di zaman yang serba mencabar sekarang bagi memastikan keimanan keturunan sentiasa terjaga dan terpelihara.

              "Wahai TUHANku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat MU yang ENGKAU kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang ENGKAU redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMU dan sesungguhnya aku daripada orang Islam(yang tunduk patuh kepada MU)"
                           
                                                                                                                                (Surah al-Ahqaf: 15)

No comments:

Post a Comment