Friday 24 June 2011

MENCARI PERSAMAAN, MENGHARGAI PERBEZAAN

"Ya ALLAH,Ya Tuhanku , sesungguhnya hari ini ialah kejadian yang baru, bukakanlah kepadaku pintu ketaatan kepada-Mu, sudahkanlah ia dengan keampunan dan keredhaan daripada-Mu, kurniakanlah aku padanya kebaikan yang Engkau makbulkan dan gandakanlah ia untukku  . Seandainya daku melakukan kejahatan padanya maka ampunkanlah aku . Sesungguhnya Engkau  Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, juga Maha Penyayang dan Maha Mulia".
-Doa Nabi Ibrahim. Ihya' 'Ulum al-Din, Tabaqat al-Syafi'i al Kubra)

       Petang ini cikgu dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP)  IPG Kampus Perempuan Melayu akan bertolak ke pantai timur dengan beberapa misi untuk mencari kekuatan-kekuatan JPP di IPG Pantai Timur  sebagai 'bench mark' kami. Bersama-sama dengan para guru pelatih ini sebenarnya menjadikan cikgu merasakan menjadi  'muda ' kembali. Tentu banyak pengalaman tersurat dan tersirat yang boleh dikongsikan bersama nanti. Para pemimpin muda ini banyak memberi komitmen dalam kesibukan mereka menimba ilmu, kemahiran dan pengalaman di IPG. Sudah tentu pengalaman bersama mereka menjadikan pengalaman cikgu di maktab dulu sentiasa 'mekar' di  'taman hati' cikgu. Kalau boleh untuk lawatan 'bench mark' HEP dan JPP ke IPG di Sabah dan Serawak nanti banyak yang kita boleh berkongsi untuk menjadikan JPP di IPG kita berada di aras yang setanding dengan IPG yang lain dan mampu melahirkan pemimpin yang berkualiti.


 Program "Kembara di hutan" antara aktiviti yang mengasyikkan untuk menikmati ketenangan dan kedamaian alam rimba  ciptaan ILLAHI bersama-sama  para peserta  kursus

             Dalam persiapan ini , cikgu masih teringat lagi perbualan dengan anak 'bujang' cikgu petang semalam. Setiap kali dia pulang dari kerja , cikgu akan bertanyakan soalan yang sama, " Angah, apa cerita di tempat kerja hari ini?". Tanpa jemu menjawab soalan yang sama setiap hari,  dia  selalunya akan menjawab,"Ok, hari ini mak. Macam biasa sahaja. Tak ada masalah yang berat-berat." Cikgu cuba mengambil hatinya bila dalam beberapa siri perbincangan kami tempuh hari cikgu cuma merasionalkannya dan memberi justifikasi kepadanya apabila memujuknya untuk tidak meneruskan 'hasrat'nya untuk bekerja di Timur Tengah. "Tak apa angah, mak ayah rasa pendapatan angah di sini lebih daripada mencukup berbanding dengan jurutera yang lain sedangkan angah cuma seorang pemegang diploma kejuruteraan. Bekerja di Timur Tengah bukan mudah walaupun mereka menawarkan gaji  lima angka. Biar angah bekerja di hadapan mata  untuk memudahkan mak pantau dan tengok kebajikan dan keperluan angah. Lagi pun semasa mak tunaikan fardu haji dulu, mak teringat seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah berkongsi 'masalah'nya dengan mak smentara kami menunggu masuknya waktu isya'. Dia menceritakan bagaimana tertekan dan stressnya bekerja dengan keluarga Arab di sana memandangkan memang mereka membayar dengan pendapatan yang tinggi tetapi mereka inginkan pulangan perkhidmatan pengurusan rumah dan keluarganya yang di luar daripada 'kemampuan' kita. Angah bayangkan tidur 2 jam sahaja sehari. Lagilah mak risau bila angah kata kerja secara berterusan 3 bulan tanpa cuti dan boleh cuti 2 bulan untuk balik  bercuti di Malaysia. Bukan mudah tu angah dalam usia muda angah sebegini. Kita memerlukan keseimbangan untuk segala-galanya angah. Oklah apa yang ada di sini. 'Hujan emas di negari orang, hujan batu di negeri sendiri.. Baik lagi di tempat kita sendiri angah." 

       Cikgu meneruskan lagi, "Janji angah nak buat ijazah secara luar kampus perlu diuruskan dan pastikan sasarannya tercapai. Angah janji itu hadiah untuk mak dan ayah dan minat angah yang mendalam dalam bidang kejuruteraan. Sekarang ini sepatutnya angah belajar bukan bekerja bila angah menolak untuk buat ijazah di Utem dengan alasan bidang angah memerlukan  'pengalaman di lapangan'. Sementara ada peluang angah nak terus dapatkan pekerjaan dan menimba sebanyak pengalaman yang diperlukan. Puaslah mak cuba dapatkan  konsultasi untuk dapatkan kepastian tentang keputusan angah tu, buat istikorah dan hajat khas untuk angah. Tetapi ramai pula rakan-rakan pensyarah mak yang menyokong tindakan angah dan berkongsi beberapa 'cerita' dengan mak". Pening juga kepala nak rasionalkan anak-anak lelaki ni. Nak berbincang dengan mereka perlukan hujah yang bernas yang dapat mematikan hujahnya. Tapi pada kebiasaannya kami mengambil jalan tengah supaya kedua-dua pihak menang. Atau pun 'win-win  situation. 

      Begitulah selalunya cikgu suami isteri dan anak-anak dalam pengurusan keluarga iaitu berbincang dari masa ke semasa dan  dari hati ke hati sebelum 'bermuafakat' dengan keputusan yang diambil bersama. Ini sangat penting supaya  kami dapat menghadapi setiap isu dan situasi bersama tanpa menyalahkan diantara satu dengan yang lain. Jika ada isu yang timbul diluar jangkaan , kami akan menyelesaikan bersama-sama dengan hati yang terbuka. Dalam ujian inventori, 'nature' kami adalah sebagai ibu bapa 'pelindung' dan kami  memastikan anak-anak membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk diri dan keluarga . Selalujuga cikgu berbisik dengan suami, "Abang , ini baru isu pelajaran dan kerjaya. Belum lagi isu memilih pasangan hidup. Moga ALLAH SWT memudahkan semua pengurusan kehidupan kita, anak-anak dan kehidupan kita bersama, ameen". Senyum suami cikgu mendengar kata-kata cikgu,"Nor lah nanti kena  banyak beri kefahaman, kemahiran pemilihan dan tips tindakan yang bijak kepada anak-anak. Abang percaya Nor mampu tu."

       "Moral of the story" kali ini, bayangkan anak-anak yang lahir dari rahim seorang ibu pun mempunyai cita-cita dan 'hasrat' yang berbeza dan berlainan dengan ibunya sendiri. Memang kita semua unik dan tak sama cara kita berfikir dan membuat keputusan. Hargailah perbezaan pandangan, pendapat dan kemahiran  membuat keputusan di dalam hidup dengan mencari titk persamaan dan menghargai perbezaan di antara kita. Banyak isu dan permasalahan di dalam hidup ini dapat kita selesaikan secara harmoni dan bijaksana tanpa masing-masing perlu berbalah dan meninggikan 'suara' dan nak 'menang'. Akhirnya kembalikan semua keputusan yang dibuat bersama kepada ILLAHI dan mohon kemudahan dan keredaan serta keberkatanNya .

Selawat Tibb (Penyembuh Penyakit)

"Ya Allah, berikanlah restu,keberkatan dan kesejahteraan kepada  junjungan kami , iaitu Nabi Muhammad ."

"Yang menjadi ubat hati dan penawarnya."

"Yang dapat menyihatkan dan menyembuhkan badan"

"Juga merupakan cahaya dan sinar penglihatan"

"Juga menyihatkan dan mencerdaskan akal"

Begitu juga semoga Engkau berikan kepada keluaraga dan sahabat Baginda"

Monday 20 June 2011

TAJAMKAN BAHASA 'HATI' DAN 'JIWA' DUHAI SAHABAT

"Sebaik-baik manusia ialah yang dapat memberi manfaat kepada manusia yang lain."
-Riwayat Qudha'i dari Jabir

"Sesungguhnya ALLAH SWT lunak, tenang dan suka pada ketenangan dalam semua urusan"
-Riwayat Bukhari dan Muslim





 Berceramah untuk pelajar fakulti perubatan UKM bersama-sama dengan   
Prof Dr Mohd Shahir bin Mohamed Said


   Berkongsi pengalaman dan ilmu bersama  guru-guru cemerlang di Port Dickson


                                     



   Bersama-sama dengan rakan-rakan fasilitator sebelum berkayak di Port Dickson



Saya:         Ingat pesan Pak Su, "Senang tengok orang senang"

Sahabat:   Masalahnya.. "orang tidak senang  tengok saya senang"

Saya:         Memanglah... kita kan "pokok  yang berbuah lebat"
                  Selalu dibaling oleh orang kerana ingin merasai 'kelazatan' buah kita..
                  Pokok yang berbuah lebat memang selalu kena baling.
                  Pokok yang tidak berbuah orang tak pandang pun...
                  Maksudnya orang yang hebat ni memang selalu kena kutuk dan kata dengan     
                  manusia. Jadi banyak sabar ya..

Sahabat:   Kita 'berbuah' lebat, tetapi mereka 'berbulu' lebat
                 Sentiasa 'berbulu' dengan kehebatan kita...

Saya:        (Intrakomunikasi dalaman : Hebat betul hujahan
                  sahabat ku ini..:))
                  
Dialog di atas adalah antara cikgu dan seorang sahabat yang stress...

Cuma menasihatinya membuat refleksi diri melalui sajak di bawah:


Tajamkan Bahasa Hati dan Jiwa

Bahasa hati adalah rasa dan perasaan
Bahasa akal adalah berfikir dan fikiran
Bahasa nafsu runtunan kehendak dan rangsangan
Bahasa mata adalah menangkap rupa dan warna
Bahasa lidah adalah perkataan dan percakapan
Bahasa jawarih sentuh dan menyentuh

Banyakkanlah hati berkata dan berbahasa
Tajamkanlah bahasa hati dan jiwa
Biarkan di dalam diri hati atau jiwa jadi jurubahasa
Kerana patut dan memang patut kerana dia raja
Raja dirilah pemutus kata
Raja dirilah yang punyai perintah yang sah

Yang lain-lain itu biarlah jadi rakyat yang taat setia
Yang akan menjadi rakyat yang akan berkhidmat kepada raja
Yang akan menjadi tentera-tentera yang setia
Kalau setiap manusia boleh melakukan ini semua
Perjalanan hidup mereka akan menjadi sangat indah dan berfaedah
Segala-galanya akan menuju kepada Tuhannya
Sesuai dengan kehendak Tuhan
     mengapa manusia dijadikan
Iaitu mengabdikan diiri kepada ALLAH SWT
     dan menjadi khalifah-Nya

- Nukilan seorang ulama' yang sangat ku kasihi dan segani. 

"Ya ALLAH , Kekasih Agungku,  Dikaulah yang menjadualkan padaku waktu ini menulis tentang ilmu rohani. Aku hamba-Mu yang maha dhaif ini tidak mampu rasanya untuk menyingkap tabir ilmu-Mu yang ghaib dan maha luas ini kalau bukan dengan kekuatan, pimpinan,keizinan dan ilmu yang Engkau rezekikan",ameen- petikan daripada doa seorang ulama' yang sangat ku kagumi..- Refleksi diri

Saturday 18 June 2011

MEMORI INDAH SEPANJANG JALAN KENANGAN DI MPPP K.T

"Cikgu itu mesranya pada wajah,
 Cikgu itu tegasnya mencorak laku,
 Cikgu itu pakarnya menguasai ilmu,
 Cikgu itu ikhlasnya hati budi,
 Cikgu itu jasanya dihitung hari ini, esok dan selamanya"
"Keikhlasan hati dibayangkan oleh mata sebab itu, orang jujur matanya bercahaya. Dan kejujuran adalah salah satu alat kecantikan bagi perempuan dan alat 'wajah cakap' bagi lelaki"- Hamka



Mula-mula nak masukkan gambar- gambar rakan-rakan seunit tetapi apabila mereka dikenalpasti  telah menutup aurat, saya perlulah menjaga 'harga diri' mereka...kenangan indah  dan manis semasa remaja. Mereka mungkin masih atau tidak pasti mengenali saya lagi...
"Bersama dengan Tokoh Guru saya"- Moga ALLAH SWT terus memberkati kita semua atas kebaikan yang telah kita lakukan kepada anak-anak didik kita"-ameen


Assalamualaikumwarahmatullahhiwabakatuh & Salam Persahabatan,

Segala pujian hanya bagi ALLAH SWT  dan salam dan selawat ke atas baginda Rasulullah SAW.

Kehadapan sahabat-sahabat yang diingati,

Apa kabar semua? Doa saya semuanya sihat bersama keluarga masing-masing dan sentiasa dalam perlindungan ALLAH SWT. ALHAMDULILLAH bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana diberi peluang untuk 'bertemu' semula dengan rakan-rakan sekelian di 'alam maya' setelah berpisah hampir 30 tahun. Junior saya, Arif Harun yang memperkenalkan 'kumpulan ini ' kepada saya dalam perbualan kami di alam maya ini. Tidak tahu mengapa sejak menginjak usia emas ini saya kini mempunyai hobi mengarang dan ingin mengabadikan 'pertemuan' kembali dengan rakan-rakan saya di alam maya ini. Seronok sungguh saya sepanjang minggu ini dapat melihat 'wajah-wajah' terkini sahabat-sahabat sepengajian saya di MPPP KT, walaupun hampir-hampir tidak mengenali mereka lagi.

Sebenarnya tujuan saya pada mulanya ingin mencari rakan-rakan sepengajian antara tahun 1980-1981 tetapi dianugerahkan 'kegembiraan' berganda apabila dapat juga bertemu dengan ramai junior-junior saya. Oleh kerana kita semua dah masuk usia warga emas, maka terpaksalah mencari semula nama-nama berkenaan dengan menatap kembali gambar-gambar lama sebab ditakuti tersalah orang. Oleh yang demikian, saya 'menghubungi' dulu beberapa orang kenalan yang telah saya kenalpasti mereka. Abang Hashim Mamat yang memberi galakan untuk 'berkongsi pelbagai isu di arena ini.

Kenangan Bahagia

Mengimbau kembali semasa mula-mula mendapat berita tentang MPPP KT ini saya rasa macam tidak mahu pergi memandangkan pada masa itu saya berada di Tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Melaka. Tapi pujukan dan kemahuan mak dan abah serta ahli keluarga membuka sedikit 'ruang hati' saya untuk pergi. Mungkin niatnya tersalah sedikit sebab 'takut' melihat ramai graduan universiti yang mengganggur pada masa itu dan tidak tahan berulang alik dari asrama SM Tinggi Perempuan ke SM Tinggi Melaka. Akhirnya pergi juga dengan dihantar oleh abah dengan kereta bersama-sama Richard Teoh dan ayahnya. Bapa kami bertugas di tempat yang sama di Melaka. Abah memang agak garang dan tinggalkan sahaja saya di sana dengan harapan saya 'anak' yang tahu bawa diri.. Rindu sungguh pada keluarga masa tu.. Rasa sedih dan hiba silih berganti untuk membina kehidupan baru di tempat baru. Tetapi saya dididik setiap yang berlaku ada 'hikmah' yang tersurat dan tersirat. Redha sahajalah masa itu

Orang pertama yang saya temui ialah Hayani Harun(Gopeng- masih rapat dan pernah menziarahinya di Hulu Langat). Kami ditempatkan di 'Villa Tuniza' bersama-sama Kak Su, Kak Kam, Kak Am, Norlida, Rohaya, Zarina, Zubaidah Baba, Hamidah Ramli, Kak Comel (Fazillah) dan beberapa orang lagi. Selepas semakin rapat selalulah kami  berbual mengenai kisah-kisah kuliah-kuliah yang kami hadiri dan kenangan tentang telatah-telatah para pensyarah yang melucukan, bersahaja dan tegas sentiasa menjadi antara kenangan terindah kami semua

Saya ditempatkan bersama-sama dengan rakan-rakan Tesl A seperti Hasnawiah Yusof (ada berjumpa masa kami sama-sama posting KL), Hamidah Ramli (dengar cerita sudah berhenti kerja- kali terakhir bertemu di Globe KL selepas majlis pernikahannnya), Rashidah Abd Rahman (Felda Koyan), Juraini Johar, Azlina Hashim, Ahmad Nazri Md Isa, Atiqur Rahman, Alenko, Goh Joon Far, Rohaya daud, Maimun Jelani,Allahyarham Rosilawati Talib, Richard Teoh (kini pensyarah di Uitm- berjumpa dengannya semasa sama-sama service kereta), Krisnamurthy, Saadiah Ishak, Salasiah Husin, Sharifah Saharbi, Zulfatar Awang, Abdul Rahman Yahya, Surinder Singh, Selvakumar, Asokan, Rozita Abd Samad, Khoo Teng Seng, Moh Nazar Yassin, Nazini Mohd Noor, Ng Lian Hye- terima kasih atas tag nama-nama sahabat saya  ni.. Di manalah mereka sekarang ni ya..

Mereka yang terkenal pada masa itu seperti Yusof- Pak Tam     (ramah dan mesranya ), Abg Hashim Mamat (org kuat teater), Khusairi ( YDP) dan isteri Azizah Kasman, Adibah, Aloma, Azman Zaini (bos Shahputra), Norizan Yusof, Nik Hasnah, Naimah Moh Isa, Zulkifli Maliki, Yahya Selamat, Dzul Hanan, Xavier dan lain-lain

Junior yang agak rapat dengan saya seperti Zarina Hussein ( sampai kini masih mencarinya), Adziah Nasir dan Abidah (Bagan Serai), Nurul Huda dan beberapa orang lagi . Yang masih saya  kenal dalam facebook ini ialah Muhamad Zain Mat, Hanizam Mohamed dan suaminya Jaya, Zubaidah, Razita Mohamad, Arif Harun,  Mohd Hamdan, Mohd Yunus , Masri Yaacob, Syed Adnan, Mohamad Rasul Abu, Nor Rahila, Hassanudin, Allahyarham Lamin- Maaflah yang tertinggal nama ya... Saya agak rapat juga dengan junior dalam Persatuan Agama Islam... Lucu juga bila ada  junior-junior yang ingat 'tag' saya masa Minggu Orientasi -' Adik, baca ayat kursi...' :)..

Setelah mempunyai 2 orang anak ada juga saya dan suami pergi menziarahi Kak Yam dan suaminya di Kuala Trengganu setelah  habis saya menghadiri kursus di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan di Kuantan. Sedih bercampur gembira masa itu . Masa berlalu terlalu pantas, tak disedari sudah berlalu hampir 30 tahun semuanya berlalu

Kenangan yang paling manis ialah semasa secara berkumpulan memanjat Bukit Besar di belakang maktab selepas waktu asar, jogging selepas subuh di Pantai Batu Buruk, makan nasi  dagang di perjalanan pulang ke rumah sewa kami di Pasir Panjang, shopping di bandar Kuala Trengganu, menyertai Program anak angkat di  Kg Pantai  Ali dan Mukim Ulu Tersat. Agaknya atas kenangan -kenangan inilah ALLAH SWT mengurniakan saya menantu dari Terengganu :).

Saya berbesar hati dan gembira apabila mengetahui Allahyarham Datuk Razali Ismail yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran adalah pensyarah penyelia praktikum saya di salah sebuah sekolah di bandar Kuala Trengganu. Teringat saya apabila dia telah selesai menyelia saya, dia terus membuat remarks 'thumb up' sambil mengucapkan 'good' menjadi kenangan manis sepanjang  hayat saya dalam alam pendidikan. Seronoknya pada masa itu kerana pengajaran dan pembelajaran  mengikut kaedah drama memandangkan Allahyarham adalah orang kuat teater

Kenangan indah juga kami berhari raya di Kelantan dan Trengganu kerana selalunya kami tidak balik ke kampung atas alasan perjalanan yang jauh dan memenatkan. Arwah mak saya akan 'pos'kan rendang kering untuk saya di Trengganu. Bila dah jadi mak baru saya sedar akan kasih sayang yang mendalam seorang ibu kepada anaknya. Memanglah meriah sambutan Hari Raya Haji/Korban di sana.

Berita Duka

Sedih rasanya apabila mendapat berita kepulangan ke rahmatullah Datuk Razali Ismail. Lebih menyedihkan lagi saya tidak sempat bertemu dengannya  semasa beliau menjadi pengerusi panel Forum sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Melaka atas beberapa tugasan yang perlu diselesaikan. Terkilan sungguh rasanya. Begitu juga apabila mendapat berita tentang Allahyarham Rosilawati Talib, seorang rakan yang suka tersenyum, jarang marah, rajin cuma semasa belajar sekelas lagi Allahyarham seringkali menyatakan dirinya kurang sihat. Allahyarham Lamin yang dikenali sebagai junior yang baik, agak pendiam dan pemalu orangnya, sedih juga bila mendapat berita tentang  kemalangan yang menimpanya dan kepulangannya ke rahmatullah. Moga mereka ditempatkan bersama-sama dengan hamba-hambanya yang soleh/solehah dan beriman, ameen..Perjalanan kehidupan kita sudah tersurat segala-galanya iaitu ajal maut, saat kematian, tanah perkuburan, jodoh dan rezeki adalah di tangan ALLAH SWT. Kita perlu redha.. Kita dari golongan Ahli Sunnah Waljamaah  perlu berusaha dan berdoa moga kita dikurniakan yang terbaik bagi kehidupan di dunia dan akhirat, ameen


Sebelum saya akhiri warkah ini, saya ingin mengucapakan selamat maju jaya dalam bidang yang kita ceburi ini. Moga kita menjadi pendidik/ pentadbir/ pengurus/ pengkaji yang berkesan dan terkesan di hati anak-anak didik kita dan orang di bawah  kita..Terima kasih menjadikan 'kehidupan' saya di Terengganu antara kenangan yang terindah dalam kehidupan saya...Moga silaturahim kita berpanjangan dan diberkati, ameen


Yang benar,


Noraidah Yaakub
TESL A- 1980/81


"Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman. 

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil. 

Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. " ameen

Tuesday 14 June 2011

BICARA 'ORANG LAMA'

"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya (belia  dan mahasiswanya) pada hari ini. Sekiranya golongan pada hari ini adalah daripada golongan yang berakhlak mulia dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman dan makmur. Tetapi jika keadaan sebaliknya, bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku."- Prof Dr Yusof Al Qardhawi"




Bicara 'orang lama' macam kami ibarat menghadiahkan sejambak bunga mawar yang kembang mekar mewangi untuk menjadi panduan dan pedoman anak-anak muda dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.



         "Noraidah, golongan muda hari ini susah nak dengar nasihat kita ya," bicara mantan pengetua cikgu semasa cikgu bertugas di sekolah dulu. Dia menjemput cikgu ke rumahnya pada suatu petang. Kami dah macam adik-beradik memandangkan hubungan yang akrab dan sudah  lama terjalin. "Kenapa kak ya..Saya tak pasti isunya mengenai apa ni.."cikgu cuba meminta kepastian akan fakta yang diutarakannya. "Itu lah kita dah pesan, jangan sibuk bercinta. Masuk U tu belajar ajelah ya..Ini tidak sibuklah nak 'berkawan'. Takut mereka tak dapat fokus kepada pelajaran," beliau meneruskan perkongsiannya dengan cikgu. "Entahla kak ya, bukan mudah nak membesarkan anak-anak remaja kita pada hari ini," Cikgu menyokong hujahannya. Cikgu teringat, beliau memang antara pemimpin di sekolah yang menjadi 'idola' cikgu. Semangat membantu anak-anak didiknya sentiasa membara, sangat assertif dalam tindakannya, kepimpinannya boleh mengawal disiplin sekolah, kemahiran membuat keputusannya memang mantap, berketrampilan orangnya dan kelainannya dia tidak suka membuat mesyuarat yang lama. Mengikut kefahamannya , "Kita perlu lebih masa bekerja daripada bermesyuarat." Dia selalu   mengajak cikgu berbincang di dalam biliknya dengan menjadikan 'the four walls' sebagai saksi perbincangan kami. Tetapi adakalanya 'kepakaran' yang kita ada tidak dapat banyak membantu 'menguruskan' masalah kita malahan kita perlu pula buat konsultasi dengan pihak yang lebih pakar dan berpengalaman.

             "Hai, takkan 19 tahun dah nak kahwin. Mereka  ini ingat kahwin ni senang ke? Kedua-duanya sedang belajar. Hadap satu-satu la..Kak kata paling kurang 25 tahun baru kahwin..Lainlah kalau si lelaki ni lebih tua dan sudah bekerjaya, walaupun yang perempuan masih belajar, kurang sedikit masalahnya," tegas nada suara seorang ibu.. "Jadi apa pandangan noraidah?" dia meneruskan bicara. Belum sempat lagi cikgu menjawab, dia sendiri memberi jawapan atas persoalan yang dilontarkannya, "Kak dah kata, jangan jumpa-jumpa, jangan ikut perasaan muda tu, tetapi di belakang kita tak pasti mereka dengar cakap kak atau tidak,". Cikgu memberi jawapan dengan nada yang perlahan dan empati , "Itulah cerita anak-anak zaman sekarang. Dapat anak yang mendengar kata, mudah rasanya segala urusan. Cepat sangat 'feeling' mereka ni. Jauh lagi perjalanannya. Nak beri 'hati' kita pada seseorang yang istimewa memerlukan 'proses' kematangan, muhasabah diri, 'restu' ILLAHI dan ibu bapa daripada kedua belah pihak. Cubalah kak 'slow talk' dengannya dan kawannya tu". 

                Hendak juga cikgu berkongsi dengannya bukan mudah untuk menguruskan anak-anak muda yang sedang melalui zaman percintaannya. Sebanyak manapun maklumat yang kita sampaikan kepada mereka, mereka sudah 'deletekan' maklumat tersebut daripada masuk ke akal pemikiran dan hati mereka. Benarlah kata orang tua-tua, "Cinta itu buta" atau "Orang bercinta memang buta" . Benarlah kata suami cikgu kepada anak-anak cikgu pada suatu pagi, "Masa bercinta seseorang lelaki bermimpi, setelah berkahwin baru mereka tersedar daripada mimpinya".Kami suami isteri memang sangat terbuka dengan anak-anak  dalam membicarakan tentang isu 'remaja'. ALHAMDULILLAH setakat ini mereka masih dalam kawalan. Agaknya selalu bercakap  dengan mereka menyebabkan sudah 'terpasak' dalam pemikiran mereka 'harapan dan impian kami suami isteri'

              Teringat juga cikgu anak-anak 'bujang' cikgu mengusik diantara mereka dalam facebook apabila si abang menyakat adiknya untuk 'menjalankannya'  atau 'mencarikan' calon untuk dirinya. Cikgu menyampuk perbualan mereka," Angah, Abdul Hakim, carilah yang macam ustazah yang menghayati agamanya, sempurna penutupan auratnya, solat 5 waktu, menjaga akhlak dan harga dirinya sebagai seorang anak gadis, tidak berkira, boleh bertolak ansur, kuat pegangannya, rajin, kemas, bersih, berilmu dan beramal dengan ilmunya, dari latar belakang  keluarga yang baik-baik dan  nak mak senaraikan lagi ke ciri-cirinya? Yang lebih penting Angah dan Abdul Hakim kena jadi 'baik' dulu, kemudian barulah dapat 'anugerah' yang baik ini. Cikgu tengok kedua-duanya terus buat tanda 'like' atas kenyataan cikgu. Selalu juga cikgu mendengar suami cikgu berbicara dengan anak-anak bujang cikgu ini," Nasib baik ayah jumpa mak, ikutkan ayah ni jejaka yang pemalu. Tak tahu nak 'tackle' orang perempuan. Ayah lengkapkan dulu diri ayah dengan 'watak' seorang lelaki Islam dan beriman dahulu sebab itulah ALLAH SWT mempertemukan ayah dengan orang seperti mak. Jadi kita sebagai orang lelaki kena banyak membetulkan diri kita dahulu sebenarnya. Kitakan  pemimpin dalam sebuah rumahtangga"
    
           Banyak sangat intrakomunikasi dalaman yang berlaku dalam diri cikgu semasa membantu menguruskan 'cerita' ini. Cikgu teringat beberapa orang pelajar cikgu berjumpa dengan cikgu dan memberi ulasan mereka, "Puan Noraidah, kami suka baca blog cikgu, banyak perkara baru yang kami akan belajar. Kalau boleh tulislah pasal isu perkahwinan, percintaan dan mencari jodoh ini. Ini memang favourite kami,". Kadang kala cikgu mengusik juga mereka, "Kenapa ya, ramai yang dah nak kahwin ke? atau dah mula mengenali seseorang untuk 'berkongsi' kehidupan atau masih dalam 'pencarian' ?" Selalunya mereka akan mengukirkan senyuman sebagai petanda 'non verbal' akan kebenaran provokasi cikgu terhadap mereka.

                       Oleh itu, bagi golongan muda remaja ini, kalaulah cikgu boleh memberi nasihat kepada  mereka yang boleh menerimanya kerana cikgu sedar dalam kehidupan manusia pada hari ini yang 'konon'nya berilmu, ego orang yang mengaku berilmu  dengan anugerah ilmunya dari ILLAHI ini sangat 'tinggi' ada kalanya. Seperti kata Imam Al Ghazali, "Utamakan yang utama". Buatlah analisis sendiri , "Apakah yang lebih utama dalam hidup anak-anak sekelian?". Kalau rasa 'perkahwinan', maka berkahwinlah tapi hadapilah 'tinggi-rendahnya' kehidupan selepas itu. Tapi jika anak-anak rasa 'ilmu' dan kemahiran, maka kejarlah ia dengan sepenuh hati kerana ALLAH SWT telah menjanjikan darjat orang yang berilmu adalah tinggi berbanding yang tidak berilmu.

                     "Ya ALLAH, ya Tuhan kami, kurniakanlah kami Rahmat dari sisi Mu, dan berikanlaah kami petunjuk dalam urusan kami dengan segala petunjuk. Mudahkanlah urusan kami ya ALLAH, permudahkan jangan disulitkan kerana Engkaulah Yang Maha Memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagi Mu. Ya ALLAH sempurnakanlah segala kebaikan, dengan Rahmat Mu. Ya ALLAH Yang Maha Mengasihani daripada Yang Mengasihani."- ameen

             

Thursday 9 June 2011

"THE GOLDEN HEART"

"Wahai Tuham kami, ampunilah dosa-dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan  dendam terhadap orang-orang beriman. Wahai Tuhan kami Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas dan Rahmat Mu"-surah al-Hasyir:10





Bersama Datin Maimon Awang semasa memberi ceramah di Petronas Methanol Labuan. Sepanjang kami berada di sana dia memberi 'layanan Red Carpet Treatment' yang menjadi kenangan istimewa sepanjang hayat cikgu suami isteri. Moga ALLAH SWT memberkati kehidupannya sekeluarga di dunia dan akhirat, ameen



      Perjalanan kami dari Melaka - Padang Besar - Arau - Jitra - Cameron Highland - Melaka adalah kembara yang menyeronokkan walaupun agak memenatkan. Bayangkan jumlah masa di dalam kenderaan menyebabkan banyak cerita yang dapat dikongsikan bersama. Sementara cikgu menghadiri seminar di Institut Aminuddin Baki (IAB) Utara, suami cikgu menguruskan pergerakannya dengan anak-anak untuk melawat beberapa destinasi di utara sambil menziarahi anak 'bujang' cikgu di Arau. 

          "Nampak seronok Abdul Hakim berbual dengan Nor tadi, tak abis-abis abang tengok dia bercerita dengan maknya sepanjang pertemuan. Rapat betul Nor dengan anak-anak lelaki kita,"suami cikgu memulakan perbualan. Cikgu terus memberi respon,"Tak apa abang, elok anak-anak ni bercerita dengan maknya daripada dia memendam perasaan, kita dengar cerita pengalamannya, kawan-kawan dan seniornya yang memberi nasihat dan motivasi, lecturernya yang membina wawasan 'kehidupan', pengalamannya yang akan membina ketrampilan diri dan wataknya agar dia menjadi hamba ALLAH SWT yang berguna untuk ummah.". 

        "Tapi yang seronoknya abang lihat, selepas makan Radix Fried Chicken di Jitra, dia terus mengemas dan membersihkan pinggan dan sisa makanan serta menyusun pinggan mangkuk untuk diangkat oleh pelayan.Agaknya dia dah terbiasa dengan 'ajaran' Nor semasa cuti dahulu,"suami cikgu menjelaskan sambil tersenyum. Begitulah untuk mendidik anak-anak 'berhati emas', ianya bukan mudah dan memerlukan proses, ruang masa dan pendidikan yang mendalam. Selalu cikgu nasihati anak-anak untuk mengemas tempat makan dan bilik di hotel walaupun ada pekerjanya. Mudahkan mereka, nanti ALLAH SWT akan memudahkan kita. Nilai ini sudah lama dihayati oleh masyarakat Jepun. Mereka lebih 'Islam' daripada kita. Alangkah indahnya jika mereka  turut menganut agama Islam

          Satu perkara yang sangat menarik yang boleh cikgu kongsikan pada kali ini ialah tentang cerita  insan-insan yang menjiwai 'The Golden Heart' oleh Tn Hj Shahabuddin bin Asaari atau dikenali sebagai Pak Su. Cikgu pernah memandu seorang diri dari Melaka sehingga ke Taiping Perak apabila diarahkan oleh BPG untuk berkursus di sana di bawah kelolaan Pak Su sebab banyak yang tersurat dan tersirat yang akan dapat dipelajari. Bagaimana agaknya ciri-ciri orang yang mempunyai 'the golden heart' di zaman sekarang ini? Memanglah sangat jarang kita menemui mereka yang sedemikian, jadi kalau kita menemuinya anggaplah ianya rezeki daripada yang Maha Esa untuk kita. Apatah lagi bila kita menemui mereka semasa kita belajar, melangkah ke alam kerjaya, meneroka alam perkahwinan, meneliti cerita-cerita di 'alam sosial' dan cerita kehidupan di hamparan bumi yang kita 'hinggapi' buat sementara waktu ini.

         Manusia berhati emas ini 'jiwa kebajikan' mereka sangat tinggi. Kalaulah Pak Su memberi nama-nama yang mulia yang 'berjenama' di dunia pendidikan, cikgu hendak juga berkongsi tentang 'mereka' ini yang pernah cikgu kenali. Tn Hj Badrul Hisham Abdul Karim begitulah 'jenama' yang dikenali ramai oleh rakan-rakan cikgu. Orangnya lebih muda dari cikgu tetapi sebelum cikgu menjawat jawatan Presiden Majlis Guru Kaunseling Negeri Melaka, dia  adalah merupakan Mantan Presiden Majlis Guru Kaunseling Negeri Melaka yang terdahulu. Sebagai pemimpin sebuah organisasi NGO, dia memastikan kebajikan ahli-ahli  di bawahnya sentiasa terbela. Setiap mereka yang 'bermasalah' yang datang menemuinya tidak pernah dihampakan walaupun dia memang nampak berwatak tegas tetapi sangat prihatin dan bertanggungjawab dengan masalah kawan-kawan seperjuangan. 

      
        Walaupun tidak dapat dinafikan proses yang perlu dilalui dalam sesebuah organisasi seperti kata Tuckman iaitu peringkat -i) forming -awal  ii) storming-konflik   iii) norming- membina norma iv)developing- perkembangan adalah perkara normal tetapi cikgu melihat dia telah berjaya menguruskan organisasi dengan cekap dan profesional sehingga apabila cikgu 'mewarisi' jawatan presiden daripadanya 'tinggalan'nya banyak memudahkan cikgu untuk bertindak memantapkannya lagi. Disamping itu, dia tetap memberi konsultasi tanpa jemu kepada cikgu walaupun pada masa itu dia telah berada di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya. Bayangkan dana yang kami perolehi daripada projek yang dijalankan sepenuhnya digunakan untuk membantu insan-insan istimewa dan ahli-ahli yang diduga dengan kesusahandan kekurangan oleh ALLAH SWT. Dia tidak membenarkan penyalahgunaan peruntukan untuk diri sendiri dan sebagainya. Selalu dia ingatkan cikgu, "Kak, jawatan ini satu amanah. mari kita bekerja dengan 'hati', jiwa dan roh kita. Moga ALLAH SWT mempermudahkan kita" Agaknya peluang menjadi anak murid Pak Su selama 4 bulan di IAB Jitra dahulu banyak mengajarnya diselangi pengalaman 'sukarnya' di zaman kanak-kanak dahulu.

        Insan kedua 'berhati emas' yang cikgu temui dan dianugerahkan dalam kehidupan cikgu adalah Tn Hj Sulaiman bin Mohd Yassin iaitu suami cikgu. Agaknya pengalamannya kehilangan ibunya semasa kecil kerana bersalin menjadikannya 'tahap kebimbangan' tinggi apabila cikgu mengandung. Solat, doa, zikir, selawat dan bacaan AlQurannya lebih lama setelah mengetahui cikgu mengandung. Bayangkan dia tidak pernah ketinggalan menunggu cikgu di luar bilik bersalin untuk keenam-enam orang anak cikgu. Sabar sungguh dia menunggu proses kelahiran itu sehinggakan bidan yang menguruskan cikgu  bersalin selalu akan bertanya cikgu, "Manalah anak jumpa suami yang sesabar ini, dia tidak berganjak di luar bilik dari tadi sehingga anak  selamat bersalin". Begitu juga semasa menunaikan fardu haji dan umrah, dia akan mengetuk bilik cikgu pada pukul 2 pagi untuk mengejut cikgu  sama-sama pergi beribadah di awal pagi. Sementara menunggu cikgu bersiap dia akan membaca AlQuran di luar bilik cikgu. Makcik-makcik yang sebilik cikgu selalu mengatakan,"Bertuah kau  nak kerana suami kau sabar dan tak melupakan isterinya bagi menjalani ibadah di sini. Kami ni dah berumur 60-70tahun tapi semuanya menjalani ibadah masing-masing." 

      Arwah ibu cikgu selalu mengatakan jika cikgu mengandung dan bersalin dia tidak akan risau kerana dia tahu suami cikgu akan menguruskan cikgu dan dia terus dapat meneruskan ibadah dan 'pengajian'nya di surau atau masjid seperti biasa tanpa sebarang halangan. Walaupun begitu cikgu tidak akan memanjakan diri dan terus membuat kerja-kerja rumah selepas bersalin untuk membantu memudahkan suami cikgu. Yang lebih menguntungkan cikgu, dia akan memastikan cikgu sihat, kuat dan bertenaga dengan 'mengurut' cikgu sehinggalah cikgu habis pantang dengan 'kemahiran mengurutnya'. Kami saling bantu-membantu dan bekerjasama menguruskan anak-anak dan itulah yang menjadi 'rahsia' kenapa kami tidak mempunyai pembantu rumah walaupun telah berkahwin selama 27 tahun. Sebarang teguran dan rasa tidak puas hati terhadap cikgu dan anak-anak dibuat dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Benarlah kata orang tua-tua," Perangai suami ada di wajah isteri dan perangai isteri ada di wajah suami"

        Begitu juga di sepanjang pengalaman hidup cikgu, dianugerahkan bertemu dengan ramai para sahabat, para pekerja, para pelajar dan para ketua jabatan yang 'berhati emas'. Mereka mempamerkannya melalui perbuatan, tingkahlaku dan tindakan mereka. Sangat mengambil berat, menjaga kebajikan , prihatin dan berani mempertahankan orang bawahannya jika kita berada di pihak yang benar dan bekerja. Benarlah kata Pak Su, "Tindakan , tingkahlaku dan perbuatan adalah 'duta' kepada hati". Ini bermakna tindakan, tingkahlaku , perbuatan, kata-kata yang baik dan bermoral bermula daripada 'hati' yang dipenuhi dengan sifat-sifat mahmudah seperti berbaik sangka, berhati mulia dan bersih, jujur, turut bergembira dan bersyukur apabila melihat kejayaan orang lain, turut bersedih dengan kesusahan dan bencana orang lain, empati dan sebagainya. Apa yang lebih penting insan yang 'berjiwa emas' ini sangat menjaga hubungannya dengan Penciptanya, dalaman dirinya, sesama manusia dan hidupan yang menumpang di bumi ALLAH ini. Islam mengajar kita untuk mendidik diri dengan ilmu Tauhid, Fekah dan Tasauf. Ilmu Tasauf adalah 'cermin'  dan alat untuk kita meneroka dan mendidik 'hati'. Mereka yang 'berhati emas' sangat menghayati sifat-sifat ini iaitu

C- Caring
U- Understanding
T- Trusting


A- Accepting
P- Patience
P- Positive Thinking
L- Listening
E- Empathy


A- Assertive
R- Respect


Cuba kita buat refleksi diri, adakah kita tergolong dalam 'jenama' 'berhati emas' ini? Sudahkah kita menghayati CUT APPLE AR ini? Sepanjang perjalanan kehidupan kita sudahkah kita bertemu dengan insan-insan 'teristimewa' ini? Carilah, mereka ada di sekeliling kita :) Terima kasih Ya ALLAH atas segala-galanya. ALHAMDULILLAH


"Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah daku orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatul Naiim" ameen- surah al Syu'ara':83-85

Saturday 4 June 2011

THE LAW OF ATTRACTION

"Sesiapa yang sukar menunaikan hajatnya, hendaklah ia memperbanyakkan selawat ke atasku. Sebab ia melapangkan kebimbangan, kedukaan, kesusahan, memperbanyakkan rezeki serta menunaikan hajat."- Riwayat Al Sayuti    
                                                                     
The law of attraction makes us happy, grateful and feel the togetherness. ALHAMDULILLAH, thanks for  the 'gift'

          ALHAMDULILLAH, dipermudahkan ALLAH SWT untuk mencatat sedikit pengalaman pada pagi ini sebelum melangkah keluar untuk memenuhi beberapa jemputan undangan walimah. Kesibukan menguruskan kehidupan berkeluarga dan kerjaya membataskan banyak urusan penulisan ini. Tetapi yang membangkitkan motivasi untuk menulis ini apabila selepas memberi ceramah ada 'audience' yang memintakan pengalaman yang dilalui dikongsikan dalam bentuk penulisan dan dapat diterbitkan. Begitu juga apabila membentangkan 'kajian kes', banyak kes-kes yang menarik yang boleh dibukukan untuk panduan bagi membuat langkah-langkah pencegahan dan pengukuhan cikgu rasa. Jadi terpanggil juga nak kongsi "The Law of Attraction' untuk hidangan para pembaca cikgu. Menarik  juga tajuk ini dalam kehidupan kita sebenarnya apabila kita berinteraksi dan bersosialisasi dalam urusan seharian.

      "Kenapa kita cepat saja tertarik dengan seseorang walaupun kadangkala baru sahaja kita mengenalinya?", tanya suami cikgu kepada anak-anak semasa kami sama-sama bersarapan pagi. "Pernah dengar 'The law of attraction?'- iaitu 'hukum tarikan'  di mana kita akan tertarik kepada seseorang yang mempunyai nilai, pegangan dan fahaman yang sama dengan kita. Maksudnya kalau dia seorang yang positif dan kita juga positif akan menyebabkan kita cepat tertarik padanya", hurai suami cikgu dengan lebih lanjut. Terus dia mengeluarkan buku "The Law Of Attraction" dari rak buku di bilik bacaan kami. "Orang yang positif akan menarik insan yang positif juga. Malahan dalan Islam perkara ini telah lama diberi penekanan oleh baginda Rasulullah SAW supaya kita sentiasa positif, berbaik sangka. menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah, menjauhi daripada sifat-sifat mazmumah dan berdoa untuk diri, ibu bapa dan ummah. Jadi kenalah banyak-banyak berdoa dengan menggunakan kekuatan 'unconcious mind' pula", panjang lebar 'ceramahnya' pada pagi ini. Melopong sikembar, 'Atiqah memahami tapi masing-masing mendengar dengan takjub. Cuma cikgu risau kalau aras perbincangan kami agak tinggi dan sukar mereka fahami.

        "Abang, make it simple and simplify for them," cikgu meminta suami cikgu memudahkan mereka. Suami cikgu meneruskan, "Ok, be positive  and you will meet the positive people in your life. Remember walk your talk,".  'Kalau jumpa orang yang negatif pula macamana?", tanya sikembar 'Aqilah inginkan kepastian. "Tak apa, anggap pula ianya pengalaman kehidupan, yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik jadikan sempadan. Jangan pula kita pula jadi negatif, sekurang-kurangnya kita tahu ada macam-macam pendapat, ragam dan pandangan manusia ini. Ingat, 'the more you give, the more you will get'. Kita akan tuai apa yang kita tanam ya," pesanan suami cikgu dengan selanjutnya..

           Teringat cikgu kepada bahan bacaan yang cikgu baca daripada  The American Psychologist :
Some believe that the secret of life is buried in the power of the Law of Attraction. There are plenty of resources to help you tap into this hidden power to attract the love of your life. From Oprah’s Living the Law of Attraction Web site to a new iPhone/iPad application called “The Soul Mate Within,” you can see others’ stories and learn how to apply the Law of Attraction.
So if the basic principle is that “like attracts like,” then why do we attract the wrong kind of people? The Law of Attraction doesn’t come with a full symphony orchestra that will erupt with lovely music when you find that special someone or a new best friend"

            Pengalaman seharian yang kita lalui, kita akan rasai serasinya kita dengan seseorang dan seolah-olah ada titik pertemuan dengannya sehingga menyebabkan lama dan berjam-jam kita berbual tanpa menyedari pergerakan masa yang berlalu. Ianya berlaku bila ada 'hukum tarikan' tadi. Dalam pengalaman kehidupan ini, cikgu bersyukur dapat mengenali ramai sahabat hingga menyebabkan kami rapat, saling hormat menghormati, jujur dan berkongsi banyak pengalaman yang 'indah-indah' bersama. Jarang kami membicarakan keburukan sahabat yang positif ini kerana menghormati nilai sebuah 'persahabatan'. Walaupun ada ketikanya kami saling ingat-mengingat jika ada sebarang kesilapan dan tingkahlaku yang kurang manis serta bualbicara yang menyakitkan maka buatlah teguran untuk kami kenalpasti kelemahan dan seterusnya memperbaikinya. Ada juga antara mereka adalah audience yang pernah mengikuti 'ceramah' cikgu dan 'hukum tarikan' ini menyebabkan hubungan kami bertambah rapat. Memang banyak persamaan nilai, pandangan dan kefahaman dan ada titik pertemuan seperti yang disarankan oleh Carl Rogers. 

           Pesanan suami cikgu, "Dalam Hukum Tarikan ini, kita perlu banyak membuat refleksi diri, memperbetulkan niat , jujur, menjalankan apa yang kita perkatakan dan yang paling  penting beramal mengikut tuntutan agama. Islam telah lama membicarakan isu ini. Orang barat ,keistimewaan mereka adalah apabila mereka suka mengkaji kebenaran sesuatu hipotesis sebelum menjadikannya teori. Kita orang Islam amat lemah dalam bidang ini." Cikgu suka juga mengusik suami cikgu,"Ok abang ya, boleh buat PhD dalam bidang ini. Satu kajian yang menarik, tapi tulah takut pula masa dengan abang dan anak-anak terbatas pula. Tak apa abang, seperti kata Maslow- "Self Actualization"  iaitu kehendak dan cita-cita seseorang berbeza-beza. Duduk bersembang dengan abang lebih memberi makna dalam meneroka kehidupan yang singkat ini. Terima kasih abang memberi wacana dalam 'universiti rumahtangga'. Teringat cikgu kegemaran kami suami isteri dan anak-anak 'menjelajah' dengan perbicaraan yang tidak pernah selesai isunya diiringi bacaan Al Quraan, zikir, selawat dan nyanyian nasyid sepanjang 'kembara'  perjalanan kehidupan kami dengan keberkesanan "The Law Of Attraction".

" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur atas ni'mat Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang tunduk dan patuh kepadaMu" ameen- al Ahqaf:15