Wednesday 18 May 2011

Bagaimana Interpersonal Kita Dengan Insan Di Sekeliling Kita?

"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para Nabi & syuhada, tapi para Nabi dan syuhada iri pada mereka. Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana ALLAH SWT, saling bersahabat kerana ALLAH SWT dan saling bekunjung kerana ALLAH SWT." (HR.Tirmidzi)

Moga kita tergolong dalam kalangan mereka,amin






      "Sudah berapa tahun kita berkahwin ya abang ? ", tanya cikgu pada suami. "Hampir 27 tahun rasa abang", jawab suami cikgu. "Nor rasa macam baru semalam kita kahwin abang.", cikgu memberi tindakbalas atas jawapannya. Tersenyum suami cikgu mendengar penjelasan  cikgu. "Sungguh abang, MASYAALLAH cepat betul masa berlalu, memang rasa baru lagi." Memerhatikan deretan 6 orang anak-anak cikgu selalu cikgu panjatkan rasa kesyukuran kepada ILLAHI atas kurniaan-NYA, syukur ALHAMDULILLAH. Teringatkan saat getir bila ingin membuat keputusan untuk menerima atau menolaknya  apabila suami cikgu menyatakan hasrat. Tapi sehingga kini kami masih mengabiskan masa berbual dan bercerita berjam-jam lamanya pada hal sebelum berkahwin tak berapa kenal pun. Berbeza dengan keadaan remaja pada hari ini yang menghabiskan masa berjam-jam 'bergayut' di telefon sehingga banyak mengabaikan masa dengan ALLAH SWT, ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

            Teringat cikgu pada minggu lepas cikgu mengajar pelajar-pelajar KPLI tentang "Kemahiran Interpersonal" dalam Ilmu Pendidikan- Psikologi. Penting sungguh kemahiran ini untuk dihayati dalam kehidupan sebagai seorang insan, tetapi sayang cikgu lihat kemahiran ini sudah semakin pupus dan kurang dihayati. seorang Ketua Jabatan pernah berkongsi kerisauannya memerhatikan telatah golongan muda yang meminggirkan dan tidak langsung menghayati kemahiran interpersonal dalam kehidupan sebagai pelajar, kerjaya dan kehidupan. Golongan muda hari ini sukar nak terima nasihat orang-orang tua macam kami. Jika dahulu, semasa kami 'muda' suka sangat duduk berbual, menegur sapa, minta pandangan dan minta jika ada apa-apa nasihat untuk kami golongan 'muda' ni daripada golongan 'tua'. Itu antara sebab cikgu sangat rapat dengan guru-guru lama, menghargai pandangan dan pengalaman mereka dan mengambilnya sebagai ikhtibar. Bekas pengetua-pengetua dan rakan-rakan guru yang cikgu pernah bekerja dengan mereka masih rapat sehingga kini dan ramai yang memberi 'petua kehidupan' untuk merangsang kehidupan ibadah, kerjaya , kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Sikap 'ego' golongan muda memang jelas terpancar dengan pelbagai insiden yang cikgu alami terutamanya semasa bertugas di JHEP. Kadang-kadang terfikir, bagaimana agaknya keadaan realiti mereka sebagai seorang anak gadis, apabila telah menjadi isteri dan ibu kelak. Sangat sukar untuk menerima nasihat, teguran, pandangan orang lain walaupun pensyarah sendiri. Dari sudut IQ bagus, tetapi di sudut EQ dan SQ memang rendah dan sukar membawa diri. Intrapersonal banyak yang belum diuruskan secara bijaksana maka sudah tentu interpersonalnya lagi bermasalah. 

      Dalam kehidupan berkeluarga pula daripada awal perkahwinan hingga beranak-pinak pula suami dan anak-anak cikgu akan beri nasihat dan teguran kepada cikgu jika dirasakan perlu. Begitu juga disebaliknya. Cikgu suami isteri mendidik anak-anak untuk membiasakan diri menerima teguran, menerimanya dengan berlapang dada dan melihat daripada kacamata yang positif. Anak-anak juga dilatih untuk menjadi orang yang kuat mentalnya, berjiwa besar, tidak mudah tersinggung, berlapang dada dengan teguran yang diberikan, meminta maaf jika membuat kesilapan dan mengguriskan hati ahli keluarga dan orang lain. Sebab itu dalam rumahtangga cikgu tidak ada yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa serta mengundang suasana yang tidak selesa sesama ahli keluarga. Oleh itu dalam stress pun tidak mudah rasa tertekan atau histeria. Jika anak-anak bercerita tentang masalah dan tekanan yang mereka hadapi , nasihat kami suami isteri," Kakak, angah, iqa, hakim, kembar jauh lagi perjalanan hidup kita. Banyak lagi pengalaman suka duka, ranjau kehidupan, kerenah manusia, cabaran dan tekanan kehidupan yang akan dilalui. Jadi anggaplah pengalaman yang dilalui ini sebagai pendidikan dan pengalaman yang tiada dalam buku. So just face it with your BIG heart." Cikgu teringat bila cikgu dan  para pelajar di bawah kelolaan cikgu kena marah dan diberi  teguran atas majalah yang akan kami keluarkan, cikgu senyum sahaja dan bila majalah dah siap cikgu tunjukkan hasil karya kami kepada yang mengkritik. "Kuat mental you hajah ya walaupun dikritik hebat," ucapan pertama pengkritik cikgu. Cikgu senyum sahaja, dalam hati cikgu berbisik,"ALHAMDULILLAH, syukur aku kepada MU kerana memberi kemudahan dan sentiasa dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang sentiasa sedia membantu ku dengan kepakaran mereka. Berkatilah mereka ya ALLAH".



      Didikan interpersonal ini mengingatkan cikgu  pada suatu petang, apabila sahaja sampai ke dalam rumah, anak lelaki cikgu duduk disebelah cikgu dan berkata,"Mak, tolong Hakim selesaikan masalah Hakim dan kembar 'Amirah. Dia marah Hakim hari ini sebab Hakim tak tolong dia kemas rumah. Adik marah betul dengan Hakim. Memang Hakim salah tapi Hakim penat betul semalam hingga tertidur sakan hari ini." Cikgu memanggil sikembar 'Amirah dan cuba bercakap dari hati ke hati dengannya. Si kembar 'Amirah ini memang sangat rajin, kemas, teliti dan prihatin terhadap kebersihan. Kalau dia bertugas di dapur minggu tersebut, dapur memang bersih dan macam-macam makanan dia akan sediakan untuk kami. Belum apa-apa lagi dia sudah menangis, kedengaran suaranya tersekat-sekat, "Abang Hakim tak tunai  lagi janjinya nak tolong kita kemas rumah, dia rehat sahaja. Kita penat mak. Dia dah janji nak tolong tapi tak tolong pun. Kita geram dengan abang Hakim mak." "Abang minta maaf, lain kali abang tak buat lagi. Abang tak suka adik marah-marah abang macam ni.. Nanti ayah marah kalau dia tahu kita bergaduh." Di akhir krisis selalunya yang berkrisis akan bersalaman, adik cium tangan abang dan abang akan mencium dahi adik serta memeluk antara satu sama lain. Sebagai ibu memang terasa syahdu masa itu. Ini penting untuk menghilangkan sifat-sifat mazmumah dan membina semula hubungan interpersonal mereka. Suami cikgu sudah membentuk anak-anak tidak mencerita hal-hal negatif orang lain kerana ianya ibarat 'meletakkan racun dalam badan kita'. Disamping itu anak-anak tidak dibenarkan bercerita tentang 'kehebatan' diri, merendahkan orang lain serta menghayati sifat-sifat mahmudah. 


      Cikgu teringat nasihat seorang ibu mithali negeri Johor yang cikgu temui semasa majlis walimah anak buah cikgu."Untuk memastikan anak-anak kita berjaya dalam urusan duniawi dan ukhrawi, pastikan kita sebagai ibu perlu menghayati sifat-sifat mahmudah di mana hati perlu bersih. Jangan ada sifat dengki, irihati dan khianat dalam diri kita. Anak-anak juga perlu dilatih dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmunah." Rumusan cikgu binalah intrapersonal diri yang kukuh, selesaikan faktor 'dalaman' kita. Kemudian barulah kita dapat membina interpersonal sesama ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat apabila hati dan jiwa kita sudah bersih. Kehidupan pun lebih tenang, aman dan damai. "Ingat kita akan tuai apa yang kita tanam suatu hari nanti" nasihat suami cikgu kepada anak-anak.

         Itu agaknya faktor yang merasai 'tahun perkahwinan' selama 27 tahun seperti baru semalam berkahwin, masih banyak perlu diterokai mengenai  pasangan dan kehidupan cikgu. Membina hubungan interpersonal bersama pasangan kita, anak-anak dan ahli keluarga akan memaparkan 'warna' sebenar kita bila berinterpersonal dengan rakan-rakan dan ahli masyarakat. Ianya bukan kerja yang mudah untuk mentarbiah diri dengan sifat-sifat mahmudah sebelum membina interpersonal dengan orang lain. Teringat cikgu akan pantun dibawah dan ucapan HAMKA:


Apakah tanda batang tebu,

Batang tebu halus uratnya,
Apakah tanda orang berilmu,
Orang berilmu halus budinya..



"Umur badan terbatas. Umur batu nesan kadang-kadang lebih panjang dari umur badan, tetapi umur jasa dan kenangan lebih panjang dari umur batu nesan,
Sebab itu Jalaluddin Rumy pernah ketika orang minta izin kepadanya hendak mengubah pada kuburannya apabila dia mati. Beliau menjawab,"Tak usahlah mengubah pada kuburanku, kalau hendak menziarahi aku temuilah aku dalam hati orang yang mengenali ajaranku"- HAMKA

Jadilah anak mithali, isteri/suami mithali, ibu/bapa mithali dan  insan mithali tetapi janganlah menjadi insan 'menyesali'..........

"Segala puji bagi ALLAH yang telah membaikkan kejadianku, lalu baguskannya dan memuliakannya rupa mukaku lalu mengindahkannya dan menjadikan daku dari golongan orang-orang yang menyerah diri kepada ALLAH" Amin Ya ALLAH


No comments:

Post a Comment