Thursday 20 October 2011

Indahnya 'Cinta' Ini- Keasyikan & Kebahagiaan Cinta Abadi di Mekah Al Mukaramah & Madinah Al Munawarah-1992

Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada sesiapa yang Dia sukai atau tidak. Tetapi Allah memberikan agama hanya kepada mereka yang disukainya, sesiapa yang dikurniakan Allah agama, sesungguhnya Dia mengasihinya” ( Baihaqi/Ahmad)






         Hari ini 18 November 2012 mungkin jadi kenangan yang indah dalam kehidupan peribadi dan kerjaya cikgu kerana bertemu semula dengan junior dan sahabat lama cikgu di maktab dahulu. Gerak hati masa melihat zaman muda belianya dah boleh mendapat lintasan hati dia boleh pergi jauh dalam alam pendidikan. Selepas 30 tahun masa berlalu ALHAMDULILLAH ianya telah terbukti. Sebagai seorang pendidik berjiwa 'pendidik', sudah menjadi satu kelaziman untuk kita turut sama rasa gembira dengan kejayaan mereka yang dikenali atau tidak dikenali dalam kehidupan. ALHAMDULILLAH moga bertambah makmur dunia dengan orang-orang yang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

          Beberapa minggu lepas dalam perkongsian perbincangan cikgu dengan suami, cikgu ada menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman menunaikan haji dan umrah dalam usia muda selepas 10 tahun berkhidmat sebagai seorang guru. Cikgu perlu mendapatkan khidmat nasihatnya kerana tidak mahu 'perkongsiaan' cikgu dicemari dengan perasaan riak, ujub dan takabur. Lebih ke arah pendidikan agar 'perkongsian' ini mampu memberi motivasi dan inspirasi kepada golongan pembaca muda cikgu. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjadikannya sebagai panduan dan pedoman. Cikgu sangat takut ibadah tidak diterima ALLAH SWT dan menjadi sia-sia sahaja. Nauzubillahminalik.
       


        Tidak beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Zulhijjah atau bulan haji istilah orang-orang kita . Setiap tahun kedatangan bulan suci ini mengimbau semula pengalaman cikgu yang sudah berlalu hampir 20 tahun. Moga apa yang dapat cikgu kongsikan ini menjadi amal jariah yang berpanjangan untuk kami suami isteri. Semasa di zaman kanak-kanak cikgu, antara masa dan ketika yang membahagia  dan menggembirakan cikgu bila menghantar dan menyambut kepulangan datuk, nenek serta ibu dan bapa saudara cikgu dari menunaikan fardu haji. Seronok dan kagumnya kerana mendengar cerita-cerita mereka semasa menunaikan ibadah haji dengan kapal laut. Ghalib, kagum dan melopong cikgu mendengar cerita mereka. Semasa itulah cikgu membina 'imiginasi cemerlang' dengan berpandukan 'minda bawah sedar' dan 'minda tidak sedar' cikgu. Masa tu tak tahu pun ianya 'imaginasi cemerlang' sebab belum belajar lagi. Prof Dr Mizan Adaliah  dari UPM selalu mengusik cikgu di dalam kelas master dahulu dengan mengatakan cikgu suka bercerita walaupun nampak pendiam dan pemalu . Paper 'Refleksinya- Mengapa saya memilih bidang kaunseling', cikgu mendapat A. Hanya kami 2 orang sahaja yang dapat A kerana katanya kami mampu bercerita dengan 'jujur'. Seronok dipuji oleh guru walaupun 'kehidupan lintang pukang menguruskan belajar secara luar kampus' pada masa itu. Rasa penat hilang bila naik pentas untuk menerima scrol. Itula kegilaan belajar cikgu pula. Pada hari ini juga semasa bertembung dengan Dr Sageran di Anjung Ilmu sebelum bermesyuart dengan pihak IPG Induk, dia bertanya, "Hajah, how's your PhD?" Terkedu juga nak menjawab sebab beria-ria dia menjadi referee cikgu tempuh hari. Moga terus dipermudahkan, ameen

         Kembali kita ke cerita kisah 'Cinta' Cikgu di Tanah Suci, selepas sahaja diijab qabulkan dengan suami cikgu, kami sama-sama membina matlamat dan wawasan keluarga kami- belajar dan menunaikan haji dan umrah ketika muda. Duit tak ada lagi tapi cuba dulu membina 'angan-angan' kami suami isteri. Meleleh juga air liur cikgu kerana melihat rakan-rakan bertukar ganti kereta, pakaian dan barangan mewah sebab cikgu kena menabung untuk pastikan hasrat cikgu menunaikan haji dan umrah semasa muda tercapai. Suami cikgu selalu memujuk dan mengusik cikgu, "Tak apa, nanti lepas kita tunaikan tuntutan haji dan umrah macam-macam kereta kita boleh beli. Yang boleh terbang dan canggih mengikut zaman pun ada." Masa kemuncak rasa kebahagiaan nak tunaikan haji tu sebulan RM 500.00 yang cikgu suami isteri masukkan ke deposit tabung haji walaupun gaji kami tak banyak mana pada masa tersebut. Kami berjimat dan berdikit-dikit dalam perbelanjaan harian. Apa yang cikgu pelajari, jika ada sahaja niat yang baik untuk menunaikan ibadah haji, InsyaALLAH akan diberi kemudahan oleh ALLAH SWT.

         Hari yang dijanjikan telah tiba untuk cikgu dan suami menunaikan haji, cikgu diuji dengan 3 orang anak cikgu mengalami demam panas dan 'Atiqah, anak ketiga cikgu masih menyusu badan. Anak inilah yang banyak mendapat anugerah ILLAHI bila cikgu buat kajian tentang anak-anak cikgu, mungkin kerana pengorbanan kami yang sanggup meninggalkannya semasa kecil diberi keberkatan ke atasnya dan kami. Cikgu bermunajat dan berdoa kepada ALLAH SWT, "HambaMu ini tidak layak lagi menjadi tetamu Mu kerana dosa-dosa ku yang banyak dan selalu lalai daripada mengingati Mu ya ALLAH, tetapi oleh kerana Engkau telah  memilih untuk menjemputku sebagai tetamu-Mu aku menyerahkan semua anak-anak dan harta benda yang Engkau pinjamkan kepada Ku kepada MU,hanya kepada Engkaulah aku menyerah diri." Insan yang banyak memberi bimbingan dan motivasi kepada suami dan isteri ialah Allahyarham Tuan Hj Adullah bin Kassim dan Tn Hj Abd Aziz bin Abd Rahman. Mereka adalah guru besar cikgu. Nasihat mereka yang sangat menyentuh perasaan cikgu berdasarkan nasihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang marhumnya, "Apabila matinya anak Adam yang berkemampuan untuk menunaikan haji tetapi melengah dan melewatkannya, maka kita akan diminta memilih antara agama Yahudi dan Nasrani" Kecut hati cikgu sebab esok tidak pasti ada atau tiada untuk kita dan apa nak jawab dengan ALLAH SWT kelak.  Semalam pula cikgu menasihatkan seorang sahabat,"Cuba kita buat penilaian, sekarang kita ada beberapa buah kereta dan rumah, agak-agaknya apa hujahan kita untuk membela diri jika kita mati hari ini dan nak jawab tentang bab belum menunaikan fardu haji ni ya sedangkan kita berkemampuan. Merata tempat kita ziarahi, tak sudikah kita untuk menjadi tetamuNya. Rancangkan kehidupan kita sebagai hambaNya ya sahabat." 





       Pertama kali menatap Baitullah memang terasa sedih dan hiba  serta bersyukur dipilih menjadi tetamu ALLAH SWT. Melihat jutaan manusia yang bertawaf mengelilingi Baitullah, cikgu selalu diingatkan oleh guru cikgu untuk membuat imiginasi cemerlang dengan memberitahu diri bahawa bahagian cikgu tetap ada di dalam jutaan yang bertawaf. Bila solat di Masjidilharam cikgu selalu memastikan cikgu dapat mengadap multazam. Ambil kesempatan untuk berdoa di bawah pancuran emas  dan solat sunat di dalam kawasan hijr Ismail. Selalu cikgu dapat menyaksikan pemuda-pemuda yang sangat segak dan cantik rupa parasnya merayu, menangis,berdoa dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Cikgu selalu bercerita kepada suami tentang wajah-wajah manusia yang suci bersih, segak, cantik, berseri dan bercahaya yang dapat cikgu tatapi semasa di dalam Masjidilharam. Apatah lagi kami dikurniakan rezeki untuk meni'mati rasa kebahagiaan, kesedihan dan kehibaan yang tidak terhingga apabila terpilih berada di hadapan multazam apabila pintu Baitullah dibuka selepas subuh pada 1 Zulhijjah. Maha Suci ALLAH, terima kasih ya ALLAH kerana memilih kami dengan Rahmat dan Kasih Sayang Mu.

          Antara pengalaman yang dilalui di hadapan Baitullah apabila seorang ibu dari Indonesia yang sangat rajin bersedekah didatangi oleh seorang pemuda yang bersih,segak, berpakaian serba putih dan meletakkan kain serbannya ke atas ibu yang mulia ini sambil berkata, "ALLAH SWT merahmati mereka yang suka bersedekah." Cikgu berasa sangat hairan kerana lelaki muda itu berjalan dari hadapan Multazam tetapi dia mengetahui tentang ibu yang mulia disebelah cikgu ini. Maha Suci-Mu Ya ALLAH yang menyaksikan banyak kejadian-kejadian aneh di rumah-Mu ini untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan hamba-Mu yang kerdil ini.

         Kami suami -isteri juga mengambil kesempatan untuk bermalam dan tidur di hadapan Baitullah pada waktu malam kerana terasa sayang nak meninggalkan detik-detik yang membahagiakan kami di sana. Terasa macam Baitullah menjadi rumah kami di sana. Sehinggala pada suatu petang semasa suami cikgu  berasa pening dan sakit kepala yang amat sangat, cikgu mengambil kesempatan untuk mengurutnya di tingkat 1  iaitu  tempat sai di antara safa dan warwah. Ada seorang lelaki yang berumur yang berpakaian lusuh meminta kebenaran dari cikgu untuk mengurut suami cikgu. Selepas diurut, hampir 90% sakit kepalanya hilang . Selepas mengucapkan terima kasih, lelaki tersebut hilang dari pandangan cikgu suami-isteri dan sejak itu  suami cikgu tidak pernah mengalami pening dan sakit kepala  lagi. Syukur atas anugerah-Nya. Suami cikgu juga mengalami beberapa cerita istimewanya tersendiri apabila dia diperbetulkan bacaan AlQurannya semasa membuat hafazan oleh seorang lelaki Arab yang buta serta meminta suami cikgu terus membuat hafazan di hadapannya. Azamnya untuk khatam AlQuran di hadapan Baitullah. Dari pengalaman cikgu suami isteri jika ingin kucup hajar aswad, masa yang terbaik adalah semasa waktu dhuha. Cubalah ya.. 

       Benarlah kata guru-guru cikgu, habiskanlah kebanyakan masa di Baitullah kerana insyaALLAH banyak ilmu, pengalaman dan pendidikan yang akan 'dihantar' oleh ALLAH SWT. Semasa tawaf mengelilingi Baitullah terasa kagum dengan orang tua yang bongkok tiga, orang muda, kanak-kanak, cacat dengan tiada kaki tangan yang bertawaf dengan berjalan, merangkak, merayap, berkerusi roda dan sebagainya. Pelbagai golongan manusia yang ditemui yang kesemuanya khusyuk mengabdikan diri dan membesarkan ILLAHI. MasyaALLAH hebatnya manusia berlumba-lumba mengejar untuk mencari redha ALLAH dan mengabdikan diri kepada-Nya. Ibadah haji dan umrah adalah ibadah yang paling banyak menggunakan tenaga fizikal, sudah tentu bertuahlah mereka yang sihat, muda dan bertenaga yang terpilih untuk menjadi tetamu-Nya. Walau bagaimanapun ramai juga mereka yang berusia yang cikgu tengok bersemangat dan bermotivasi untuk menjalani ibadah di sana. Setiap kali cikgu terasa letih dan penat, cikgu akan turun ke telaga zam-zam untuk minum air zam-zam, berwudhuk dengan air zam-zam,  berdoa dan bermunajat," Ya ALLAH ya Tuhan ku ,hambaMu yang lemah dan hina banyak berdosa, leka dan lalai dari mengikuti perintah-MU dan mengingati-MU, tetapi Engkau memilihku menjadi tetamu-Mu, kurniakanlah aku keampunan dan permudahkanlah semua urusanku di sini. Kurniakanlah ku kesihatan yang baik, kekuatan iman, ilmu yang bermanfaat,haji dan umrah yang mabrur,peliharalah seluruh keturunanku ya ALLAH ,ameen ya ALLAH."

          Sebelum berangkat ke Madinah, semasa cikgu  melakukan  tawaf wida', terasa kesedihan, kesayuan dan kehibaan yang teramat sangat. Setiap pusingan tawaf disertai dengan  linangan air mata  sehinggalah terasa getaran magnet dari tangan cikgu semasa membuat lambaian . Bila cikgu buat kajian tentang Baitullah yang menjadi pusat bumi dan merujuk kepada beberapa orang ustaz, cikgu belajar tentang istilah 'keikhlasan , ketulusan dan kejujuran' dalam melakukan ibadah. Hanya hamba ALLAH yang ikhlas sahaja yang akan mendapat keampunan dan keredaan ALLAH SWT dan yang akan selamat di dunia dan di akhirat. Cikgu belajar tentangnya di sana.

          Madinah Al Munawarah adalah bandar dan tempat yang sangat tenang dan penduduknya pula sangat lemah lembut. Sejarah membuktikan Islam berkembang pesat di sana dan  dengan jasad mulia baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل yang diabadikan di sana memberi tarikan yang sangat kuat kepada cikgu untuk ke sana. Kami mengambil peluang dan kesempatan untuk berada di kawasan Raudah apabila ianya dibuka untuk kaum wanita. Menziarahi baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم setelah wafatnya adalah sama seperti semasa hayatnya. Begitu juga apabila menziarahi para sahabat baginda terasa hebatnya mereka menjadi pilihan ALLAH SWT dalam perjuangan dan dakwah Islamiah. Memang terasa kerdil dan lemahnya kita umat hari ini berbanding dengan mereka.




          Jika cikgu boleh beri nasihat kepada generasi muda dan mereka yang sudi untuk menerimanya, cikgu nak berkongsi dengan mereka tentang perancangan, keperluan dan keazaman menanam iltizam untuk menunaikan haji dan umrah dalam usia yang muda disamping bagi mereka yang baru memulakan kerjaya untuk menghantar dahulu ibu dan bapa mereka yang tidak berkesempatan menunaikan haji kerana ingin membesar dan melihat anak-anak mereka berjaya terlebih dahulu. Besar dan banyak pengorbanan mereka. Jadi nasihat cikgu selepas sahaja bekerjaya, buatkan perancangan yang rapi untuk menghantar mereka menunaikan haji dan umrah terlebih dahulu. Kadang kala memang rasa sedih juga dengan generasi muda, selepas bekerjaya, terus merancang untuk berkahwin yang diberi keutamaan berbanding dengan berazam untuk menghantar ibu bapa mereka untuk 'beribadah' di tanah suci Mekah dan Madinah. Alangkah indahnya jika kedua-dua perancangan ini seiring dan sejalan. Mak ayah selalunya tidak menyebut tetapi itulah  sebenarnya hasrat dan suarahati mereka.


       Moga diberi keizinan, kelapangan,kekuatan iman, kemurahan rezeki dan kesihatan tubuh badan kepada cikgu sekeluarga dan seluruh keturunan cikgu untuk menjadi tetamu-Nya berkali-kali dalam kehidupan yang seketika ini. Itulah doa dan harapan cikgu setiap kali berdoa . Keindahan dan kebahagiaan rasa 'Cinta' ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang meni'matinya sahaja yang dapat mengungkaikannya. Walau bagaimanapun cikgu sering mengingatkan diri bahawa ibadah kita bukan penentu kita ke syurga, kita dipilih ke syurga dengan Rahmat dan Kasih Sayang ALLAH SWT, tetapi ALLAH SWT nak tengok usaha dan ikhtiar kita..


        "Moga Kak Safiah & Abang Husin, Hanim & Kamal, Norhaslina Nordin (sahabat yang dekat di hati cikgu) & suami dan seluruh jemaah haji diberi kelapangan, kemudahan, kesihatan, keselamatan dan haji dan umrah yang mabrur. Ianya mempu memberi manfaat kepada ummah,ameen



 


Saturday 15 October 2011

Pasangan Sebaya Vs Pasangan Lebih Muda Vs Pasangan Lebih Berusia




Lama sungguh rasanya cikgu sudah tidak menulis. Terlalu sibuk dengan urusan kerjaya, keluarga , diri sendiri dan meraikan hubungan dengan Pencipta Seluruh Sekelian Alam dan baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Baru kini ada sedikit kelapangan untuk menjalani 'terapi penulisan' cikgu. Begitulah kehidupan sementara di dunia ini. Banyak yang perlu kita muhasabah diri dan mengingatkan diri dan anak-anak dengan berdakwah secara tidak langsung dengan 'mempamerkannya' melalui tindakan dalam keluarga agar ianya menjadi 'suri teladan' yang baik untuk anak-anak pula meneruskan kehidupan berkeluarga mereka kelak. Cikgu ni pun bukanlah 'perfect' sangat ,banyak yang masih dalam proses untuk mendidik dan mentarbiah diri dan keluarga. Anak-anak memang faham  sangat dengan 'kerenah' cikgu. Bila ayat yang keluar dari  bibir cikgu, "Kak/Angah/Iqa, Hakim/Qila/Mira, tahu mak macam mana dan apa pendirian makkan..", mereka tahulah yang cikgu dalam keadaan yang tidak 'selesa' dengan perbuatan dan tindakan mereka. Walau bagaimanapun , cikgu sedaya upaya  cuba untuk banyak berbincang jika ada keputusan penting yang kami akan ambil bersama atau menghadapi pelbagai isu dan  persoalan diri dan keluarga.

        Pernah pada suatu hari menantu cikgu 'melihat' cikgu 'tidak selesa' dan 'berceramah' kepada anak-anak 'bujang' cikgu. Dia mengatakan bahawa cikgu memang ada ketegasan dengan anak-anak lelaki tetapi  dia mencadangkan apabila ada sesuatu yang bersangkutan dengan isu orang 'bujang', dia minta cikgu  memaklumkan sahaja kepadanya, apa isunya, sasaran 'KPI'nya dan dia akan 'bercerita' dan 'menguruskan'nya secara harmoni dan 'orang lelaki' dengan anak-anak bujang cikgu. Ini sudah sangat baik dan sangat memudahkan cikgu dalam menguruskan anak-anak bujang cikgu. Secara peribadi memang cikgu sangat sensitif tentang isu-isu ibadah/ akhlak dan pergaulan anak-anak remaja cikgu. Masalahnya anak-anak 'bujang' sekarang semakin banyak dan kuat cabarannya dengan 'godaan' remaja perempuan. Ya la, anak-anak gadis dan kaum wanita sekarang semakin berani dan agresif sehinggakan sudah ada pula filem "Bini-biniku Gengster". ALHAMDULILLAH, setakat ini ALLAH SWT banyak memberi kemudahan kepada cikgu suami-isteri untuk menguruskan anak-anak gadis memandangkan mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah. Cikgu dan suami memang sudah 'indoktrinkan' tentang isu ibadah, aurat, pergaulan dan 'penghayatan' syiar Islam. Mereka akan memandang wajah cikgu untuk memastikan tahap 'ketidak selesaan' cikgu tentang isu-isu remaja terkini dalam 'usrah' keluarga kami.

        Pada kali ini, cikgu nak berkongsi sekali lagi tentang  isu pemilihan jodoh. Ramai sangat pelajar-pelajar cikgu yang bertanya tentang isu ini. Isu yang ada 'tarikannya'. Cuma nak fokus pada faktor 'umur' sahaja kali ini. Inilah persoalan yang selalu timbul dalam isu pemilihan jodoh. Kalau yang perempuan selalu juga bertanya, "Puan, elok pilih yang sebaya, lebih berusia atau lebih muda daripada saya?". Yang lelaki jarang bertanya, selalunya mereka 'tidak kisah' asalkan ada dan yang memahami sudah boleh.Yang penting watak 'pandai mengambil hatinya' dia sanggup berkorban apa sahaja. Sebagai seorang ibu yang sudah berusia 50an, ada sedikit ilmu dalam bidang psikologi, melalui proses bersalin 6 kali, menguruskan masalah isu  kaunseling perkahwinan, krisis dalam perkahwinan, isu skandal suami-isteri orang dan kekeluargaan, cikgu selalu menasihatkan para pelajar cikgu, "Kalau ada pilihan, selain dari melihat faktor agama, sahsiah/akhlak, keturunannya dan pendidikannya, faktor umur juga sangat penting dalam kita menghayati kehidupan suami -isteri dan perkahwinannya.

         Cikgu selalu menyarankan jika boleh, biarlah kita memilih suami yang lebih berusia 1-5 tahun lebih berusia daripada kita kerana proses biologi kaum wanita bila kita bersalin dan mengalami proses 'menopause' banyak isu/ cabaran/dugaan yang kita hadapi. Keperluan seksual kaum lelaki yang masih maintain dan lain-lain lagi walaupun telah melangkah ke usia emas. Malahan bagi mereka, "Life begins at 40" Lebih penting lagi kaum lelaki selalunya lambat sidikit proses kematangannya. Sahabat-sahabat cikgu yang berkahwin sebaya ni selalu juga merungut, penat, semua nak kena beritahu, rasa macam 'main pondok-pondok' sahaja sebab kita yang mesti 'banyak conduct attitute' mereka tentang kebersihan, kesihatan, tanggungjawab dan lain-lain lagi. Bila berkahwin dengan lebih berusia, kaum wanita akan merasai dibimbing dengan kematangan dan kepimpinan mereka, rasa dilindungi, banyak dibantu kerana sifat pelindung, kematangan dan tanggungjawab mereka. Manakala jika berkahwin dengan yang lebih muda, risikonya sangat tinggi. Memang tidak dapat dinafikan program perubatan dan kesihatan yang ada sekarang mampu menyebabkan kita boleh mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan kita. Tetapi melalui isu-isu perkahwinan, cikgu melihat adalah sangat mencabar dan sukar seseorang kaum wanita ingin mengekalkan keutuhan rumahtangga mereka sebab 'cabaran' kehidupan berkeluarga hari ini.Ramai yang mempamerkan 'kemesraan' di facebook  dan lain-lain alat telekomunikasi tetapi realitinya tidak sedemikian.

        Apa-apa pun , kita sebagai kaum wanita samada sebagai anak gadis, kaum isteri-ibu perlu sentiasa menguruskan tahap  ibadah, kebersihan, kesihatan, kecergasan, ketrampilan, kematangan  dan kemahiran diri dalam pengurusan rumahtangga agar kehidupan berkeluarga memberi 'makna' yang mendalam untuk menjadi 'khalifah' di atas muka bumi ALLAH ini. Walau sesiapa pun jodoh kita dan tahap umurnya samada sebaya, lebih berusia atau lebih muda terimalah mereka seadanya dan perbaikinya sepanjang proses perjalanan kehidupan berumahtangga .Kita sebagai 'co-pilot' gunakanlah kebijaksanaan kita untuk membantu dan menguruskan suami dan kehidupan berkeluarga untuk menjadikannya 'syurga sementara' di dunia ini sebelum mendapat syurga yang lebih kekal abadi di akhirat kelak. Ameen.

         "Ya ALLAH ya Tuhanku, kurniakanlah anak-anakku dan seluruh keturunanku pasangan hidup yang soleh/solehah, beriman dan bertaqwa, dari keturunan yang baik-baik. Kurniakanlah kami kebahagiaan di dunia dan di akhirat, ameen ya ALLAH"