Thursday 9 June 2011

"THE GOLDEN HEART"

"Wahai Tuham kami, ampunilah dosa-dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan  dendam terhadap orang-orang beriman. Wahai Tuhan kami Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas dan Rahmat Mu"-surah al-Hasyir:10





Bersama Datin Maimon Awang semasa memberi ceramah di Petronas Methanol Labuan. Sepanjang kami berada di sana dia memberi 'layanan Red Carpet Treatment' yang menjadi kenangan istimewa sepanjang hayat cikgu suami isteri. Moga ALLAH SWT memberkati kehidupannya sekeluarga di dunia dan akhirat, ameen



      Perjalanan kami dari Melaka - Padang Besar - Arau - Jitra - Cameron Highland - Melaka adalah kembara yang menyeronokkan walaupun agak memenatkan. Bayangkan jumlah masa di dalam kenderaan menyebabkan banyak cerita yang dapat dikongsikan bersama. Sementara cikgu menghadiri seminar di Institut Aminuddin Baki (IAB) Utara, suami cikgu menguruskan pergerakannya dengan anak-anak untuk melawat beberapa destinasi di utara sambil menziarahi anak 'bujang' cikgu di Arau. 

          "Nampak seronok Abdul Hakim berbual dengan Nor tadi, tak abis-abis abang tengok dia bercerita dengan maknya sepanjang pertemuan. Rapat betul Nor dengan anak-anak lelaki kita,"suami cikgu memulakan perbualan. Cikgu terus memberi respon,"Tak apa abang, elok anak-anak ni bercerita dengan maknya daripada dia memendam perasaan, kita dengar cerita pengalamannya, kawan-kawan dan seniornya yang memberi nasihat dan motivasi, lecturernya yang membina wawasan 'kehidupan', pengalamannya yang akan membina ketrampilan diri dan wataknya agar dia menjadi hamba ALLAH SWT yang berguna untuk ummah.". 

        "Tapi yang seronoknya abang lihat, selepas makan Radix Fried Chicken di Jitra, dia terus mengemas dan membersihkan pinggan dan sisa makanan serta menyusun pinggan mangkuk untuk diangkat oleh pelayan.Agaknya dia dah terbiasa dengan 'ajaran' Nor semasa cuti dahulu,"suami cikgu menjelaskan sambil tersenyum. Begitulah untuk mendidik anak-anak 'berhati emas', ianya bukan mudah dan memerlukan proses, ruang masa dan pendidikan yang mendalam. Selalu cikgu nasihati anak-anak untuk mengemas tempat makan dan bilik di hotel walaupun ada pekerjanya. Mudahkan mereka, nanti ALLAH SWT akan memudahkan kita. Nilai ini sudah lama dihayati oleh masyarakat Jepun. Mereka lebih 'Islam' daripada kita. Alangkah indahnya jika mereka  turut menganut agama Islam

          Satu perkara yang sangat menarik yang boleh cikgu kongsikan pada kali ini ialah tentang cerita  insan-insan yang menjiwai 'The Golden Heart' oleh Tn Hj Shahabuddin bin Asaari atau dikenali sebagai Pak Su. Cikgu pernah memandu seorang diri dari Melaka sehingga ke Taiping Perak apabila diarahkan oleh BPG untuk berkursus di sana di bawah kelolaan Pak Su sebab banyak yang tersurat dan tersirat yang akan dapat dipelajari. Bagaimana agaknya ciri-ciri orang yang mempunyai 'the golden heart' di zaman sekarang ini? Memanglah sangat jarang kita menemui mereka yang sedemikian, jadi kalau kita menemuinya anggaplah ianya rezeki daripada yang Maha Esa untuk kita. Apatah lagi bila kita menemui mereka semasa kita belajar, melangkah ke alam kerjaya, meneroka alam perkahwinan, meneliti cerita-cerita di 'alam sosial' dan cerita kehidupan di hamparan bumi yang kita 'hinggapi' buat sementara waktu ini.

         Manusia berhati emas ini 'jiwa kebajikan' mereka sangat tinggi. Kalaulah Pak Su memberi nama-nama yang mulia yang 'berjenama' di dunia pendidikan, cikgu hendak juga berkongsi tentang 'mereka' ini yang pernah cikgu kenali. Tn Hj Badrul Hisham Abdul Karim begitulah 'jenama' yang dikenali ramai oleh rakan-rakan cikgu. Orangnya lebih muda dari cikgu tetapi sebelum cikgu menjawat jawatan Presiden Majlis Guru Kaunseling Negeri Melaka, dia  adalah merupakan Mantan Presiden Majlis Guru Kaunseling Negeri Melaka yang terdahulu. Sebagai pemimpin sebuah organisasi NGO, dia memastikan kebajikan ahli-ahli  di bawahnya sentiasa terbela. Setiap mereka yang 'bermasalah' yang datang menemuinya tidak pernah dihampakan walaupun dia memang nampak berwatak tegas tetapi sangat prihatin dan bertanggungjawab dengan masalah kawan-kawan seperjuangan. 

      
        Walaupun tidak dapat dinafikan proses yang perlu dilalui dalam sesebuah organisasi seperti kata Tuckman iaitu peringkat -i) forming -awal  ii) storming-konflik   iii) norming- membina norma iv)developing- perkembangan adalah perkara normal tetapi cikgu melihat dia telah berjaya menguruskan organisasi dengan cekap dan profesional sehingga apabila cikgu 'mewarisi' jawatan presiden daripadanya 'tinggalan'nya banyak memudahkan cikgu untuk bertindak memantapkannya lagi. Disamping itu, dia tetap memberi konsultasi tanpa jemu kepada cikgu walaupun pada masa itu dia telah berada di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya. Bayangkan dana yang kami perolehi daripada projek yang dijalankan sepenuhnya digunakan untuk membantu insan-insan istimewa dan ahli-ahli yang diduga dengan kesusahandan kekurangan oleh ALLAH SWT. Dia tidak membenarkan penyalahgunaan peruntukan untuk diri sendiri dan sebagainya. Selalu dia ingatkan cikgu, "Kak, jawatan ini satu amanah. mari kita bekerja dengan 'hati', jiwa dan roh kita. Moga ALLAH SWT mempermudahkan kita" Agaknya peluang menjadi anak murid Pak Su selama 4 bulan di IAB Jitra dahulu banyak mengajarnya diselangi pengalaman 'sukarnya' di zaman kanak-kanak dahulu.

        Insan kedua 'berhati emas' yang cikgu temui dan dianugerahkan dalam kehidupan cikgu adalah Tn Hj Sulaiman bin Mohd Yassin iaitu suami cikgu. Agaknya pengalamannya kehilangan ibunya semasa kecil kerana bersalin menjadikannya 'tahap kebimbangan' tinggi apabila cikgu mengandung. Solat, doa, zikir, selawat dan bacaan AlQurannya lebih lama setelah mengetahui cikgu mengandung. Bayangkan dia tidak pernah ketinggalan menunggu cikgu di luar bilik bersalin untuk keenam-enam orang anak cikgu. Sabar sungguh dia menunggu proses kelahiran itu sehinggakan bidan yang menguruskan cikgu  bersalin selalu akan bertanya cikgu, "Manalah anak jumpa suami yang sesabar ini, dia tidak berganjak di luar bilik dari tadi sehingga anak  selamat bersalin". Begitu juga semasa menunaikan fardu haji dan umrah, dia akan mengetuk bilik cikgu pada pukul 2 pagi untuk mengejut cikgu  sama-sama pergi beribadah di awal pagi. Sementara menunggu cikgu bersiap dia akan membaca AlQuran di luar bilik cikgu. Makcik-makcik yang sebilik cikgu selalu mengatakan,"Bertuah kau  nak kerana suami kau sabar dan tak melupakan isterinya bagi menjalani ibadah di sini. Kami ni dah berumur 60-70tahun tapi semuanya menjalani ibadah masing-masing." 

      Arwah ibu cikgu selalu mengatakan jika cikgu mengandung dan bersalin dia tidak akan risau kerana dia tahu suami cikgu akan menguruskan cikgu dan dia terus dapat meneruskan ibadah dan 'pengajian'nya di surau atau masjid seperti biasa tanpa sebarang halangan. Walaupun begitu cikgu tidak akan memanjakan diri dan terus membuat kerja-kerja rumah selepas bersalin untuk membantu memudahkan suami cikgu. Yang lebih menguntungkan cikgu, dia akan memastikan cikgu sihat, kuat dan bertenaga dengan 'mengurut' cikgu sehinggalah cikgu habis pantang dengan 'kemahiran mengurutnya'. Kami saling bantu-membantu dan bekerjasama menguruskan anak-anak dan itulah yang menjadi 'rahsia' kenapa kami tidak mempunyai pembantu rumah walaupun telah berkahwin selama 27 tahun. Sebarang teguran dan rasa tidak puas hati terhadap cikgu dan anak-anak dibuat dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Benarlah kata orang tua-tua," Perangai suami ada di wajah isteri dan perangai isteri ada di wajah suami"

        Begitu juga di sepanjang pengalaman hidup cikgu, dianugerahkan bertemu dengan ramai para sahabat, para pekerja, para pelajar dan para ketua jabatan yang 'berhati emas'. Mereka mempamerkannya melalui perbuatan, tingkahlaku dan tindakan mereka. Sangat mengambil berat, menjaga kebajikan , prihatin dan berani mempertahankan orang bawahannya jika kita berada di pihak yang benar dan bekerja. Benarlah kata Pak Su, "Tindakan , tingkahlaku dan perbuatan adalah 'duta' kepada hati". Ini bermakna tindakan, tingkahlaku , perbuatan, kata-kata yang baik dan bermoral bermula daripada 'hati' yang dipenuhi dengan sifat-sifat mahmudah seperti berbaik sangka, berhati mulia dan bersih, jujur, turut bergembira dan bersyukur apabila melihat kejayaan orang lain, turut bersedih dengan kesusahan dan bencana orang lain, empati dan sebagainya. Apa yang lebih penting insan yang 'berjiwa emas' ini sangat menjaga hubungannya dengan Penciptanya, dalaman dirinya, sesama manusia dan hidupan yang menumpang di bumi ALLAH ini. Islam mengajar kita untuk mendidik diri dengan ilmu Tauhid, Fekah dan Tasauf. Ilmu Tasauf adalah 'cermin'  dan alat untuk kita meneroka dan mendidik 'hati'. Mereka yang 'berhati emas' sangat menghayati sifat-sifat ini iaitu

C- Caring
U- Understanding
T- Trusting


A- Accepting
P- Patience
P- Positive Thinking
L- Listening
E- Empathy


A- Assertive
R- Respect


Cuba kita buat refleksi diri, adakah kita tergolong dalam 'jenama' 'berhati emas' ini? Sudahkah kita menghayati CUT APPLE AR ini? Sepanjang perjalanan kehidupan kita sudahkah kita bertemu dengan insan-insan 'teristimewa' ini? Carilah, mereka ada di sekeliling kita :) Terima kasih Ya ALLAH atas segala-galanya. ALHAMDULILLAH


"Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah daku orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatul Naiim" ameen- surah al Syu'ara':83-85

3 comments:

  1. Terimakasih Kak Nor atas perkongsian pengalaman dan ilmu. Sangat menarik.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Sofiah, terima kasih ya.. Sejak akhir-akhir ni kak rasa kepuasan pula dalam bidang penulisan..Banyak 'cerita' kehidupan yang boleh dikongsikan...

    ReplyDelete