Tuesday 14 June 2011

BICARA 'ORANG LAMA'

"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya (belia  dan mahasiswanya) pada hari ini. Sekiranya golongan pada hari ini adalah daripada golongan yang berakhlak mulia dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman dan makmur. Tetapi jika keadaan sebaliknya, bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku."- Prof Dr Yusof Al Qardhawi"




Bicara 'orang lama' macam kami ibarat menghadiahkan sejambak bunga mawar yang kembang mekar mewangi untuk menjadi panduan dan pedoman anak-anak muda dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.



         "Noraidah, golongan muda hari ini susah nak dengar nasihat kita ya," bicara mantan pengetua cikgu semasa cikgu bertugas di sekolah dulu. Dia menjemput cikgu ke rumahnya pada suatu petang. Kami dah macam adik-beradik memandangkan hubungan yang akrab dan sudah  lama terjalin. "Kenapa kak ya..Saya tak pasti isunya mengenai apa ni.."cikgu cuba meminta kepastian akan fakta yang diutarakannya. "Itu lah kita dah pesan, jangan sibuk bercinta. Masuk U tu belajar ajelah ya..Ini tidak sibuklah nak 'berkawan'. Takut mereka tak dapat fokus kepada pelajaran," beliau meneruskan perkongsiannya dengan cikgu. "Entahla kak ya, bukan mudah nak membesarkan anak-anak remaja kita pada hari ini," Cikgu menyokong hujahannya. Cikgu teringat, beliau memang antara pemimpin di sekolah yang menjadi 'idola' cikgu. Semangat membantu anak-anak didiknya sentiasa membara, sangat assertif dalam tindakannya, kepimpinannya boleh mengawal disiplin sekolah, kemahiran membuat keputusannya memang mantap, berketrampilan orangnya dan kelainannya dia tidak suka membuat mesyuarat yang lama. Mengikut kefahamannya , "Kita perlu lebih masa bekerja daripada bermesyuarat." Dia selalu   mengajak cikgu berbincang di dalam biliknya dengan menjadikan 'the four walls' sebagai saksi perbincangan kami. Tetapi adakalanya 'kepakaran' yang kita ada tidak dapat banyak membantu 'menguruskan' masalah kita malahan kita perlu pula buat konsultasi dengan pihak yang lebih pakar dan berpengalaman.

             "Hai, takkan 19 tahun dah nak kahwin. Mereka  ini ingat kahwin ni senang ke? Kedua-duanya sedang belajar. Hadap satu-satu la..Kak kata paling kurang 25 tahun baru kahwin..Lainlah kalau si lelaki ni lebih tua dan sudah bekerjaya, walaupun yang perempuan masih belajar, kurang sedikit masalahnya," tegas nada suara seorang ibu.. "Jadi apa pandangan noraidah?" dia meneruskan bicara. Belum sempat lagi cikgu menjawab, dia sendiri memberi jawapan atas persoalan yang dilontarkannya, "Kak dah kata, jangan jumpa-jumpa, jangan ikut perasaan muda tu, tetapi di belakang kita tak pasti mereka dengar cakap kak atau tidak,". Cikgu memberi jawapan dengan nada yang perlahan dan empati , "Itulah cerita anak-anak zaman sekarang. Dapat anak yang mendengar kata, mudah rasanya segala urusan. Cepat sangat 'feeling' mereka ni. Jauh lagi perjalanannya. Nak beri 'hati' kita pada seseorang yang istimewa memerlukan 'proses' kematangan, muhasabah diri, 'restu' ILLAHI dan ibu bapa daripada kedua belah pihak. Cubalah kak 'slow talk' dengannya dan kawannya tu". 

                Hendak juga cikgu berkongsi dengannya bukan mudah untuk menguruskan anak-anak muda yang sedang melalui zaman percintaannya. Sebanyak manapun maklumat yang kita sampaikan kepada mereka, mereka sudah 'deletekan' maklumat tersebut daripada masuk ke akal pemikiran dan hati mereka. Benarlah kata orang tua-tua, "Cinta itu buta" atau "Orang bercinta memang buta" . Benarlah kata suami cikgu kepada anak-anak cikgu pada suatu pagi, "Masa bercinta seseorang lelaki bermimpi, setelah berkahwin baru mereka tersedar daripada mimpinya".Kami suami isteri memang sangat terbuka dengan anak-anak  dalam membicarakan tentang isu 'remaja'. ALHAMDULILLAH setakat ini mereka masih dalam kawalan. Agaknya selalu bercakap  dengan mereka menyebabkan sudah 'terpasak' dalam pemikiran mereka 'harapan dan impian kami suami isteri'

              Teringat juga cikgu anak-anak 'bujang' cikgu mengusik diantara mereka dalam facebook apabila si abang menyakat adiknya untuk 'menjalankannya'  atau 'mencarikan' calon untuk dirinya. Cikgu menyampuk perbualan mereka," Angah, Abdul Hakim, carilah yang macam ustazah yang menghayati agamanya, sempurna penutupan auratnya, solat 5 waktu, menjaga akhlak dan harga dirinya sebagai seorang anak gadis, tidak berkira, boleh bertolak ansur, kuat pegangannya, rajin, kemas, bersih, berilmu dan beramal dengan ilmunya, dari latar belakang  keluarga yang baik-baik dan  nak mak senaraikan lagi ke ciri-cirinya? Yang lebih penting Angah dan Abdul Hakim kena jadi 'baik' dulu, kemudian barulah dapat 'anugerah' yang baik ini. Cikgu tengok kedua-duanya terus buat tanda 'like' atas kenyataan cikgu. Selalu juga cikgu mendengar suami cikgu berbicara dengan anak-anak bujang cikgu ini," Nasib baik ayah jumpa mak, ikutkan ayah ni jejaka yang pemalu. Tak tahu nak 'tackle' orang perempuan. Ayah lengkapkan dulu diri ayah dengan 'watak' seorang lelaki Islam dan beriman dahulu sebab itulah ALLAH SWT mempertemukan ayah dengan orang seperti mak. Jadi kita sebagai orang lelaki kena banyak membetulkan diri kita dahulu sebenarnya. Kitakan  pemimpin dalam sebuah rumahtangga"
    
           Banyak sangat intrakomunikasi dalaman yang berlaku dalam diri cikgu semasa membantu menguruskan 'cerita' ini. Cikgu teringat beberapa orang pelajar cikgu berjumpa dengan cikgu dan memberi ulasan mereka, "Puan Noraidah, kami suka baca blog cikgu, banyak perkara baru yang kami akan belajar. Kalau boleh tulislah pasal isu perkahwinan, percintaan dan mencari jodoh ini. Ini memang favourite kami,". Kadang kala cikgu mengusik juga mereka, "Kenapa ya, ramai yang dah nak kahwin ke? atau dah mula mengenali seseorang untuk 'berkongsi' kehidupan atau masih dalam 'pencarian' ?" Selalunya mereka akan mengukirkan senyuman sebagai petanda 'non verbal' akan kebenaran provokasi cikgu terhadap mereka.

                       Oleh itu, bagi golongan muda remaja ini, kalaulah cikgu boleh memberi nasihat kepada  mereka yang boleh menerimanya kerana cikgu sedar dalam kehidupan manusia pada hari ini yang 'konon'nya berilmu, ego orang yang mengaku berilmu  dengan anugerah ilmunya dari ILLAHI ini sangat 'tinggi' ada kalanya. Seperti kata Imam Al Ghazali, "Utamakan yang utama". Buatlah analisis sendiri , "Apakah yang lebih utama dalam hidup anak-anak sekelian?". Kalau rasa 'perkahwinan', maka berkahwinlah tapi hadapilah 'tinggi-rendahnya' kehidupan selepas itu. Tapi jika anak-anak rasa 'ilmu' dan kemahiran, maka kejarlah ia dengan sepenuh hati kerana ALLAH SWT telah menjanjikan darjat orang yang berilmu adalah tinggi berbanding yang tidak berilmu.

                     "Ya ALLAH, ya Tuhan kami, kurniakanlah kami Rahmat dari sisi Mu, dan berikanlaah kami petunjuk dalam urusan kami dengan segala petunjuk. Mudahkanlah urusan kami ya ALLAH, permudahkan jangan disulitkan kerana Engkaulah Yang Maha Memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagi Mu. Ya ALLAH sempurnakanlah segala kebaikan, dengan Rahmat Mu. Ya ALLAH Yang Maha Mengasihani daripada Yang Mengasihani."- ameen

             

No comments:

Post a Comment