Thursday 28 July 2011

Ramadhan Yang DiRindui

"Hai orang-orang yang beriman, diwajbkan bagi kamu  berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan bagi orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa" Al Baqarah: 183


"Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah berbicara tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa" [Bukhari-Muslim]

Dalam hadith yang lain pula, ada dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda  apabila sebaik sahaja tiba bulan  Ramadhan iaitu,  “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang  bulan Ramadhan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredhaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadhan, Rasulullah SAW memohon rahmat daripada ALLAH SWT. Pada pertengahan Ramadhan pula, Baginda SAW memohon keampunan. Pada akhir Ramadhan, Rasulullah SAW meminta dijauhkan daripada seksaan neraka. 


        ALHAMDULILLAH, bersyukur cikgu kerana beberapa hari lagi kita akan meraikan tetamu yang ditunggu sepanjang  tahun ini iaitu "Ramadhan Al Mubarak". Moga kita semua dikuatkan, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, disihatkan tubuh badan serta dikurniakan taufik dan hidayahNya sepanjang menghayati dan mentarbiah diri. Selalu cikgu pesan dengan anak-anak dan para pelajar cikgu,"Ingat, kesan daripada ibadah kita adalah akhlak kita. Kalau akhlak kita tak baik, itu bermakna ibadah kita tidak membawa 'makna' dan 'terkesan' di dalam diri. Kena muhasabah diri dan buat refleksi diri. Ada yang tak kena tu.."

       Sebenarnya setiap kali menjelang Ramadhan, selain daripada kegirangan, kesyahduan dan kesucian roh Ramadhan ini bertahta dalam sanubari cikgu, imbauan zaman kanak-kanak semasa Ramadhan menjadikannya ianya sentiasa segar dan sentiasa membahagiakan diri cikgu. Mereka yang sentiasa dalam kenangan hidup cikgu ialah Allahyarham  ibu cikgu, Allahyarham datuk & nenek cikgu. Selalu cikgu bercerita dengan suami cikgu, bila dah jadi nenek nanti nak jadi yang terbaik melayan cucu-cucu cikgu. Untuk menjadikan ada kenangan manis mereka dengan cikgu seperti yang cikgu alami dengan 'mereka' yang telah pergi meninggalkan cikgu.

         Allahyarham datuk cikgu seorang guru besar, bayangkan dalam tahun 60an dan 70an tu agak 'mewah' juga kami cucu-cucu ni diraikan oleh datuk dan nenek cikgu yang sangat pemurah. Sambil tu dia beri nasihat dan motivasi untuk beribadat dan berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Bayangkan oleh kerana kami tinggal agak berhampiran dengan laut maka untuk makan tengahari dan malam memang kami dihidangkan dengan ikan yang segar yang dibeli dari nelayan-nelayan di kampung kami. Tapi selepas subuh allahyarham datuk tidak benarkan cikgu tidur atau bermain, kena belajar Matematik dan Bahasa Melayu dengannya. Cikgu antara cucu yang sangat taat dengannya. Tekun berjam-jam belajar dengannya. Selalunya selepas makan malam  dan masa hampir tidur dia akan mengumpul cucunya dan bercerita tentang cerita teladan kepada kami semua. Meloponglah cikgu pada masa tu. Menjelang berbuka puasa memang meriah. Malam lagilah meriah sebab berterawih beramai-ramai di surau keluarga kami. Semua kena bangun bersahur dan makan makanan yang panas dan berat. Jadi, amalan ini memang diikuti oleh kami sekeluarga sehingga kini.








          Allahyarham ibu cikgu memang memberatkan amalan agama. Selalu dia akan 'bising' kalau kami sedari kecil melengahkan solat atau leka dengan kerja kami bila masuk waktu solat. Allahyarham ibu cikgu sangat kuat dan istiqamah solat berjemaah di surau keluarga yang terletak berhampiran dengan rumah Allahyarham datuk cikgu. Abah cikgu bercerita pada kami semasa dia menunaikan haji dan umrah bersama Allahyarham ibu, tangkas sahaja langkah ibu cikgu ke Masjidil haram dan Masjid Nabawi untuk menunaikan solat berjemaah. Bila masuk solat dia dah tak kenal sesiapa dah masa tu hatta abah cikgu sekali pun. Kecintaannya sangat mendalam kepada agama. Awal Ramadhan dia ingatkan kami anak-anaknya untuk berniat puasa di bulan Ramadhan untuk sebulan dan akan mengulang-ngulangkannya setiap kali semasa sahur serta mengingatkan kami tentang ibadah. Amalan ini juga akan cikgu lakukan setiap kali Ramadhan.


         Apa yang paling menyeronokkan di dalam bulan Ramadhan ialah dapat berbuka dan bersahur serta beribadah bersama-sama . Ianya akan menjadi kenangan yang terindah dalam kehidupan seseorang anak, ibu/ayah. Paling membahagiakan bila dapat berkumpul bersama-sama seisi keluarga sambil berkongsi pelbagai perkara dan saling ingat-mengingat akan 'bekalan' untuk dibawa ke akhirat kelak.

Mengingatkan diri- Buat mana yang termampu dan cuba mempertingkatkan ibadah dari masa ke semasa sepanjang Ramadhan.
-Checklist semasa Ramadhan

  • solat awal waktu dan tambah solat sunat
  • solat terawih
  • tadarus Al quran- cuba khatam
  • perbanyakkan mohon keampunan
  • berdoa dan bermunajat
  • perbanyakkan zikir dan selawat
  • qiamulail- solat taubat, tahajud, hajat, tasbih & witir
  • iktikaf bagi lelaki terutama 10 Ramadhan terakhir
  • sedekah
  • menjamu makan orang yang berpuasa
  • Jangan  melakukan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa
  • tarbiah diri.
  • muhasabah diri
         

         Cikgu nak kongsi cerita  tentang kehebatan Ramadhan yang cikgu baca dari mastika :
          Terdengarlah desiran dedaun pepohon kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya. Seni dan rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekeliannya lalu berdiri di atas puncak mercu syurga. Lantas bertanyalah para bidadari, "Apakah malam ini namaya? Adakah orang yang hendak meminang kami kepada ALLAH? Berkatalah para malaikat, "Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan!" Ketahuilah, bahawasanya syurga berhias dari setahun ke setahun kerana meraikan kedatangan bulan Ramadhan. Tatkala itulah maka bertiuplah angin di bawah Arasy, bergeraklah dedaun kayu dengan lemah longlainya di dalam syurga pada awal bulan Ramadhan. Lalu ALLAH berfirman, mengarahkan Ramadhan membuka semua pintu syurga untuk orang-orang yang berpuasa daripada golongan umat Muhammad SAW dan memerintahkan para malaikatNya supaya menutup pintu-pintu neraka. Kemudian ALLAH SWT memerintahkan Jibrail membelenggu syaitan dan melontarkan ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad SAW.

              "Ya ALLAH ya Tuhan kami, jadikanlah hati  dan jiwa kami rindu dan seronok untuk bertemu Ramadhan yang akan menjelang tiba. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan." ameen

    No comments:

    Post a Comment