Friday 22 July 2011

Nasihat Saidina Ali = Luqmanul Hakim = Hamka = Adler

Firman ALLAH SWT bermaksud," Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi ALLAH tempat kembali yang baik."
-Surah Ali-Imran14

" Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya  kepada orang lain"- Hadith daripada Bukhari dan Muslim

Daripada Aisyah ra, isteri Nabi SAW, daripada nabi SAW sabdanya,"Sesungguhnya ramah-tamah dalam segala urusan menjadikan urusan itu cantik (berjaya). Tanpa ramah-tamah nescaya setiap urusan menjadi buruk"- Muslim

Salam Ramadhan Al Mubara' yang menjelang tiba dan bakal menjadi tetamu kita .  "Allahumma ballighna Ramadhan - Ya ALLAH, allow us to reach Ramadhan, ameen." Hari ini cikgu nak berkongsi cerita kehidupan tentang kesepaduan ilmu dalam pendidikan diri dan anak-anak.

Nasihat Saidina Ali korramallahu wajhahu: " Mendidik anak melalui 3 fasa"-
Fasa I- Raja- (0-6 tahun)- layan dengan penuh kasih sayang
Fasa II- Hamba (7-14 tahun)- dilatih berkhidmat kepada ibu bapa dan keluarga
Fasa III- Sahabat (14 - 21 tahun)- berkongsi pelbagai cerita kehidupan antara ibu bapa dan anak-anak



Antara nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya:

1.Orang-orang     yang sentiasa       menyediakan     dirinya untuk 

menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada

ALLAH. Orang   yang insaf   dan sedar setelah    menerima nasihat 

orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH jua.


2. Hai anakku, seandainya ibu bapamu marah kepada mu kerana

kesilapan yang dilakukan mu, maka marahnya ibu bapa bagaikan 

baja bagi tanam-tanaman.


3. Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana

manisnya barang dan jangan langsung memuntahkan sahaja pahitnya  

sesuatu barang itu       kerana   manisnya belum   tentu menimbulkan 

kesegaran dan pahit  itu belum       tentu menimbulkan kesengsaraan



Pesan Prof Hamka
"Jika anak-anak tidak dilatih semasa kecil, maka ibu bapa akan letih semasa  mereka dewasa"




Adler:
Penyebab kepada masalah pengurusan diri dan sosial anak-anak pada hari ini adalah kerana mereka tidak dilatih dan dididik tentang 'tanggungjawab'..

Kesepaduan ilmu yang dilihat daripada pelbagai sudutnya semuanya menuju ke satu matlamat iaitu menjadi 'khalifah di atas muka bumi ALLAH SWT' dengan kita masing-masing memainkan peranan, amanah dan tanggungjawab yang ditentukan. ALHAMDULILLAH, syukur kepada ALLAH SWT yang telah memberi taufi' dan hidayahNya kepada kami sekeluarga untuk menjalani kehidupan berteraskan  Islam, Iman dan Taqwa.

         "Iqa, bila masak ni, kita kena kreatif", cikgu mendengar perbualan suami cikgu dengan anak gadis cikgu yang sedang bercuti tentang masakannya untuk makan tengahari kami sekeluarga.  Suami cikgu ada kalanya  memuji pula masakan anak cikgu ni untuk menaikkan 'self esteem'nya," Ayah rasa dah ada peningkatan, dah macam masakan mak ni." Cikgu pula akan menerangkan dan menunjuk cara asas masakan menumis, menggoreng, merebus, membakar seperti  untuk asam pedas melaka, sambal ikan bilis/sotong/udang/ayam, masakan asam rebus, sup , ikan bakar, kari kepala ikan/ ayam, rendang  dan masakan lemak cili padi dan lain-lain. Kadang-kadang nampak macam kena buli juga mereka ini. Salah seorang daripada si kembar akan menjadi 'pembantu chef' untuk hari tersebut dan bertugas secara bergilir-gilir. Begitulah suasana dalam rumah tangga kami sekeluarga. Ada ketikanya masing-masing terpaksa menerima teguran, kritikan, pujian dan penghargaan dengan 'berlapang dada'. Kami melatih anak-anak membiasakan diri menjadi matang, cekal, kuat dan ampuh terhadap sebarang pandangan yang berbeza. Sebenarnya cikgu memang lebih tegas berbanding suami cikgu kerana sebelum melangkah ke tempat kerja pesanan cikgu selalunya," Sebelum masak pastikan kebersihan diri dan kuku kita, basuh tangan bersih-bersih, selawat masa basuh beras dengan mengikut pusingan tawaf, niatkan masak makanan untuk sihat dan beribadah, masak dengan jiwa agar terasa orang yang memakan masakan kita. Buka peti sejuk tengok apa yang ada dan masaklah apa yang perlu. Lepas masak, kemaskan dapur bersih-bersih. Bila ayah balik kerja, panaskan semula masakan biar ayah makan masakan panas ya. Layan ayah elok-elok"








Daripada Anas Bin Malik ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud; "Permudahkanlah, jangan menyusahkan, tenangkanlah dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu." Riwayat al-Bukhairi dan Muslim.

      Untuk anak-anak lelaki pula, pesan dan didikan cikgu,"Tolong ayah angkat barang-barang berat yang ayah beli tu, kesian ayah.. Macam-macam kerja yang ayah dah buat dari Angah dan Hakim kecil. Raikan ayah tu bila ayah dah berusia ni. Kemas bilik air, kemas bilik sendiri, pokok-pokok dan semak samun diluar tu kemas dan bersihkan. Ayah memang tak tahu duduk diam, bila tengok ayah dah mula mengemas cepat-cepat tolong ayah. Ayah memang kurang mengarahkan dan minta tolong, itu resmi ayah tapi anak-anak kena  peka dan  jaga kebajikan ayah", begitulah nasihat cikgu kepada anak-anak untuk berbakti kepada kami selagi ada hayat kami ni.

Manakala suami cikgu pula akan menasihatkan anak-anak, "Tengok-tengok keperluan dan kebajikan mak tu. Mak penat bekerja membantu ayah ni. Kalau ada apa-apa yang mak perlukan jangan leka dan lambat memberi bantuan dan pertolongan. Selalu-selalu kena doakan kesihatan, kebahagiaan dan keselamatan mak ayah agar ada hayat kami untuk terus saling rai-merai anak-anak ya." Telus dan berterus terang bila kami berbicara dari hati kehati dengan anak-anak. Mungkn ada pengajaran kepada anak-anak muda pembaca blog ini untuk diamalkan dalam  membentuk keluarga bahagia pada masa yang akan datang. 

"Segala puji bagi ALLAH, Tuhan pemerintah alam. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan serta Rasul utusan, begitu juga sahabat dan keluarga kesemuanya.

Ya Tuhan , ampunilah kami, dosa-dosa kami, kedua ibu bapa kami. Rahmatilah mereka itu sebagaimana mereka memelihara kami sedari kecil lagi, begitu juga kesemua Muslimin dan Muslimat, Mukminin, Mukminat yang hidup dan yang telah meninggal dunia dengan rahmat-Mu, Wahai ALLAH, Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ya ALLAH, ya Tuham kami, janganlah Engkau tinggalkan di tempat ini dosa melainkan engkau ampunkan, dan tidak ada dukacita melainkan Engkau lapangkan, tidak ada hutang melainkan Engkau jelaskan, tidak ada sakit melainkan Engkau sembuhkan, tidak ada kefakiran dan kemiskinan melainkan Engkau beri kekayaan, tidak ada orang jahil melainkan Engkau ajari dia, tidak ada musuh melainkan Engkau beri kemenangan, tidak ada keaiban melainkan Engkau tutup, tidak ada orang meninggal dunia melainkan Engkau merahmati dia, tidak ada keperluan di dunia dan di akhirat hanya semata-mata yang Engkau Redai, tidak ada kebajikan untuk kami melainkan Engkau tunaikan.

Mudahkanlah kami, lapangkanlah dada kami. Akhirilah amalan kami dengan amalan yang baik ya Tuhan kami. Tuhan yang memelihara alam...Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda SAW, keluarga dan sahabat-sahabat sekelian...Ameen Ya ALLAH.


1 comment:

  1. ALLAHU ALLAH, lamanya tidak menulis dan berkarya. Moga penulisan ini memberi manfaat. Jika ada pahala atasnya aku hadiahkan untuk suami, abah ,Allahyarham mak, pakwa dan makwa. Ya ALLAH, rindunya aku kepada arwah mak, pakwa dan makwa. Moga Allahyarham tenang di sana dan ditempatkan bersama-sama hamba-Nya yang solehah dan beriman, aameen Al fatihah :(

    ReplyDelete