Friday 2 September 2011

1 Syawal Yang DiHayati- Agar Ramadhan Berterusan Dalam Hidup Kita


اللهمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ ، وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ ، وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ ، وَأَنْ تَغْفِرَ لِي وَتَرْحَمَنِي ، وَإِذَا أَرَدْتَ فِتْنَةً فِي قَوْمِي فَتَوَفَّنِي إِلَيْكَ وَأَنَا غَيْرُ مَفْتُونٍ ، اللهمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ ، وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ ، وَحُبًّا يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ.

Ya ALLAH, aku memohon kepadaMu agar terdorong sentiasa melakukan ketaatan, meninggalkan perkara mungkar, mencintai orang-orang miskin, dan agar Engkau mengampunkan aku dan mengasihaniku. Aku mohon kepadaMu jika Engkau ingin mengenakan sesuatu musibah, maka matikan aku dalam keadaan selamat dari malapetaka itu.Ya ALLAH ! Aku mohon kepadaMu rasa cinta pdMu, cinta pada sesiapa yang menyintaiMu dan cinta yang menyampaikan aku kepada cintaMu. ( riwayat al-Hakim no 1932,al-mu’jam al-Kabir no 216 )


   1 Syawal merupakan detik hening yang ditunggu untuk kembali ke fitrah kejadian kita sebagai hambaNya yang lemah selepas mendapat 'pentarbiahan' sepanjang Ramadhan. Melepaskan Ramadhan pergi meninggalkan kita merupakan saat-saat yang sangat mengharukan dan menyedihkan. Adakah kita sebagai hambaNya masih dikurniakan peluang untuk meraikannya pada tahun hadapan dengan anugerah rasa ketaqwaan dan kesihatan tubuh badan yang sihat walafiat? Itulah persoalan dan doa yang selalu cikgu panjatkan ke hadrat Illahi sepanjang Ramadhan yang lepas. Apatah lagi dengan beberapa orang sahabat dan kenalan cikgu yang telah dipanggil pulang mengadapNya semasa dalam bulan Ramadhan yang lepas.

    Sebagai seorang ibu yang berkerjaya memang banyak yang perlu difikirkan dan diuruskan untuk menyambut 'tetamu' 1 Syawal pula. Meraikan anak-anak dan ahli keluarga sambil mentarbiah mereka untuk menjadi anak-anak yang soleh dan solehah sentiasa tersemat dalam sanubari dan fikiran cikgu. Ingatan, nasihat, pandangan dan perbincangan sentiasa berlaku dalam suasana dan keadaan yang sangat 'terhad' dan masing-masing banyak komitmen. Cikgu selalu ingatkan anak-anak sangat penting 'mendapatkan dan mendoakan' pasangan yang beriman dn bertaqwa serta sabar' sebab keperluan dunia hari ini yang pelbagai untuk melakukan tugas yang pelbagai dan rencam. Awal subuh dan pagi kena banyak-banyak doa agar ALLAH SWT mempermudahkan dan memberkati semua urusan kehidupan dan ibadah, sentiasa berlapang dada dengan apa-apa sahaja 'cabaran' yang diuji oleh ALLAH SWT kepada kita hari tersebut dan anggaplah segala-gala yang dilakukan pada hari tersebut sebagai ibadah dan tugasan yang menyeronokkan. Cikgu tidak mahu bekerja dalam keadaan tertekan dan tidak gembira.

   Pada kebiasaannya menjelang Syawal, semua tugasan di dalam rumah diagih-agihkan sesama kami agar ianya kami dapat uruskan dengan segera dan berkualiti. Ada ISOnya dan pengauditannya. Anak-anak lelaki dan menantu lelaki cikgu mengurusan persekitaran di luar rumah dan tugasan berat yang lain, anak-anak perempuan akan membahagikan tugas antara memasak dengan menu yang disenaraikan bersama , mengemas dan menceriakan rumah, persiapan bunga rampai, menggosok pakaian dan lain-lain. Semua kami akan mempunyai tugasan masing-masing. Tahun ini cikgu tidak 'menganyam ketupat' kerana anak-anak mencadangkan kami menggunakan ketupat  'segera' sahaja. Malam hari raya setelah anak-anak lelaki menunaikan solat isyak mereka akan pergi menghantar juadah hari raya ke rumah adik beradik di sebelah  keluarga cikgu dan suami cikgu.

    Pagi 1 Syawal merupakan pagi yang syahdu untuk bertakbir, mandi sunat Idulfitri, bersarapan bersama-sama dan bersalam bermaafan antara kami dan membuat persiapan awal untuk ke masjid untuk solat sunat Idulfitri. Detik-detik ini cikgu mengharapkan akan menjadi kenangan yang syahdu dan indah di sanubari anak-anak selepas ketiadaan kami kelak. Teringat cikgu pesanan Allahyarham bapa mertua cikgu yang meminta semua anak-anak untuk menjaga silaturahim dan ukhuwah antara kami. Oleh itu selepas menziarahi kubur, kami memulakan ekspedisi ziarah kami ke semua rumah adik beradik dan saudara mara kami bermula di sebelah cikgu dan seterusnya di sebelah suami cikgu hinggalah ke malam hari. Selalu cikgu dan suami berpesan kepada anak-anak, "Ingat bila kita berziarah ini, niatkan kerana ALLAH SWT, silaturahim, ukhuwah dan lain-lain kebaikan lagi. Bersalam cuma yang mahram dan sejenis sahaja. Tunjukkan muka yang manis dan mesra, ringan tulang dan yang dah bekerja tu, sedekah dan hadiahkan 'duit raya' sikit kepada adik-beradik,adik-adik sepupu dan saudara mara seperti orang tua-tua.




 Berposing bersama-sama  sekeluarga pada 1 Syawal sebagai kenang-kenangan kami meraikan 'Hari Kemenangan'


Di pagi 1 Syawal bersama anak-anak, menantu dan suami menziarahi ayahanda dan makcik di kampung . Turut bersama dengan adik-beradik serta keluarga mereka. Ini baru 3 keluarga, masih ada 4 keluarga yang tidak sempat 'berposing'.

    Pada 2 atau 3 Syawal pula cikgu dan anak-anak akan memasak sekali lagi untuk menerima kunjungan saudara-mara kami ke rumah kami pula. Ketupat, rendang, sambal udang/ayam/daging, kuah kacang, sop , meehoon special, mee kari/ sphegetti selalunya menjadi juadah utama kami. Cuma lemang sahaja yang kami beli.Bayangkan bagaimana kelam kabutnya kami sekeluarga pada masa tersebut. Ungkapan cikgu selalunya,"Pantas sikit kerja tu, jangan lambat, belajar kerja pantas,buat 2/3 kerja dalam satu masa, rasa masakan betul-betul, bahan-bahan mentah basuh bersih-bersih dan lain-lain lagi..." Dalam tempuh 2-3 jam semua masakan perlu siap sedia. Dah lali anak-anak cikgu dengan 'leteran dan tegasan' cikgu. Selalunya dalam 15-20 kenderaan yang datang dan kami akan berbual dan bercerita tentang perkembangan dan cerita masing-masing hingga larut malam.

       Selalunya untuk penampilan diri kami sekeluarga, cikgu dan suami akan cuba untuk meraikan anak-anak dengan memakai warna pakaian yang sama untuk mendidik "perpaduan dan ukhuwah" sesama mereka . Cuma untuk anak perempuan cikgu yang baru berumahtangga, dia merasa adalah lebih baik dia dan suaminya memakai pakaian yang mereka pakai semasa majlis walimah mereka dahulu memandangkan ianya masih baharu  dan cuma sekali sahaja digunakan. Yang perempuan pula, selalunya anak-anak lelaki cikgu mengukuhkan hujah cikgu,"Adik, tutup aurat dengan sempurna." Harapan dan doa cikgu suatu hari nanti anak-anak lelaki cikgu pun akan dapat pasangan yang menutup aurat dengan sempurna, menghayati akhlak dan sahsiah Islam dan berupaya mengurus keluarganya dalam pentarbiahan keluarga Islam, ameen 






 Beginilah suasana  keluarga cikgu di pagi 1 Syawal. Membina & mengukuhkan silaturaahim, ukhuwah dan kasih sayang antara  kami . Anugerah yang tiada tandingannya.

           Sebagai rumusannya, 1 Syawal sepatutnya merupakan "turning point" untuk perubahan dan peningkatan ibadah, ukhuwah, motivasi dan pentarbiahan. Walaupun Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, tetapi roh dan semangatnya terus terpahat kukuh dalam sanubari kita agar kita terus dapat bersiap sedia menghadapi saat 'pertemuan kita dengan ALLAH Rabbul'alamin. Cikgu sedar ianya bukan satu proses yang mudah kerana cabaran dan dugaannya sangat hebat dan besar. Moga kita terus menjadi 'pilihanNya'untuk kebahagian kehidupan duniawi dan ukhrawi kita, ameen


اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ. أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي وَنُورَ صَدْرِي وَجِلَاءَ حُزْنِي وَذَهَابَ هَمِّيْ.

Maksudnya: “Ya ALLAH! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu, dan anak hamba perempuanMu . Ubun-ubunku di tangan-Mu keputusan-Mu berlaku padaku, qadha-Mu kepadaku adalah adil.


Aku mohon kepada-Mu dengan tiap nama yang telah Engkau gunakan untuk diri-Mu yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu atau yang Engkau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, hendaknya Engkau jadikan al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan hilangnya kesedihanku.” -Riwayat Ahmad

2 comments:

  1. lengkap . tahniah. maaf zahir bathin . salam dari kawan lama

    ReplyDelete
  2. Kembara kelana- Yusof, ALHAMDULILLAH, terima kasih ya.."Selamat Hari Raya , maaf zahir batin, moga ALLAH SWT menerima ibadah kita, ameen

    ReplyDelete