Saturday 20 August 2011

Kemuncak Keistimewaan 10 hari Terakhir Ramadhan

   Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya bulan ini (Ramadhan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah (riwayat Ibnu Majah).

                Dalam hadis lain, Rasulullah 
صلى الله عليهوسلم   bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).
makkah wallpapers


     Kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Pagi ini selepas sama-sama mengikuti program "Tanyalah Ustaz" cikgu mengusik suami cikgu, "Malam tadi agaknya Lailatur Qadr sebab tanda-tanda yang ada pada pagi ni seperti langit yang seolah-olah kelam dan mendung tanpa sinaran sang suria dan lain-lain lagi" .Tapi suami cikgu nampaknya tidak bersetuju dengan cikgu. "Masa hampir tiba untuk berdoa dan bermunajat pada waktu dhuha berdasarkan maklumat yang dihantar oleh ramai rakan-rakan cikgu malam tadi." Cikgu mengingati suami untuk bersolat dan berdoa. 

      Teringat cikgu peristiwa yang pernah kami suami isteri alami di hadapan Baitullah 19 tahun yang lalu semasa kami menunaikan fardu haji pada tanggal 1 Zulhijjah. Sebelum bertolak menunaikan fardu haji cikgu dinasihati oleh guru besar cikgu pada masa  iaitu Tn Hj Abdul Aziz bin Hj Abdul Rahman supaya jangan tertinggal untuk beribadah di Baitullah pada 1 Zulhijjah sebab selalunya pintu Baitullah dibuka dan doa sangat mustajab ketika dan detik itu. Tapi pagi itu cikgu memang terlupa  tentang tarikh keramat tu, jadi seperti biasa cikgu suami isteri melakukan tawaf sunat selepas menunaikan solat subuh. Semasa dalam pusingan ketiga melakukan tawaf, cikgu lihat tentera Arab Saudi sudah mula memasangkan tali pemisah antara Baitullah dan jarak tempat tawaf kami . Raja Arab Saudi Raja Fahd bin Abdul Aziz Al Saud kelihatan berada di tempat VVIP memandang ke arah Baitullah. Terus teringat akan kata-kata guru besar cikgu tentang keistimewaan 1 Zulhijjah ketika berada di tanah suci. Pada masa tersebut, hujan renyai-renyai, suasana sangat tenang, tenteram, dingin , sepi, sedih , hiba dan sayu. Setelah habis menunaikan tawaf cikgu dan suami terus bermunajat dan berdoa tanpa henti-henti sambil mengadap multazam- pintu kaabah. Cikgu suami isteri memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat ILLAHI kerana dikurniakan taufi' dan hidayah meni'mati saat-saat 'kebahagiaan' itu. Selalu cikgu menyatakan dalam doa cikgu bahawa cikgu rasa cikgu masih banyak kekurangan diri dan tidak layak lagi menjadi tetamuNya pada tahun tersebut  tetapi dengan penuh rasa kehambaan bersyukur dijemput menjadi tetamuNya dalam usia yang muda.


     Semua jemaah terus berdoa dan ramai yang mengalirkan air mata. Rintihan, rayuan dan doa-doa mereka terdengar-dengar lagi sehingga kini. Bersyukur kami menjadi hamba yang terpilih meni'mati suasana itu. Sehingga di satu ketika setelah penat berdoa, datang seorang lelaki Arab yang segak sambil berjalan ke arah kami , beliau bertanya,"Dari Malaysia?, doa dan minta ampun banyak-banyak untuk diri, keluarga dan sahabat-sahabat di Malaysia" Sambil beliau berlalu meninggalkan kami. Pelik juga cikgu sebab dia berbahasa Melayu dengan lancar dan mengarahkan pula agar kami banyak berdoa. Suasana hening ini berlaku hampir satu jam. Apabila pintu Baitullah ditutup, keadaan kembali seperti sedia kala. Tak tahu kenapa pagi 20 Ramadhan ini cikgu terkenang kembali 'pengalaman' dan cerita di hadapan Baitullah. Rindu berziarah ke Baitullah agaknya sebab doa sepanjang Ramadhan ini banyak berdoa untuk berziarah ke sana semula,ameen.

        Moga kita terus meningkatkan rasa kecintaan kita kepada ALLAH SWT dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم serta pengabdian diri , memohon keampunan daripada ALLAH yang Maha Pengampun dan suka memberi ampun, mohon kebahagiaan diri dan keluarga serta ummah di dunia dan akhirat, mohon syurga serta dijauhkan daripada siksaan api neraka dan siksaan azab kubur dan mengakhiri kehidupan kita dengan mengucap syahadah 


لا إله إلا الله محمد رسول الله (lā ʾilāha ʾillallāh, Muḥammad rasūlu-llāh)


ameen, ya ALLAH.



       Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”




Nabiصلى الله عليه وآله وسلم  bersabda: Penghulu Istighfar ialah kamu berkata: (Ya Allah, Engkau adalah Rabbku. Tiada tuhan selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hambaMu dan aku selalu berusaha menepati ikrar dan janjiku kepadaMu dengan segenap kekuatan yang aku miliki. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku. Aku mengakui betapa besar ni'mat-ni'matMu yang tercurah kepadaku; dan aku tahu dan sedar betapa banyak dosa yang telah aku lakukan. Kerananya, ampunilah aku. Tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau). Barangsiapa yang membaca doa ini di pagi hari dan dia betul-betul meyakini ucapannya, lalu dia meninggal dunia pada malam harinya, maka dia termasuk penghuni surga. Barangsiapa yangmembaca doa ini di malam hari dan dia betul-betul meyakini ucapannya, lalu dia meninggal dunia pada siang harinya, maka dia termasuk penghuni surga.(HR Bukhary ) ,ameen Ya ALLAH..















No comments:

Post a Comment