Saturday 15 October 2011

Pasangan Sebaya Vs Pasangan Lebih Muda Vs Pasangan Lebih Berusia




Lama sungguh rasanya cikgu sudah tidak menulis. Terlalu sibuk dengan urusan kerjaya, keluarga , diri sendiri dan meraikan hubungan dengan Pencipta Seluruh Sekelian Alam dan baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Baru kini ada sedikit kelapangan untuk menjalani 'terapi penulisan' cikgu. Begitulah kehidupan sementara di dunia ini. Banyak yang perlu kita muhasabah diri dan mengingatkan diri dan anak-anak dengan berdakwah secara tidak langsung dengan 'mempamerkannya' melalui tindakan dalam keluarga agar ianya menjadi 'suri teladan' yang baik untuk anak-anak pula meneruskan kehidupan berkeluarga mereka kelak. Cikgu ni pun bukanlah 'perfect' sangat ,banyak yang masih dalam proses untuk mendidik dan mentarbiah diri dan keluarga. Anak-anak memang faham  sangat dengan 'kerenah' cikgu. Bila ayat yang keluar dari  bibir cikgu, "Kak/Angah/Iqa, Hakim/Qila/Mira, tahu mak macam mana dan apa pendirian makkan..", mereka tahulah yang cikgu dalam keadaan yang tidak 'selesa' dengan perbuatan dan tindakan mereka. Walau bagaimanapun , cikgu sedaya upaya  cuba untuk banyak berbincang jika ada keputusan penting yang kami akan ambil bersama atau menghadapi pelbagai isu dan  persoalan diri dan keluarga.

        Pernah pada suatu hari menantu cikgu 'melihat' cikgu 'tidak selesa' dan 'berceramah' kepada anak-anak 'bujang' cikgu. Dia mengatakan bahawa cikgu memang ada ketegasan dengan anak-anak lelaki tetapi  dia mencadangkan apabila ada sesuatu yang bersangkutan dengan isu orang 'bujang', dia minta cikgu  memaklumkan sahaja kepadanya, apa isunya, sasaran 'KPI'nya dan dia akan 'bercerita' dan 'menguruskan'nya secara harmoni dan 'orang lelaki' dengan anak-anak bujang cikgu. Ini sudah sangat baik dan sangat memudahkan cikgu dalam menguruskan anak-anak bujang cikgu. Secara peribadi memang cikgu sangat sensitif tentang isu-isu ibadah/ akhlak dan pergaulan anak-anak remaja cikgu. Masalahnya anak-anak 'bujang' sekarang semakin banyak dan kuat cabarannya dengan 'godaan' remaja perempuan. Ya la, anak-anak gadis dan kaum wanita sekarang semakin berani dan agresif sehinggakan sudah ada pula filem "Bini-biniku Gengster". ALHAMDULILLAH, setakat ini ALLAH SWT banyak memberi kemudahan kepada cikgu suami-isteri untuk menguruskan anak-anak gadis memandangkan mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah. Cikgu dan suami memang sudah 'indoktrinkan' tentang isu ibadah, aurat, pergaulan dan 'penghayatan' syiar Islam. Mereka akan memandang wajah cikgu untuk memastikan tahap 'ketidak selesaan' cikgu tentang isu-isu remaja terkini dalam 'usrah' keluarga kami.

        Pada kali ini, cikgu nak berkongsi sekali lagi tentang  isu pemilihan jodoh. Ramai sangat pelajar-pelajar cikgu yang bertanya tentang isu ini. Isu yang ada 'tarikannya'. Cuma nak fokus pada faktor 'umur' sahaja kali ini. Inilah persoalan yang selalu timbul dalam isu pemilihan jodoh. Kalau yang perempuan selalu juga bertanya, "Puan, elok pilih yang sebaya, lebih berusia atau lebih muda daripada saya?". Yang lelaki jarang bertanya, selalunya mereka 'tidak kisah' asalkan ada dan yang memahami sudah boleh.Yang penting watak 'pandai mengambil hatinya' dia sanggup berkorban apa sahaja. Sebagai seorang ibu yang sudah berusia 50an, ada sedikit ilmu dalam bidang psikologi, melalui proses bersalin 6 kali, menguruskan masalah isu  kaunseling perkahwinan, krisis dalam perkahwinan, isu skandal suami-isteri orang dan kekeluargaan, cikgu selalu menasihatkan para pelajar cikgu, "Kalau ada pilihan, selain dari melihat faktor agama, sahsiah/akhlak, keturunannya dan pendidikannya, faktor umur juga sangat penting dalam kita menghayati kehidupan suami -isteri dan perkahwinannya.

         Cikgu selalu menyarankan jika boleh, biarlah kita memilih suami yang lebih berusia 1-5 tahun lebih berusia daripada kita kerana proses biologi kaum wanita bila kita bersalin dan mengalami proses 'menopause' banyak isu/ cabaran/dugaan yang kita hadapi. Keperluan seksual kaum lelaki yang masih maintain dan lain-lain lagi walaupun telah melangkah ke usia emas. Malahan bagi mereka, "Life begins at 40" Lebih penting lagi kaum lelaki selalunya lambat sidikit proses kematangannya. Sahabat-sahabat cikgu yang berkahwin sebaya ni selalu juga merungut, penat, semua nak kena beritahu, rasa macam 'main pondok-pondok' sahaja sebab kita yang mesti 'banyak conduct attitute' mereka tentang kebersihan, kesihatan, tanggungjawab dan lain-lain lagi. Bila berkahwin dengan lebih berusia, kaum wanita akan merasai dibimbing dengan kematangan dan kepimpinan mereka, rasa dilindungi, banyak dibantu kerana sifat pelindung, kematangan dan tanggungjawab mereka. Manakala jika berkahwin dengan yang lebih muda, risikonya sangat tinggi. Memang tidak dapat dinafikan program perubatan dan kesihatan yang ada sekarang mampu menyebabkan kita boleh mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan kita. Tetapi melalui isu-isu perkahwinan, cikgu melihat adalah sangat mencabar dan sukar seseorang kaum wanita ingin mengekalkan keutuhan rumahtangga mereka sebab 'cabaran' kehidupan berkeluarga hari ini.Ramai yang mempamerkan 'kemesraan' di facebook  dan lain-lain alat telekomunikasi tetapi realitinya tidak sedemikian.

        Apa-apa pun , kita sebagai kaum wanita samada sebagai anak gadis, kaum isteri-ibu perlu sentiasa menguruskan tahap  ibadah, kebersihan, kesihatan, kecergasan, ketrampilan, kematangan  dan kemahiran diri dalam pengurusan rumahtangga agar kehidupan berkeluarga memberi 'makna' yang mendalam untuk menjadi 'khalifah' di atas muka bumi ALLAH ini. Walau sesiapa pun jodoh kita dan tahap umurnya samada sebaya, lebih berusia atau lebih muda terimalah mereka seadanya dan perbaikinya sepanjang proses perjalanan kehidupan berumahtangga .Kita sebagai 'co-pilot' gunakanlah kebijaksanaan kita untuk membantu dan menguruskan suami dan kehidupan berkeluarga untuk menjadikannya 'syurga sementara' di dunia ini sebelum mendapat syurga yang lebih kekal abadi di akhirat kelak. Ameen.

         "Ya ALLAH ya Tuhanku, kurniakanlah anak-anakku dan seluruh keturunanku pasangan hidup yang soleh/solehah, beriman dan bertaqwa, dari keturunan yang baik-baik. Kurniakanlah kami kebahagiaan di dunia dan di akhirat, ameen ya ALLAH"



No comments:

Post a Comment