Sunday 24 June 2012

Calon Menantu Mak Ayah


Prof Dr Sulaiman Yamin sedang mengajar kami Statistik & Penyelidikan 

Sahabat Rasulullah SAW yang terkenal iaitu Abdullah bin Abbas berkata:
Sesiapa yang melakukan kebaikan,ada kesannnya:
1.Ada cahaya di wajahnya.
2.Hatinya bersih.
3.Rezekinya murah
4.Badannya sihat.
5.Orang sayang kepadanya.

Sejak menyambung belajar secara luar kampus  memang terasa masa yang pantas berlalu dan cikgu sudah mula mengurangkan penulisan di blog ini memandangkan perlu banyak membaca dan membuat kajian terperinci mengenai tesis kajian cikgu. Anak kembar cikgu sudah menyatakan kebimbangannya tentang  blog cikgu yang telah tidak aktif lagi. Maka malam ini cikgu mengambil keputusan untuk berkongsi sedikit pengalaman dan menajankan semula penulisan cikgu. 

Setiap kali selepas habis perbincangan dengan penyelia cikgu Dr Husin Junoh, beliau selalu membacakan doa agar cikgu dapat menyiapkan PhD dengan jayanya. Dia agak tegas dan berstruktur orangnya, membaca setiap patah perkataan dalam penulisan cikgu dan mengatakan cikgu macam dah 'berlari' untuk menyiapkan kajian cikgu. Alhamdulillah terasa naik motivasi dan harga diri cikgu setiap kali selepas perbincangan dengannya. Moga terus dipermudahkan, ameen.

Minggu ni cikgu nak berkongsi 'cerita' tentang 'calon menantu mak'. Bekas pengetua cikgu meminta pandangan cikgu tentang hantaran perkahwinan zaman sekarang dan ciri-ciri menantu pilihan. Cuma apa yang dapat cikgu kongsikan sebagai ibu yang bekerjaya dan faham tentang sedikit hukum dan peraturan Islam, cikgu menegaskan kita sebagai ibu bapa tidak lah berhasrat untuk menjual anak-anak. Jika kita telah berpuas hati tentang agama, akhlak, latar belakang keluarga dan keturunan, pendidikan dan sikap calon menantu maka adalah sangat baik kita berbincang dengannya sebelum keluarganya dapat merisik dan meminang jika anak kita perempuan. Cikgu bercakap dari hati ke hati tentang perbelanjaan dan hantaran perkahwinan dan bertanya kepadanya berapa hantaran yang dia mampu mengikut kemampuannya dan cikgu tidak berhasrat untuk berbincang panjang lebar mengenainya. Dengan lain perkataan cikgu tidak berhasrat untuk menyusah dan membebankannya. Cuma sebagai kenangan cikgu dan suami berhasrat untuk menghadiahkannya AlQuran dan Kitab Hadith untuk bacaan dan amalannya sebagai analogi itulah yang utama dan terutama.

Cikgu juga menegaskan kepadanya memandangkan anak cikgu perempuan  dan akan bekerjaya, maka cikgu meminta anak perempuan cikgu untuk membantunya dari segi kewangan dan perbelanjaan keluarga. Begitu juga harapan cikgu kepada pihaknya disamping berlaku adil kepada kedua-dua belah keluarga. Mereka perlu sama-sama 'muafakat' untuk membina 'generasi' keluarga Islam. Pelbagai nasihat, pandangan, panduan dan bimbingan yang cikgu kongsikan bersama calon menantu cikgu. Alhamdulillah, cikgu teringat pada suatu hari menantu cikgu berkongsi ceritanya tentang rakan-rakannya yang mengatakan dirinya sangat bertuah kerana ditakdirkan berjumpa 'orang macam cikgu'. Apa yang cikgu maklumkan kepadanya, ini rezeki dari ALLAH SWT untuknya dan cikgu ,suami dan keluarga pun ada kelemahan dan kekurangan kami dan diharapkan dia juga boleh menerima dan menyesuaikan diri dengan kekurangan kami. Dari masa ke semasa kita sama-sama bergerak memperbaiki diri dan menjadi bertambah baik dari hari sebelumnya dengan izin ALLAH SWT melalui kuliah, pembacaan, perbincangan dan sebagainya

Jika anak cikgu lelaki pula rasanya cikgu akan berjumpa dengan calon menantu perempuan  dan minta juga dia memberi pandangan secara terbuka tentang anak cikgu jika sudah dikenali disamping memintanya mematuhi arahan agama dan menjauhi larangan agama. Perlu juga 'membaca' penghayatannya kepada agama. Maklumlah dia bakal menjadi isteri anak cikgu, ibu kepada cucu-cucu cikgu dan 'wawasannya' untuk membina keluarga dunia akhirat. Banyak sangat peraturannya yang perlu dipatuhi dan khuatir dia tak mampu dan merasakan cikgu sekeluarga membebankannya. Isu menutup aurat dengan sempurna, akhlak, solat, kemahiran pengurusan rumahtangga dan sebagainya perlu diberikan penekanan dan keutamaan.

Nampaknya mantan pengetua cikgu terus mendengar 'cerita'cikgu dengan tekun. Bukan mudah kita untuk buat pertimbangan dan keputusan untuk anak-anak dan pemilihan menantu ni. Jauh dan dekat tidak menjadi masalah asalkan mereka boleh menjaga anak-anak cikgu dengan sebaik-baiknya.Cuma setiap kali berdoa cikgu akan  menyebut nama anak-anak seorang demi seorang mengikut keperluan anak-anak cikgu . Cikgu selalu titipkan doa moga mereka dikurniakan jodoh dengan orang-orang yang beragama dan  dari keturunan yang baik-baik serta  dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah untuk terus menghayati dan memperjuangkan Islam di akhir zaman ini.

Belajar IKHLAS

Jangan niat agar dianggap sebagai orang baik
Jangan untuk membangun citra & nama baik diri
Jangan niat agar orang jadi hutang budi
Jangan niat agar membalas jasa baik
Jangan niat agar orang jadi pendukung
Jangan niat agar orang jadi simpati dan jatuh cinta
semua itu tak ada ertinya
Hanya menghapus amal-amal kita

Cukuplah sebagai syukur kpd Allah yang memberi kesempatan dan kemampuan mampu beramal soleh

Cukuplah agar Allah redha kepada kita
Nescaya Allah akan memberi yang terbaik, ketenangan, kenikmatan dalam beramal, serta istiqomah.. Ameen
-KH Abdullah Gymnastiar


1 comment:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete