Sunday, 4 March 2012

Teori Maslow- Kenangan Pendaftaran PhD di UTHM - 29Februari, 2012


"Ya Allah bahawasanya waktu duha itu duha-Mu, kecantikan ialah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu, dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika di atas bumi, keluarkanlah, jika sukar memudahkanlah, jika haram sucikanlah,jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh."


"Ya ALLAH ya tuhanku, niatku untuk menuntut ilmu kerana Mu, moga dikurniakan kesihatan yang baik, keimanan dan ketaqwaan, keberkatan dan kemudahan, kelapangan dan iltizam yang padu, bermafaat dan memanafaatkan ummah , dunia dan akhiratku. Ini adalah jihadku ya ALLAH, moga ianya menjadi suri teladan anak-anak dan generasiku, ameen"- 29 Februari 2012 - UTHM- Terima kasih Tn Hj Sulaiman bin Mohd Yassin dan anak-anak atas redha dan restu mu.

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم



Dalam usia 'warga emas' masih meneruskan perjuangan menuntut ilmu secara luar kampus. Ijazah Sarjana Muda di USM, Ijazah Sarjana di UPM, PhD di UTHM. Moga terus dipermudahkan, ameen


     Semasa berkursus di IAB Genting Highland, teringat seorang penceramah yang berkongsi teori "Buat dulu dan fikir kemudian". Ayatnya menjadi turning point  dalam hidup cikgu untuk tahun 2012-2016 rupa-rupanya. Betul juga bila fikir-fikirkan mengapalah nak fikirkan isu-isu yang akan mendatang seperti stress dalam usia emas, penyakit yang dihadapi, tugasan di IPG yang tidak pernah selesai dan abis dan lain-lain lagi.Lagi pun budaya belajar secara luar kampus sudah sebati dengan diri cikgu dan keluarga. Sudah menjadi keazaman cikgu yang terkenal sebagai anak yang keras hati dalam keluarga cikgu. Teringat cikgu tahun 1970an tak ramai yang bertudung tetapi cikgu dah menongkah arus semasa di sekolah menengah lagi apabila buat tuntutan kepada seorang pengetua- Sister Stella di Sacred Heart Convent Melaka untuk membenarkan pelajar-pelajar Islam berbaju kurung dan bertudung kepala. Selalu kena ejek dengan masyarakat kampung yang melihat kelainan cikgu. Tapi cikgu ni agaknya memang anak yang keras hati untuk perkara-perkara yang cikgu rasa ada kebaikannya dalam hidup cikgu.

     Ramai juga rakan-rakan yang  mengatakan ,'Buat apalah nak kejar sangat dunia ni, takut suami lari nanti, anak-anak tak kenal lagi kita nanti dan tidak bermasyarakat bila dah sibuk. Lagi pun bukan mudah belajar sambil bekerja ni' .Cikgu senyum sahaja bila mendengar kata-kata rakan-rakan cikgu. Ayat yang berulang dan sinonim sejak dari cikgu berkongsi pandangan hendak belajar secara luar kampus di USM dulu. Cikgu selalu ingatkan pelajar-pelajar cikgu dan anak-anak cikgu,"Mengikut teori Maslow, kemuncak kehendak dalam kehidupan seseorang manusia itu unik dan tidak sama 'self actualization'nya.Jangan samakan diri kita dengan orang lain. Bagi cikgu menuntut ilmu, berada bersama-sama dengan orang yang berilmu, berwacana dengan suami dan anak-anak cikgu tentang ilmu adalah sangat membahagia, menggembirakan, memudakan cikgu. Sejak dari muda sebenarnya 'kegilaan' cikgu sebenarnya berada di 'taman syurga' bersama-sama ilmuan untuk mengutip mutiara ilmu, aplikasi dan manfaatkannya dalam kehidupan. Kalau dikaji dari sudut Islam, pahala yang mengalir hingga ke akhirat jika dimanfaatkan ilmu untuk diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Berdakwah dengan menjadikan diri sebagai suri teladan dan contoh yang terbaik.Insya-Allah akan dipermudahkan perjalanan dan kembara menuntut ilmu ini."Rempuh aje", itulah ucapan 'brutal' cikgu kepada diri dan anak-anak jika mereka mengadu tentang kesukaran yang mereka hadapi dan lalui.

     Moga jangan ada sekelumit pun perasaan ujub, riak dan takabur dalam menimba ilmu ini. Kadang-kadang nak marah juga dengan rakan-rakan pensyarah yang sangat sombong dengan ilmu yang mereka ada. Selalu cikgu berkata kepada rakan-rakan pensyarah yang berkongsi masalah mereka apabila berurusan dengan insan-insan yang sombong ini. Mereka adalah dalam kategori 'ego orang berilmu'. Ilmu ada haknya dan akan ditanya diakhirat kelak.Apa-apa pun pergilah kepada hakikat kehidupan. 

      Cikgu ingatkan kawan-kawan yang bersama-sama belajar ini, "Relaks, jangan tertekan, belajar dengan santai dan hayatinya. Prof Dr Sulaiman Yamin dah menasihatkan kita dalam taklimatnya untuk berjaya tak payah jadi genius, apa yang perlu adalah komitmen dan keazaman. Belajar merupakan ibadah. Perbetulkan niat dan dapat pahala lagi". 




Cadangan kajian : Keberkesanan Modul LDK BIG -'Sentuhan Insaniah' membina Intrapersonal dan Interpersonal Guru-Guru Pelatih KPLI/DPLI Zon Selatan



LDK dari jiwa akan jatuh ke jiwa juga.

Mesyuarat di IAB Genting yang menjadi 'turning point'





Tn Hj Sulaiman bin Mohd Yassin: Terima kasih  abang atas kebenaran, keredhaan dan sokongan
Nur 'Abidah & Wan Hasaharizan: Mak akan menjadi 'makwa'/grandma yang memberi contoh kepada cucu-cucunya. Jaga kesihatan, pemakanan, ibadah,  mengaji, zikir dan selawat yang berterusan untuk melalui proses kemenjadian seorang ibu. Moga memperolehi generasi yang soleh/solehah,ameen
Angah Abdul Hafiz: Teruskan budaya menuntut ilmu dan buktikan 'competency' angah dalam bidang engineering yang angah sangat cintai, Moga memperolehi keberkatan, ameen
Nur 'Atiqah: Ingat janji kita bersama, 'Moga dipermudahkan dan diberkati perjuangan kita bersama, jadi doktor beriman dan beramal soleh ,ameen"
Abdul Hakim: Ingat apa yang lecturer Abd Hakim pesan,"Dalam usia muda teruskan Ijazah->Master->Ph D Moga Abd Hakim terus dikurniakan kecemerlangan dan kemudahan,ameen"
Kembar Nur 'Aqilah & Nur 'Amirah: Tawan menara gading dalam jurusan yang adik minati, ameen. Anak kembar  mak ayah yang sangat banyak membantu mak ayah. "Moga diberkati dan dirahmati,ameen"
"Moga kita menjadi keluarga yang cintakan ilmu dan kecemerlangan dunia dan akhirat serta terus dilimpahi dengan kasih sayang  dan rahmat Illahi, ameen

Sunday, 5 February 2012

Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang dikasihi

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 


السلام عليكم dan Selamat Sejahtera 
An Nisa'-ayat 64
"Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." 

Satu-satunya kubah yang bewarna hijau di Masjid Nabawi,Madinah(di masjid ini terdapat banyak kubah).Disitulah tapak asal rumah Nabi dan disitu jugalah terletaknya makam Nabi Muhammadصلى الله عليه وآله وسل 

Bulan kelahiran Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل ini mengingatkan cikgu semasa menziarahi makam baginda Rasulullahصلى الله عليه وآله وسل   dahulu. Hanya titisan air mata yang mengalir tanpa henti-henti yang mampu cikgu kongsikan untuk menggambarkan perasaan kasih sayang cikgu kepada baginda Rasulullahصلى الله عليه وآله وسل iaitu semasa kami kaum wanita dibenarkan untuk menziarahi makam baginda dan para sahabat.Raudah-taman syurga menjadi saksi pertemuan yang membahagiakan cikgu dan para muslimat. Walaupun masanya agak terhad tetapi kami menggunakan ruang yang ada sebaik mungkin untuk mengabdikan diri dan rasa kasih sayang ini. Moga ALLAH SWT menerima doa dan amalan kita semua, ameen




Pintu di makam Rasulullahصلى الله عليه وآله وسل 







Pintu Makam Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل 



Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahikerana diberikan keizinan untuk menyedut udara nyaman di bumi yang bertuah lagi. Azam cikgu selagi hayat dikandung badan selagi itulah kita 
wajib mempertahankan keimanan dan rasa cinta kita kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل .Mengingati baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل dengan memperbanyakkan selawat keatas baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل. Kehebatan akhlak baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل tiada siapa yang dapat menandinginya..Moga kita mampu mengucapkan rasa kecintaan kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل di suatu 'pertemuan' yang telah dijanjikan kelak, ameen
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم.






Bersama-sama ini cikgu serta kisah ketika hampir tiba kewafatan baginda Rasulullahصلى الله عليه وآله وسل yang sering cikgu baca dan menitis air mata setiap kali membacanya.Buku Detik-Detik Terakhir Kehidupan Rasulullahصلى الله عليه وآله وسل  yang menjadi bahan bacaan yang paling cikgu gemari dan akan dibaca berulang kali sejak daripada zaman remaja lagi.

Catatan di bawah adalah di antaranya untuk cikgu kongsikan dengan para pembaca cikgu:


Terdapat sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan RasulNya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Ketika itulah, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah:

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertakwalah kepadaNya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah saw. yang tenang dan penuh minat menatap sahabat-sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap baginda dengan mata yang berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
"Rasulullah saw. akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah saw. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah saw. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah saw. menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
"Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah saw..
Fatimah menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah lalu Baginda menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
"Ummatii, ummatii, ummatiii?" – "Umatku, umatku, umatku"
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai dirinya sebagaimana Baginda mencintai kita?
Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
Semoga kita hargai segala pengorbanan Rasulullah SAW.
-Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Layari http://www.islam.gov.my/


Ya Allah! Limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami jalan buntu dan terbukanya kesempitan serta didatanginya semua hajat dan diperoleh semua pemberian serta Husnul Khatimah (sempurna akhir hayatnya) dan diturunkan siraman mendung hujan lantaran keagungan baginda. (Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada keluarga baginda dan sahabat di dalam setiap kerlipan mata dan nafas dengan bilangan semua yang diketahui oleh-Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam".

Saturday, 4 February 2012

Emotional Intelligence Competency- Kompetensi Kecerdasan Emosi



Doa menyingkir rasa kecewa & bimbang.

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku),

 tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia;

 kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai

 Arasy yang besar." [At-Taubah:129]






Catatan ini sebenarnya sudah lama cikgu siapkan 

tetapi tak sempat nak edit dan postkan kerana 

kesibukan.Alhamdulillah,bersyukur cikgu dengan 

dengan segala rahmat,ni'mat dan kasihsayang-Nya 

kepada cikgu dan keluarga. Sudah lama cikgu 

tidak menulis memandang ,'kesibukan' mengurus 

diri,keluarga serta kerjaya. Tetapi ada 

ketikanya nak kosongkan fikiran untuk cuma 

'berada' dalam diri sendiri dan ada ketikanya 

dengan ALLAH .Kadang-kadang memang rasa cikgu 

penat bekerja ni tapi sebenarnyacikgu rasa sangat seronok bekerja ni walaupun banyak tekanan dan cabaran. Mental perlu kuat, jiwa perlu BESAR, hati perlu tenang, akal perlu stabil dan rasional, fizikal perlu sihat dan cergas serta doa perlu dipanjatkan dengan sepenuh hati dan jiwa dengan penuh khusyuk dan tawadhuk.

    Anak-anak cikgu selalu mengusik cikgu,"Mak ni 'relax' aje, ayah sehingga kini pun masih bawa balik kerja-kerja pejabat/sekolah untuk dibuat di rumah" . Tapi cikgu kira atas kesibukan cikgu sebagai ibu bekerjaya, mereka masih ingat zaman kecil mereka puas cikgu 'usung' mereka ke kelas tambahan dan program motivasi cikgu pada hari sabtu/cuti atau sambil memasak meletak mereka di para dapur sambil minta mereka belajar depan cikgu samada membaca buku'lady bird', mengaji atau buat hafazan. Kalau dengan suami cikgu adalah lebih baik lagi sebab suami cikgu rajin  membawa mereka membeli buku bacaan dan ulangkaji di kedai buku, mengajar mereka membuat latihan Matematik dan Bahasa Inggeris, mengaji Al Quran dan rajin bergurau senda dengan mereka.Oleh kerana itu semasa anak sulung cikgu mengajar di Sekolah Tinggi AsSofa dia bercerita disamping mengajar Bahasa Inggeris, dia kena 'tasmi'' /mendengar bacaan AlQuraan pelajarnya cikgu rasa sangat gembira kerana dia dapat manfaatkan ilmu yang 
kami ajar sedari kecil. ALHAMDULILLAH..

     Sebenarnya bahan catatan kali ini   telah 

cikgu siapkan sebelum cuti semester 2011   cuma 

cikgu tak sempat untuk edit.Cuma  pada hari ini 

sahaja yang dapat cikgu edit semula.     Ianya 

catatan semasa 2 siri BIG untuk guru-guru yang 

mengikuti program PGSR. Catatan yang   diambil 

berdasarkan Refleksi mereka semasa    mengikuti 

program BIG untuk kenangan dan refleksi cikgu 

pula.


     Inilah catatan cikgu untuk kenangan hidup 

dan perkongsian dengan para pembaca:


Cuti semester break ini memang rasa nak rehat 

sikit kerana sebelum cuti ke Sabah, Serawak dan 

mengendalikan 2 BIG untuk PGSR. Ada peluang

untuk keluar pun cikgu memang mengambil peluang

untuk  berehat di rumah sahaja   'Home Sweet 

Home'.. MasyaALLAH


Pada kali ini cikgu nak berkongsi tentang EIC- Emotional Intelligence Competency yang terdapat dapat modul LDK BIG. Tapi kali ini bersama-sama dengan pelajar PGSR yang merupakan pelajar dewasa. Selalunya untuk bersama mereka pihak HEP meletakkan pensyarah yang 'taiko'supaya senang mengendalikan mereka sebab kami sangat menghormati pengalaman mereka dan sebagai orang 'dewasa' kita perlu meyakinkan mereka dengan kepakaran yang kami ada. Selalu cikgu nasihatkan Ustaz Nasri dan En Farid," Misi kita adalah untuk membangunkan sahsiah dan ketrampilan mereka secara peribadi dan kerjaya. Guru yang 'berkarismatik'/ 'karamah' dan berjiwa 'guru' mampu membangunkan ummah dan manusia sejagat di luar sana. Mereka 'aset' kita jadi kena pastikan kejayaan dalam 'misi' kita. Oleh itu pada kali ini cikgu ingin berkongsi catatan refleksi mereka mengenai LDK yang telah dapat cikgu jalankan agar cikgu juga dapat buat refleksi untuk memperbaiki kelemahan dan mengukuhkan kekuatan cikgu. Berikut adalah catatan refleksi mereka:


Elyana binti Azmee
PGSR PSV Ambilan Nov 2008


Aktiviti LDK banyak memberi saya pengetahuan dan maklumat berkaitan pengurusan emosi saya. Ceramah Motivasi oleh Pn Hjh Noraidah membuat saya melupai sejenak masalah-masalah yang saya hadapi sebelum menyertai BIG. Apa yang saya pelajari ialah cara kita berdepan dengan segala kemungkinan, dugaan yang tiba dengan ilmu. Di sini saya belajar bertenang dan tidak panik. Saya yakin saya tidak keseorangan dan saya mempunyai keluarga dan rakan-rakan untuk berkongsi masalah saya. Sebelum ini saya lebih suka mendiamkan diri dan suka menyembunyikan masalah dan berusaha menyelesaikan sendiri masalah tersebut. Kebanyakan masalah saya tidak dapat saya selesaikan. Namun setelah melalui LDK selama 2 hari, saya akhirnya ingin berubah dan berfikiran positif terhadap masalah yang saya hadapi.




Hayati Masni binti Musa


Pn Hjh Noraidah telah meminta kami untuk berbaris bagi membolehkan semua peserta dapat duduk dengan selesa dan teratur. Di sini saya dapat merasakan sebagai pendidik-kita mesti cepat dan cekap bertindak bagi memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas. Selain itu perancangan yang baik akan dapat menghasilkan sesuatu tindakan yang berjaya dan berkesan.
Slot LDK ini juga telah menjadikan saya seorang yang berfikiran positif di mana saya dapat mencari sikap-sikap positif yang ada pada diri sendiri. Saya telah cuba membina interpersonal yang positif, tinggi dan menyedarkan saya dengan potensi  diri inilah saya dapat membina generasi negara yang seimbang jasmani, emosi, rohani intelek dan sosialnya untuk masa hadapan


    Melalui LDK II- penerangan tentang EIC juga telah meningkatkan lagi keyakinan saya. Saya telah cuba untuk mengenali diri saya yang sebenarnya. Secara tidak langsung saya percaya sekiranya kita bersungguh-sungguh dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk mencapai sesuatu kita insyaALLAH boleh mencapainya


Jumat bin Haron


Dalam LDK saya dapati pensyarah telah dapat membuka minda saya dengan pelbagai kandungan ilmu pengetahuan yang sangat berguna sebagai guru untuk persediaan ketika balik menemui para pelajar saya di sekolah. Pelbagai kemahiran interpersonal dan intrapersonal, kemahiran optimum dan sebagainya telah dapat diserap dalam otak pemikiran saya. Kesannya sangat mendalam dalam diri saya.


Tee Meei Lian

Saya rasa selamat dan selesa bila bersama dengan Pn Noraidah . Beliau memberi saya semangat dan sokongan untuk berkongsi banyak perkara. Melalui LDK saya rasa bertambah yakin dan ingin membina hubungan interpersonal dengan rakan sejawat dan staf. Banyak kekuatan dan kebaikan yang saya dapati melalui LDK ini. Terima kasih puan.


Sebenarnya menjadi guru dan pensyarah alaf baru ini memerlukan kita menjadi insan yang dapat menguasai intrapersonal dan interpersonal dengan baik. Di samping itu mempunyai 'jiwa kebajikan' yang tinggi. LDK sebenarnya mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana kita dapat belajar secara terus dengan 'bahan mentah'/ pengalaman yang dikongsikan bersama. Moga lebih ramai guru yang 'berjiwa' guru akan lahir  melalui program BIG- Bina Insan Guru ini.








 "Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Allah 


menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya."(QS. 


Ath-Thalaq : 4).

" Ya Allah, berikanlah kami limpahan nikmat & janganlah 


Engkau kurangi, Muliakanlah kami, janganlah Engkau binasakan. Berikanlah 


kami, jangan Engkau tutupi. Utamakan kami jangan Engkau abaikan. Jadikanlah 


kami redha & redhailah kami." (HR. Tirmidzi).


Thursday, 20 October 2011

Indahnya 'Cinta' Ini- Keasyikan & Kebahagiaan Cinta Abadi di Mekah Al Mukaramah & Madinah Al Munawarah-1992

Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada sesiapa yang Dia sukai atau tidak. Tetapi Allah memberikan agama hanya kepada mereka yang disukainya, sesiapa yang dikurniakan Allah agama, sesungguhnya Dia mengasihinya” ( Baihaqi/Ahmad)






         Hari ini 18 November 2012 mungkin jadi kenangan yang indah dalam kehidupan peribadi dan kerjaya cikgu kerana bertemu semula dengan junior dan sahabat lama cikgu di maktab dahulu. Gerak hati masa melihat zaman muda belianya dah boleh mendapat lintasan hati dia boleh pergi jauh dalam alam pendidikan. Selepas 30 tahun masa berlalu ALHAMDULILLAH ianya telah terbukti. Sebagai seorang pendidik berjiwa 'pendidik', sudah menjadi satu kelaziman untuk kita turut sama rasa gembira dengan kejayaan mereka yang dikenali atau tidak dikenali dalam kehidupan. ALHAMDULILLAH moga bertambah makmur dunia dengan orang-orang yang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

          Beberapa minggu lepas dalam perkongsian perbincangan cikgu dengan suami, cikgu ada menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman menunaikan haji dan umrah dalam usia muda selepas 10 tahun berkhidmat sebagai seorang guru. Cikgu perlu mendapatkan khidmat nasihatnya kerana tidak mahu 'perkongsiaan' cikgu dicemari dengan perasaan riak, ujub dan takabur. Lebih ke arah pendidikan agar 'perkongsian' ini mampu memberi motivasi dan inspirasi kepada golongan pembaca muda cikgu. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjadikannya sebagai panduan dan pedoman. Cikgu sangat takut ibadah tidak diterima ALLAH SWT dan menjadi sia-sia sahaja. Nauzubillahminalik.
       


        Tidak beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Zulhijjah atau bulan haji istilah orang-orang kita . Setiap tahun kedatangan bulan suci ini mengimbau semula pengalaman cikgu yang sudah berlalu hampir 20 tahun. Moga apa yang dapat cikgu kongsikan ini menjadi amal jariah yang berpanjangan untuk kami suami isteri. Semasa di zaman kanak-kanak cikgu, antara masa dan ketika yang membahagia  dan menggembirakan cikgu bila menghantar dan menyambut kepulangan datuk, nenek serta ibu dan bapa saudara cikgu dari menunaikan fardu haji. Seronok dan kagumnya kerana mendengar cerita-cerita mereka semasa menunaikan ibadah haji dengan kapal laut. Ghalib, kagum dan melopong cikgu mendengar cerita mereka. Semasa itulah cikgu membina 'imiginasi cemerlang' dengan berpandukan 'minda bawah sedar' dan 'minda tidak sedar' cikgu. Masa tu tak tahu pun ianya 'imaginasi cemerlang' sebab belum belajar lagi. Prof Dr Mizan Adaliah  dari UPM selalu mengusik cikgu di dalam kelas master dahulu dengan mengatakan cikgu suka bercerita walaupun nampak pendiam dan pemalu . Paper 'Refleksinya- Mengapa saya memilih bidang kaunseling', cikgu mendapat A. Hanya kami 2 orang sahaja yang dapat A kerana katanya kami mampu bercerita dengan 'jujur'. Seronok dipuji oleh guru walaupun 'kehidupan lintang pukang menguruskan belajar secara luar kampus' pada masa itu. Rasa penat hilang bila naik pentas untuk menerima scrol. Itula kegilaan belajar cikgu pula. Pada hari ini juga semasa bertembung dengan Dr Sageran di Anjung Ilmu sebelum bermesyuart dengan pihak IPG Induk, dia bertanya, "Hajah, how's your PhD?" Terkedu juga nak menjawab sebab beria-ria dia menjadi referee cikgu tempuh hari. Moga terus dipermudahkan, ameen

         Kembali kita ke cerita kisah 'Cinta' Cikgu di Tanah Suci, selepas sahaja diijab qabulkan dengan suami cikgu, kami sama-sama membina matlamat dan wawasan keluarga kami- belajar dan menunaikan haji dan umrah ketika muda. Duit tak ada lagi tapi cuba dulu membina 'angan-angan' kami suami isteri. Meleleh juga air liur cikgu kerana melihat rakan-rakan bertukar ganti kereta, pakaian dan barangan mewah sebab cikgu kena menabung untuk pastikan hasrat cikgu menunaikan haji dan umrah semasa muda tercapai. Suami cikgu selalu memujuk dan mengusik cikgu, "Tak apa, nanti lepas kita tunaikan tuntutan haji dan umrah macam-macam kereta kita boleh beli. Yang boleh terbang dan canggih mengikut zaman pun ada." Masa kemuncak rasa kebahagiaan nak tunaikan haji tu sebulan RM 500.00 yang cikgu suami isteri masukkan ke deposit tabung haji walaupun gaji kami tak banyak mana pada masa tersebut. Kami berjimat dan berdikit-dikit dalam perbelanjaan harian. Apa yang cikgu pelajari, jika ada sahaja niat yang baik untuk menunaikan ibadah haji, InsyaALLAH akan diberi kemudahan oleh ALLAH SWT.

         Hari yang dijanjikan telah tiba untuk cikgu dan suami menunaikan haji, cikgu diuji dengan 3 orang anak cikgu mengalami demam panas dan 'Atiqah, anak ketiga cikgu masih menyusu badan. Anak inilah yang banyak mendapat anugerah ILLAHI bila cikgu buat kajian tentang anak-anak cikgu, mungkin kerana pengorbanan kami yang sanggup meninggalkannya semasa kecil diberi keberkatan ke atasnya dan kami. Cikgu bermunajat dan berdoa kepada ALLAH SWT, "HambaMu ini tidak layak lagi menjadi tetamu Mu kerana dosa-dosa ku yang banyak dan selalu lalai daripada mengingati Mu ya ALLAH, tetapi oleh kerana Engkau telah  memilih untuk menjemputku sebagai tetamu-Mu aku menyerahkan semua anak-anak dan harta benda yang Engkau pinjamkan kepada Ku kepada MU,hanya kepada Engkaulah aku menyerah diri." Insan yang banyak memberi bimbingan dan motivasi kepada suami dan isteri ialah Allahyarham Tuan Hj Adullah bin Kassim dan Tn Hj Abd Aziz bin Abd Rahman. Mereka adalah guru besar cikgu. Nasihat mereka yang sangat menyentuh perasaan cikgu berdasarkan nasihat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang marhumnya, "Apabila matinya anak Adam yang berkemampuan untuk menunaikan haji tetapi melengah dan melewatkannya, maka kita akan diminta memilih antara agama Yahudi dan Nasrani" Kecut hati cikgu sebab esok tidak pasti ada atau tiada untuk kita dan apa nak jawab dengan ALLAH SWT kelak.  Semalam pula cikgu menasihatkan seorang sahabat,"Cuba kita buat penilaian, sekarang kita ada beberapa buah kereta dan rumah, agak-agaknya apa hujahan kita untuk membela diri jika kita mati hari ini dan nak jawab tentang bab belum menunaikan fardu haji ni ya sedangkan kita berkemampuan. Merata tempat kita ziarahi, tak sudikah kita untuk menjadi tetamuNya. Rancangkan kehidupan kita sebagai hambaNya ya sahabat." 





       Pertama kali menatap Baitullah memang terasa sedih dan hiba  serta bersyukur dipilih menjadi tetamu ALLAH SWT. Melihat jutaan manusia yang bertawaf mengelilingi Baitullah, cikgu selalu diingatkan oleh guru cikgu untuk membuat imiginasi cemerlang dengan memberitahu diri bahawa bahagian cikgu tetap ada di dalam jutaan yang bertawaf. Bila solat di Masjidilharam cikgu selalu memastikan cikgu dapat mengadap multazam. Ambil kesempatan untuk berdoa di bawah pancuran emas  dan solat sunat di dalam kawasan hijr Ismail. Selalu cikgu dapat menyaksikan pemuda-pemuda yang sangat segak dan cantik rupa parasnya merayu, menangis,berdoa dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Cikgu selalu bercerita kepada suami tentang wajah-wajah manusia yang suci bersih, segak, cantik, berseri dan bercahaya yang dapat cikgu tatapi semasa di dalam Masjidilharam. Apatah lagi kami dikurniakan rezeki untuk meni'mati rasa kebahagiaan, kesedihan dan kehibaan yang tidak terhingga apabila terpilih berada di hadapan multazam apabila pintu Baitullah dibuka selepas subuh pada 1 Zulhijjah. Maha Suci ALLAH, terima kasih ya ALLAH kerana memilih kami dengan Rahmat dan Kasih Sayang Mu.

          Antara pengalaman yang dilalui di hadapan Baitullah apabila seorang ibu dari Indonesia yang sangat rajin bersedekah didatangi oleh seorang pemuda yang bersih,segak, berpakaian serba putih dan meletakkan kain serbannya ke atas ibu yang mulia ini sambil berkata, "ALLAH SWT merahmati mereka yang suka bersedekah." Cikgu berasa sangat hairan kerana lelaki muda itu berjalan dari hadapan Multazam tetapi dia mengetahui tentang ibu yang mulia disebelah cikgu ini. Maha Suci-Mu Ya ALLAH yang menyaksikan banyak kejadian-kejadian aneh di rumah-Mu ini untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan hamba-Mu yang kerdil ini.

         Kami suami -isteri juga mengambil kesempatan untuk bermalam dan tidur di hadapan Baitullah pada waktu malam kerana terasa sayang nak meninggalkan detik-detik yang membahagiakan kami di sana. Terasa macam Baitullah menjadi rumah kami di sana. Sehinggala pada suatu petang semasa suami cikgu  berasa pening dan sakit kepala yang amat sangat, cikgu mengambil kesempatan untuk mengurutnya di tingkat 1  iaitu  tempat sai di antara safa dan warwah. Ada seorang lelaki yang berumur yang berpakaian lusuh meminta kebenaran dari cikgu untuk mengurut suami cikgu. Selepas diurut, hampir 90% sakit kepalanya hilang . Selepas mengucapkan terima kasih, lelaki tersebut hilang dari pandangan cikgu suami-isteri dan sejak itu  suami cikgu tidak pernah mengalami pening dan sakit kepala  lagi. Syukur atas anugerah-Nya. Suami cikgu juga mengalami beberapa cerita istimewanya tersendiri apabila dia diperbetulkan bacaan AlQurannya semasa membuat hafazan oleh seorang lelaki Arab yang buta serta meminta suami cikgu terus membuat hafazan di hadapannya. Azamnya untuk khatam AlQuran di hadapan Baitullah. Dari pengalaman cikgu suami isteri jika ingin kucup hajar aswad, masa yang terbaik adalah semasa waktu dhuha. Cubalah ya.. 

       Benarlah kata guru-guru cikgu, habiskanlah kebanyakan masa di Baitullah kerana insyaALLAH banyak ilmu, pengalaman dan pendidikan yang akan 'dihantar' oleh ALLAH SWT. Semasa tawaf mengelilingi Baitullah terasa kagum dengan orang tua yang bongkok tiga, orang muda, kanak-kanak, cacat dengan tiada kaki tangan yang bertawaf dengan berjalan, merangkak, merayap, berkerusi roda dan sebagainya. Pelbagai golongan manusia yang ditemui yang kesemuanya khusyuk mengabdikan diri dan membesarkan ILLAHI. MasyaALLAH hebatnya manusia berlumba-lumba mengejar untuk mencari redha ALLAH dan mengabdikan diri kepada-Nya. Ibadah haji dan umrah adalah ibadah yang paling banyak menggunakan tenaga fizikal, sudah tentu bertuahlah mereka yang sihat, muda dan bertenaga yang terpilih untuk menjadi tetamu-Nya. Walau bagaimanapun ramai juga mereka yang berusia yang cikgu tengok bersemangat dan bermotivasi untuk menjalani ibadah di sana. Setiap kali cikgu terasa letih dan penat, cikgu akan turun ke telaga zam-zam untuk minum air zam-zam, berwudhuk dengan air zam-zam,  berdoa dan bermunajat," Ya ALLAH ya Tuhan ku ,hambaMu yang lemah dan hina banyak berdosa, leka dan lalai dari mengikuti perintah-MU dan mengingati-MU, tetapi Engkau memilihku menjadi tetamu-Mu, kurniakanlah aku keampunan dan permudahkanlah semua urusanku di sini. Kurniakanlah ku kesihatan yang baik, kekuatan iman, ilmu yang bermanfaat,haji dan umrah yang mabrur,peliharalah seluruh keturunanku ya ALLAH ,ameen ya ALLAH."

          Sebelum berangkat ke Madinah, semasa cikgu  melakukan  tawaf wida', terasa kesedihan, kesayuan dan kehibaan yang teramat sangat. Setiap pusingan tawaf disertai dengan  linangan air mata  sehinggalah terasa getaran magnet dari tangan cikgu semasa membuat lambaian . Bila cikgu buat kajian tentang Baitullah yang menjadi pusat bumi dan merujuk kepada beberapa orang ustaz, cikgu belajar tentang istilah 'keikhlasan , ketulusan dan kejujuran' dalam melakukan ibadah. Hanya hamba ALLAH yang ikhlas sahaja yang akan mendapat keampunan dan keredaan ALLAH SWT dan yang akan selamat di dunia dan di akhirat. Cikgu belajar tentangnya di sana.

          Madinah Al Munawarah adalah bandar dan tempat yang sangat tenang dan penduduknya pula sangat lemah lembut. Sejarah membuktikan Islam berkembang pesat di sana dan  dengan jasad mulia baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسل yang diabadikan di sana memberi tarikan yang sangat kuat kepada cikgu untuk ke sana. Kami mengambil peluang dan kesempatan untuk berada di kawasan Raudah apabila ianya dibuka untuk kaum wanita. Menziarahi baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم setelah wafatnya adalah sama seperti semasa hayatnya. Begitu juga apabila menziarahi para sahabat baginda terasa hebatnya mereka menjadi pilihan ALLAH SWT dalam perjuangan dan dakwah Islamiah. Memang terasa kerdil dan lemahnya kita umat hari ini berbanding dengan mereka.




          Jika cikgu boleh beri nasihat kepada generasi muda dan mereka yang sudi untuk menerimanya, cikgu nak berkongsi dengan mereka tentang perancangan, keperluan dan keazaman menanam iltizam untuk menunaikan haji dan umrah dalam usia yang muda disamping bagi mereka yang baru memulakan kerjaya untuk menghantar dahulu ibu dan bapa mereka yang tidak berkesempatan menunaikan haji kerana ingin membesar dan melihat anak-anak mereka berjaya terlebih dahulu. Besar dan banyak pengorbanan mereka. Jadi nasihat cikgu selepas sahaja bekerjaya, buatkan perancangan yang rapi untuk menghantar mereka menunaikan haji dan umrah terlebih dahulu. Kadang kala memang rasa sedih juga dengan generasi muda, selepas bekerjaya, terus merancang untuk berkahwin yang diberi keutamaan berbanding dengan berazam untuk menghantar ibu bapa mereka untuk 'beribadah' di tanah suci Mekah dan Madinah. Alangkah indahnya jika kedua-dua perancangan ini seiring dan sejalan. Mak ayah selalunya tidak menyebut tetapi itulah  sebenarnya hasrat dan suarahati mereka.


       Moga diberi keizinan, kelapangan,kekuatan iman, kemurahan rezeki dan kesihatan tubuh badan kepada cikgu sekeluarga dan seluruh keturunan cikgu untuk menjadi tetamu-Nya berkali-kali dalam kehidupan yang seketika ini. Itulah doa dan harapan cikgu setiap kali berdoa . Keindahan dan kebahagiaan rasa 'Cinta' ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang meni'matinya sahaja yang dapat mengungkaikannya. Walau bagaimanapun cikgu sering mengingatkan diri bahawa ibadah kita bukan penentu kita ke syurga, kita dipilih ke syurga dengan Rahmat dan Kasih Sayang ALLAH SWT, tetapi ALLAH SWT nak tengok usaha dan ikhtiar kita..


        "Moga Kak Safiah & Abang Husin, Hanim & Kamal, Norhaslina Nordin (sahabat yang dekat di hati cikgu) & suami dan seluruh jemaah haji diberi kelapangan, kemudahan, kesihatan, keselamatan dan haji dan umrah yang mabrur. Ianya mempu memberi manfaat kepada ummah,ameen